in , ,

Ulasan Filem SUMOLAH Lakonan Afdlin Shauki – Part 1

Satu majlis pra tonton filem SUMOLAH untuk media telah berlangsung di GSC Mid Valley pada jam 9 pagi tadi. Sensasi Selebriti dijemput dan diberi peluang sekali lagi untuk mengikuti jalan cerita SUMOLAH yang akan menemui penonton pada 10 Mei ini.

Bagi memberkati majlis, pra tonton ini dimulakan dengan pembacaan doa yang agak panjang juga. Memang elok sangat dan bertepatan dengan doa ini juga semoga filem ini akan mendapat sambutan di kalangan penonton filem Melayu. Biasanya filem Afdlin Shauki akan laris pada minggu pertama. Untuk SUMOLAH, saya meramalkan sejarah keuntungan berganda seperti mana filem-filem Afdlin sebelum ini.

Bercakap tentang filem ini, ada 2 ramuan utama yang dihidangkan dalam filem ini. Pertama sukan SUMO dan keduanya ialah SUSHI. Selain itu, ada beberapa ramuan tambahan yang dapat menyedapkan serta menambah selera penonton. Lakonan mantap para pelakon, itu yang pastinya membuat penonton tertarik dengan filem ini. Unsur-unsur komedi garapan Afdlin juga membuat penonton tidak kering gusi.

Plot penceritaannya senang difahami. Ringkas sahaja, tidak berjela-jela walaupun ada flashback. Falsafah kehidupan juga tidak ketinggalan menjadi resepi sampingan untuk disuntik oleh Afdlin. Hasilnya, Sumolah adalah sesuatu yang perlu anda tatap dan hayati. Bukan sekadar sebuah filem komedi-budaya semata-mata. Tidak kira anda seorang pencinta budaya Melayu atau Jepun, filem ini untuk semua aliran masyarakat.

Filem ini akan membawa anda kepada beberapa budaya dan amalan orang Jepun. Istilah-istilah Jepun seperti Rikishi & ‘Nakotta’ akan diingati setelah anda keluar dari panggung. Khususnya untuk sukan SUMO anda akan diajar beberapa peraturan bermain atau berlawan SUMO pada awal penceritaan. Lawak bersahaja. Penajaan utama CELCOM dan Ogawa mengambil ruang dan kesempatan semaksimum mungkin bagi menjadikan filem ini sebagai wadah perantaraan bagi mereka mempromosikan produk mereka. Jangan terkejut seandainya anda akan melihat logo Celcom di mana-mana dan juga kerusi pengurut Ogawa dan ‘Spa’ dalam filem ini.

Lakonan pelakon Thailand, Inthira Charoenpura antara lakonan yang paling mengkagumkan pada saya. Bukan senang untuk membawa watak Siti, gadis kacukan Jepun-Melayu yang memerlukan Inthira menghafal kedua-dua bahasa iaitu Jepun dan Melayu. Juga tak ketinggalan bahasa Inggeris. Saya berikan double thumbs up untuk pelakon filem Nang Nak ini kerana berjaya membuktikan orang luar pun boleh fasih dan begitu petah berdialog dalam bahasa ibunda kita. Meskipun ada beberapa babak yang nampak Inthira begitu kaku kerana lafaz dan patah kata, namun ianya tidak menjejaskan kredibiliti beliau. Keseluruhan penampilan dan lakonan gadis cantik ini memang berkesan.

Apa yang boleh saya katakan, keseluruhan filem ini memang lain dari filem Melayu yang saksikan sebelum ini. Saya memberikannya 8/10 bintang.

Antara babak yang masih melekat di hati saya:

1. Adegan paling melucukan:
Banyak sekali adegan melucukan. Antaranya, aksi Fear Factor, Ramlee (Afdlin Shauki) memakan Sushi dalam masa yang ditetapkan. Ketika itu, Ramlee menyahut cabaran Honda (Patrick Teoh) untuk cabaran “Eat all you can for FREE food – within a time limit”. Apa yang terjadi, bila Ramlee yang ternyata lapar giler masa tu, berjaya memakan kesemuanya. Namun, akhirnya usahanya gagal kerana setelah Ramlee diberikan Sushi yang paling pedas. Sampai berasap kepala Ramlee. Haha!

2. Adegan paling mengharukan:
Adegan di suatu pagi selepas Ramlee gigih bersenam di laman rumahnya, perbualan antara ibu Ramlee (Kartina Aziz) dengan Ramlee yang menyentuh perasaan saya. Ketika mana Ramlee mengatakan kepada ibunya yang dia sangat sayang kepada ibunya. Sungguh mengharukan.

3. Adegan paling OVER:
Ketika Ramlee terkena shock culture ketika mula-mula diperkenalkan sukan Sumo. Ramlee terpaksa bercawat dan menayang badannya separuh bogel. Reaksi Ramli agak kegelian, jengkel dan tak biasa. Nak-nak masa tu, Siti (Inthira) juga turut berada di pusat latihan. Yang overnya, Ramlee kemudian lari keluar dan tak sukar untuk memecat cawat tersebut hinggalah dia pulang ke rumahnya yang terletak di Kampung Baru.

4. Adegan paling SENSOR:
Ketika Haris (Awie), Andy (Radhi Khalid) dan Ramlee (Afdlin Shauki) melihat Honda yang tidak berpakaian di pusat mandi public di Fukuoka, Jepun. Memang di Jepun, senario ini memang biasa.

5. Adegan paling kasihan:
Antaranya ketika Ramlee bersetuju mengenakan upah RM5 untuk menolak sebuah kereta. Namun, setelah kereta ditolak, pemandu itu terus meninggalkan Ramlee tanpa membayar upah tersebut. Kasihan. Masa tu Ramlee terlalu lapar dan tiada wang dalam saku.

Saya akan mengulas lagi tentang filem SUMOLAH pada masa akan datang. Foto-foto sepanjang majlis pra tonton akan disiarkan pada malam ini. Sehingga itu, bersedialah untuk memiliki kuasa hebat SUMOLAH pada 10 Mei ini.

Sertai Perjumpaan ToGether Gather kali kedua sambil menonton SUMOLAH pada 19 Mei ini di TGV KLCC. Goodie bags SUMOLAH menanti anda. Klik di sini untuk info lanjut. 

Saksikan foto filem SUMOLAH yang lebih BESAR di Foto Blog.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Calon MTV Movie Awards 2007, Jom Tengok Ramalan Siapa Yang Menang!

Showcase Sunday Nite Live FERHAD di Planet Hollywood