in ,

Ulasan Filem UP

KARYA terbaru olahan pereka filem animasi popular, Finding Nemo dan Monsters Inc, ini sungguh menghiburkan dan sesuai ditonton semua lapisan masyarakat.

Keunikan filem terbitan Walt Disney dan Pixar’s Studio terletak pada olahan penceritaan dan pembangunan wataknya yang menarik serta mampu menarik kaki wayang, khususnya pengikut genre animasi, untuk terus melekat sehingga ke akhir cerita.

Watak yang diwujudkan comel dan tidak hanya hidup pada imaginasi pengolah, sebaliknya penonton dapat mengingat setiap daripadanya mengikut identiti yang diterap. Up yang berdurasi 106 minit mengangkat tema adventure dan pengembaraan yang digarap sepenuhnya oleh calon Anugerah Emmy yang pernah mencipta filem animasi terkenal sebelum ini seperti Toy Story dan Wall.E, Pete Docter, yang dibantu oleh Bob Peterson.

Kronologinya berkisar pada impian sepasang kanak-kanak, Carl Fredricksen dan Ellie yang meminati bidang pengembaraan selain mengagumi pengembara terkenal, Charles Muntz. Setelah dewasa dan berkahwin, mereka memasang impian untuk mendirikan rumah di sebuah kawasan pergunungan air terjun, Paradise Falls. Ketika itu Carl sibuk bekerja sebagai penjual belon bagi mengumpul duit untuk merealisasikan impian itu.

Bagaimanapun, hayat Ellie tidak panjang dan Carl terpaksa hidup sendirian sehingga usianya mencecah 78 tahun. Pembangunan pesat memaksa Carl dipindahkan dari rumahnya, namun dia berkeras untuk mempertahankan.

Namun dengan impian yang belum terlaksana dan janjinya kepada Ellie, Carl mengambil keputusan untuk melarikan diri dengan menerbangkan rumahnya menggunakan belon. Ketika itu Carl ditemukan dengan kanak-kanak berusia lapan tahun, Russell yang juga meminati dunia pengembaraan.

Sesuatu yang menarik, Up menonjolkan watak utama, terutama Carl, Russell dan Charles dengan baik sekali. Malah alih suara bagi ketiga-tiga watak yang didukung oleh Ed Asner, Christopher Plummer dan kanak-kanak berusia sembilan tahun, Jordan Nagai, digalas sempurna. Suara Ed Asner umpamanya mampu memberi impak, sekali gus membawa penonton untuk merasai segala emosi yang diterapkan menerusi watak Carl.

Malah, perjalanan ceritanya yang ringkas tidak berfokus kepada elemen fantasi semata-mata, sebaliknya mesej serta pengajaran turut diselit sekali supaya penonton tidak terus terbuai dengan imaginasi saja. Garapan ceritanya perlu mendapat pujian, selain aspek positif yang ditonjolkan mampu memberi kesan baik kepada penonton cilik.

Mendongak ke atas Up

KOMBINASI karakter Carl Fredricksen dan Russell dalam animasi Up memberi gambaran yang manusia saling memerlukan. Up bukan sekadar memandang ke atas melihat rumah terapung semata-mata, malah lebih daripada itu supaya kita dapat melihat pengisiannya sebenar yang digambarkan menerusi dua karakter utama itu.

Selepas kejayaan animasi arahan pertamanya, Monsters Inc pada 2001, Pete Docter mula mencari ilham untuk projek seterusnya. Sepanjang pencarian itu, Pete sempat membantu untuk terbitan Pixar’s Studio yang lain, termasuk Wall.E.

“Saya dan Bob (Peterson) mengurung diri dalam satu bilik untuk membiarkan idea datang. Saya membayangkan saya terapung, selepas itu rumah dan baru fikirkan karakter orang tua yang buat perangai. Daripada situlah filem ini muncul. Deraf pertama Carl dan Ellie (isteri Carl) terapung-apung di udara dan Ellie meninggal dunia, tetapi idea itu bagaikan tersekat. Lalu saya dan Bob undur balik jalan ceritanya, bercerita sejarah Carl dan hidupnya yang keseorangan hinggalah muncul Russell,” kata Pete mengenai Up yang turut diarahkan oleh Bob.

Pete berkata demikian dalam pertemuan khas dengan media dunia, termasuk Selebriti Metro Ahad, di Pixar’s Studio di Ameryville, San Francisco, tidak lama dulu. Up bercerita mengenai penjual belon berusia 78 tahun, Carl Fredricksen dan penjelajah hutan berusia lapan tahun, Russell.

Ketika isterinya masih hidup, mereka ingin sekali ke Paradise Falls di Amerika Selatan tetapi tidak kesampaian. Keinginan itu berputik sejak mereka kanak-kanak lagi selepas diinspirasikan daripada penjelajah terkenal ketika itu, Charles Muntz.

“Bob dan saya mula bermain dengan idea itu dan bergurau-gurau mengenai karakter orang tua seperti watak kartun yang kami suka lakaran George Booth dalam The New Yorker. Nampak macam menyampah, tetapi kita masih boleh sukakannya. Kemudian timbul idea rumah diterbangkan oleh belon seperti cuba melarikan diri dari dunia. Bagaimanapun, kami sedar yang dunia sebenarnya berkaitan dengan hubungan dan itu yang Carl temui,” katanya.

Up adalah filem ke-10 animasi penuh terbitan Pixar selepas Wall.E, Ratatouille, Cars, The Incredibles, Finding Nemo, Monsters Inc, Toy Story, Toy Story 2 dan A Bug’s Life.

“Lagi banyak filem, lagi sukar untuk kami buatnya. Sentiasa ada cara atau idea baru untuk kami bercerita, jadi kami sentiasa buat balik, buat balik, buat balik sehingga puas hati. Sehingga kini, kami belum tahu keseluruhannya. Namun kami biarkan kami membuat kesilapan, macam Ed Catmull kata, ‘jika kita tidak buat silap, kita sebenarnya tidak mengambil risiko’. Saya tak fikir kami pakar, sebabnya kami belajar benda baru menerusi setiap filem. Mulanya kami fikir, Carl dan Russell terdampar di sebuah pulau tropika kerana saya memang suka pulau, dengan harapan ceritanya boleh dikembangkan lagi. Itu idea awal,” katanya.

Bagi Pete, sesebuah filem berbaloi ditonton apabila kita pulang ke rumah dan masih berfikir mengenainya. Bukan hari itu saja, esoknya juga, malah tahun depan pun kita masih ingat.

“Untuk membuat filem yang memberi kesan itu, ia seharusnya disuntik emosi sebenar dan meresap ke dalam hidup kita. Walaupun pelakonnya serangga atau makhluk asing, kita boleh selami karakter masing-masing dan apa mereka lalui. Dalam gelak, kita juga ada hati dan perasaan. Walt Disney selalu cakap, setiap tawa, pasti ada air mata. Saya percaya kata-kata itu dan ini yang kami masukkan dalam Up untuk penonton merasai apa yang karakter rasa,” katanya.

Sebab itu, pengarah yang menyertai Pixar sejak 1990 dan pernah dicalonkan di Anugerah Academy menerusi Monsters Inc ini begitu terperinci dalam usaha menyiapkan Up. Dia bertuah kerana bekerjasama dengan tenaga kreatif berpengalaman, termasuk John Lasseter, Andrew Stanton (Eksekutif Produser), Jonas Rivera (Produser) dan Ronnie Del Carmen (Penyelia Cerita).

Selain Carl dan Russell, tarikan Up juga kepada karakter Kevin (seperti burung kasawari tetapi berwarna-warni), Dug (anjing bercakap) dan Charles Muntz, penjelajah yang cuba membuktikan kebenarannya serta ribuan belon yang mengapungkan rumah Carl.

Memang tidak logik, tetapi produksi seboleh mungkin mahu Up dilihat sebagai ‘hidup’ seperti kata Pengarah Teknikalnya, Steve May yang bertanggungjawab kepada pencahayaan dan kesan imej: “Memanglah kartun ‘tak betul’ seperti rumah terapung, tetapi kami harus menampakkan Up macam betul.

“Untuk imej awan saja, kami mencipta lebih 200 kombinasi tetapi masih tidak puas hati. Bentuk bulat, bujur, semuanya kami satukan. Paling susah, buat belon untuk terbangkan rumah itu ke Paradise Falls. Kalau ikutkan logik, kita perlukan 20 hingga 30 juta biji tetapi dalam Up, ada ketika nampak cuma 10,000 hingga 20,000 biji, bergantung kepada sudut imej itu.”

Up ditayangkan di Malaysia bermula 20 Ogos ini.

FILEM: Up
PENGARAH: Pete Docter
PELAKON: Ed Asner, Christopher Plummer, John Ratzenberger, Delroy Lindo dan Jordan Nagai [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis dan Info Muzikal Gamat

Program Khas Sempena Merdeka Ke-52 di 8TV