in , , ,

Ulasan Filem QABIL KHUSHRY QABIL IGAM

Bunyi tajuk filem ini, Qabil Khushry Qabil Igam sudah mencerminkan apa sebenar isinya. Tidak payah nak berdolak dalih, acuan filem ini sebenarnya diceduk dari Bollywood.

Sebelum meneruskan pembacaan, saya nasihatkan kepada yang tidak faham dengan cerita ini, sila baca Rahsia di Sebalik Sinopsis filem ini dahulu ya.

Dan terima kasih kepada Sonata Film terutama sekali saudari Nur Adila dari TV3 atas kesudian menjemput saya ke majlis tayangan media di GSC Mid Valley baru-baru ini. Filem ini akan berada di pawagam pada 8 Februari 2007.

Tonton trailer filem ini di:

INTRO: ACUAN MALAYWOOD?

Bunyi tajuk filem ini, Qabil Khushry Qabil Igam sudah mencerminkan apa sebenar isinya. Tidak payah nak berdolak dalih, acuan filem ini sebenarnya diceduk dari Bollywood. Ini terbukti, kalau dilihat dari sudut pengolahan cerita, sinematografi, muzikal yang dihiasi dengan tarian (yang terang-terangan Bollywood nya!), jenaka yang sinikal (tapi tidak slapstik), kasih sayang yang utuh, plot yang bermula dari kegembiraan dan berakhir dengan tragedi demi tragedi… ini semua datang dari pengaruh Bollywood.

 Apa-apa pun, tajuk ini sebenarnya gimik yang hanya pencetus kontroversi sahaja. Tajuknya masih relevan dengan filem. Qabil Khushry Qabil Igam ialah nama kepada dua anak kembar lakonan Hans Isaac & Rusdi Ramli.

Qabil Khushry Qabil Igam

 Ya, kita akur, filem Melayu kita dari zaman Allahyarham P. Ramlee lagi sudah bercorakkan sebegitu. Tetapi mengapa filem ini terpalit getah nangkanya?

 Namun, saya ingin memperbetulkan di sini, elemen Bollywood yang ditampilkan dalam filem Qabil Khushry Qabil Igam bukan seratus peratus Bollywood. Formulanya begini, gaya filem hindustan + skrip berunsurkan latar kehidupan orang Melayu Kampung = Malaywood !

 Dah-dahlah cakap pasal Bollywood. Samada Bollywood ke, Malaywood ke, playwood ke, janji filem ini menghiburkan! Betul tak?

Qabil

APA YANG MENARIK?

Saya percaya bahawa filem ini akan mendapat sambutan hangat dari penonton kita. Mengapa? Sebab dari dulu lagi penonton khasnya penonton Melayu suka dengan filem sebegini. Suka dengan cerita sosial kemasyarakatan, ada unsur kekeluargaan dan seolah-olah cerita itu adalah cerita yang pernah mereka alami.

Lagi pun, pengalaman Azlina Pa’Wan dalam menulis drama TV banyak mematangkan corak persembahan dan keseluruhan cerita.

 Namun, Azlina Pa’Wan yang menjadi tok dalang untuk filem ini terlalu memikirkan aspek komersial. Perkataan komersial itu sendiri bermakna perdagangan berasaskan keuntungan. Kita buat filem, jual, distribute, promosi, kemudian dapat merasa keuntungan atau sebaliknya.

 Konsepnya senang, filem ini untuk dijual kepada umum. Orang yang mahu tonton perlu bayar dengan wang mereka. Bukan macam drama yang disogokkan secara percuma. Sudah tentu Azlina akan memikirkan, adakah berbaloi dengan membayar RM10 dengan apa yang mereka tonton.

Jadi, nak tak nak, sebagai pembikin filem, mereka mahu memberikan apa yang penonton ingin lihat. Kalau penonton mahu Hans Isac menari, ha… kita kasi Hans Isaac menari… kalau penonton mahu Ziana Zain jadi budak baik, ha… kita kasi!

 Jangan buat filem untuk syiok sendiri atau untuk kepuasan diri sendiri. Buatlah filem untuk kepuasan penonton. Mungkin kerana itu, gaya persembahan filem ini tidak ditulis seperti menulis skrip drama TV. Azlina Pa’Wan sebelum ini popular dengan drama TV seperti Miftahul Jamilah dan Sephia di TV3. Drama TV dan filem tidak jauh beza. Cuma dalam filem perlu ada unsur komersial. Itu sahaja.

GRAF CERITA STAIL AZLINA PA’WAN

Formula dan stail Azlina Pa’Wan sebenarnya sudah lama dibuat oleh penulis skrip dan pengarah sebelum ini. Merujuk kepada Datuk Yusuf Haslam. Menyuntik elemen emosi yang sedih, gembira dan macam-macam lagi memang satu ubat pelaris yang mujarab. Namun, apakah perbezaan stail Azlina dengan penulis skrip yang lain? Tidak jauh bedanya. Cuma pada saya, Azlina menggunakan satu frame yang mengandungi banyak emosi dan kejutan demi kejutan secara serentak di luar jangkaan penonton.

Bermula dengan jenaka dan gurauan sinis yang mengundang ketawa penonton. Kemudian, ditambah dengan emosi lainnya seperti gembira, teruja, seronok dan macam-macam lagi emosinya.

Dan penghujung cerita, penonton diajak bersama untuk merasai mood sedih yang teramat sedih. Tidak saya sangkal, saya juga hampir mengeluarkan air mata kerana filem ini memang ada bahagian yang amat memilukan serta menyentuh perasaan.

 Pengaruh filem Bollywood. Menggunakan satu graf yang bermula dengan mendatar dan menaik secara perlahan ketika pertengahannya dan tidak turun-turun sehinggalah tamat. Ini menjadikan plot penceritaan stail Azlina begitu out standing. Di tengahnya, penonton dikejutkan dengan tragedi-tragedi yang mungkin di luar jangkaan.

 Filem ini mengajak penonton berteka-teki apakah yang berlaku selepas ini. Kejutan atau trigger adalah elemen penting untuk menjadikan graf cerita ini sempurna. Elemen ini juga saya rasa yang menjadikan penonton drama gemar dengan sinetron Bawang Putih Bawang Merah. Yang berbeza, walaupun ada elemen kejutan, pelakon sinetron Indonesia ini hanya cantik di mata tapi sebenarnya mutu lakonan mereka teruk! (Habislah aku kutuk drama TV la pulak!).

Qabil

KELEBIHAN FILEM INI

1. Saya suka dengan sinematografi dalam filem ini. Tahniah buat saudara Indra Che Muda sebagai pengarah fotografi. Beliau menggunakan bahasa filem untuk memberitahu kepada penonton apa yang terjadi dan apakah perasaan yang dialami oleh sesuatu watak. Contoh, awan mendung berarak melindungi cahaya matahari. Jelas menunjukkan suasana kesedihan. Daun kering yang berguguran dihanyut oleh arus menyampaikan makna bahawa harapan yang musnah dan hilang arah pedoman.

OK, sekarang mari kita belajar bahasa filem. Jangan ingat bangsa sahaja ada bahasa. Filem pun ada bahasa juga. Untuk belajar bahasa filem, kita perlu pandai membaca filem. Bagaimana kita sebagai penonton perlu memahami bahasa filem. Ianya saya andaikan seperti anda membaca buku. Lebih kurang sama juga. Ketika membaca buku, anda menelaah butiran perkataan dari mukasurat, manakala membaca filem anda menatap skrin wayang yang dipenuhi dengan objek visual.

Belajar bahasa filem amat penting bagi movie goers seperti anda. Ini untuk mengelakkan anda ditipu. Contohnya, tidak semestinya, adegan yang melibatkan ekspresi wajah menangis bermakna watak itu sedang sedih. Airmata keluar dalam beberapa bentuk ekspressi. Gembira, sedih, terharu… dan ini perlu ada pemahaman yang betul. Itu hanya satu contoh sahaja. OK, nanti saya akan ceritakan pada entri yang lain sebab entri ini khas untuk membicarakan pasal filem Qabil Khushry Qabil Igam.

2. Unsur muzikal filem seperti filem ini memang tidak menjemukan sesiapa. Apatah lagi, tarikan utama filem ini ialah pelakon handalan seperti Ziana Zain, Erra Fazira, Hans Isaac dan Rusdi Ramli. Apa yang dapat saya katakan, ketika tayangan untuk media, semua penonton seronok menonton adegan Hans Isaac menari ala Salman Khan gituh kan. Ye lah, selama ini Hans Isaac memang kaki kayu yang tak pandai menari. Kelakar pun ada sebab dia bukan seorang penari. Apa-apa pun, saya ingin mengucapkan syabas kepada Hans kerana berjaya menari dengan baik.

3. Antara lokasi penggambaran untuk lagu hindustan ialah di kolam renang Hotel JW Marriot, Putrajaya. Teknik pengambaran dan sudut kamera memang nampak cantik. Pemandangan cantik, panorama alam dan gerakan kamera yang optimum memang sudah sinonim dengan gaya penggambaran filem kita.

4. Filem ini ada kesan khas yang dibuat oleh Yusri KRU. Tapi sikit sangat kesan khasnya. Tebuan yang bertebaran yang dibuat agak realistik. Namun, jangan harap anda akan lihat CGI yang gah seperti mana yang ada dalam Cicakman.

5. Kesan bunyi dan muzik dari Yusri KRU dan tiupan seruling & gendang dari Mohram mewarnai filem ini. Yang sedih bertambah sedih jadinya…

KELEMAHAN FILEM INI

Filem ini mengalami penangguhan yang terlalu lama dan rombakan yang terlalu banyak. QKQI memulakan pengambarannya pada tahun 2005 dan tertangguh pada Januari 2006 dan akhirnya menemui penonton pada awal tahun ini.

Pengunduran Yusri yang membawa watak Qabil Igam terpaksa dilakon semula oleh Rusdi Ramli. Ini menjejaskan beberapa adegan yang dikekalkan dari tape asal. Di sini sudah tidak ada kesinambungan. Kecacatan ini sebenarnya kecil dan penonton tidak perasan pun.

Contoh anda boleh lihat salah satu adegan Erra Fazira (Karisma) dan Ziana Zain (Rani) menanti dalam kamar ketika majlis pertunangan. Nampak gaya rambut, solekan dan tatarias tidak dilakukan dengan berhati-hati.

Tidak dibuat dengan berhati-hati atau ianya disengajakan? Sewaktu kelahiran Qabil Khushry dan Qabil Igam, rumah mereka dilanda banjir. Gambaran yang tidak realistik sebab terang-terangan nampak lakonan itu dibuat di tasik!

Kalau difikirkan banyak bahagian yang tidak logik tetapi entahlah saya nak cakap camna… Mungkin sudah budaya atau lumrah filem kita dibentuk sebegini rupa. Aspek logika tidak berapa diambil pot sangat.

Diharap pada lain masa, perancangan perlu berhati-hati dan mengira logika bukan pakai hentam saja. Ops!

Difahamkan ketika pengambaran, pelakon perlu melihat shooting board sebelum memulakan aksi. Apakah fungsi shooting board? Hanya pengarah Zaili Sulan yang tahu. Dengan latar belakang pengarah yang dulunya terlibat dalam pengarahan iklan, seharusnya filem ini menjadi lebih baik dari apa yang saya tonton.

Saya tidak nampak apa-apa kesan bila orang iklan mengarah filem? Adakah ada pembaharuan? Jawapan saya, TIDAK ADA!

Tidak banyak kreativiti yang diciptakan dalam teknik linear. Teknik yang perjalanan lurus ke depan. Tidak seperti filem Syaitan yang menggunakan teknik rawak dan pandai bermain teka teki dengan penonton.

Gimik adegan Hans Isaac dan Rusdi Ramli memakai baju kurung memang menggelikan hati saya. Geli geleman den nengoknya! Penonton memang sukalah kalau ada adegan gedik-gedik camni. Suka sangat tengok lelaki berpakaian wanita eh? Tak tahu ke, lelaki berpakaian wanita tu berdosa dan hukumnya haram! Ops! (Mmm… nak berceramah la pulak!)

Drama ini terlalu banyak dramatik ala-ala hindustani. Banyak sangat adegan sedih dan airmata. Sehingga saya rasa dramatiknya memang keterlaluan. Ini merujuk kepada minit-minit terakhir dalam filem ini. Saya dapat tahu, pelakon Fauziah Nawi ada mengkritik dan berbalah dengan pengarah pasal benda ni.

PENINGKATAN PARA PELAKON

1. Hans Isaac saya perhatikan sudah ada peningkatan. Berdasarkan cubaannya menari walaupun masih nampak kaku. Untuk merealisasikan watak Khushry, Hans terpaksa berlatih tarian, menghafal lirik lagu lagu Hindustan dan menghayati wataknya. Memang susah walaupun untuk buat miming.

 Hans katanya memberikan konsentrasi yang penuh untuk ekspresi muka, sebutan lagu Hindustan dan gerak tari supaya tidak nampak palsu dan bukan dibuat-buat. Sebelum ini pun, Hans Isaac pernah disuruh menyanyi dalam filem Baik Punya Cilok. Jadi, alah bisa tegal biasa. Tidak keterlaluan saya katakan, Hans Isaac kini sedang mencipta nama untuk menjadi pelakon serba boleh.

 Bukan itu sahaja, Hans Isaac kini dah jadi pengarah dan penerbit filem pun! Nantikan filem pertama arahan Hans berjudul CUCI. Erra Fazira, Afdlin Shauki dan AC Mizal pun ada berlakon dalam filem CUCI. Apa yang diorang ni akan cuci, saya pun tak pasti.

2. Lakonan Erra Fazira tidak banyak yang dapat saya katakan. Pengalaman sudah banyak ditimba oleh Erra dalam puluhan filemnya. Dengan skrip dan watak Karisma yang ditimpa bencana kesedihan, lakonan Erra dibayangi oleh watak-wataknya sebelum ini. Aksi menangis, sedih dan gembira selalu kita lihat. Cabaran paling hebat bagi Erra ialah untuk mendapatkan semula momentum dan develope kembali karakter. Begitu juga dengan penyanyi Ziana Zain yang memegang watak Rani. Agak lama tidak muncul di layar perak, Ziana membuktikan yang dia masih boleh lakukan yang terbaik.

3. Pujian saya berikan kepada Rusdi Ramli yang mampu menggalas tanggungjawab menggantikan Yusri. Bukan senang, Rusdi diberikan skrip pada tempoh singkat. Cabarannya ialah bagaimana Rusdi mampu membawa watak yang agak berat sebagai penagih dadah yang selalu pencetus masalah. Pada saya, dari segi fizikal agak kurang berjaya. Sepatutnya Rusdi mengambil inisiatif untuk menguruskan sedikit badannya agar nampak betul-betul penagih dadah.

4. Fauziah Nawi & Datuk Rahim Razali (sebagai ibu bapa kepada Qabil Khushry dan Qabil Igam) sememangnya sudah terkenal dengan pelakon berkarisma. Siapa tidak kenal dengan mereka berdua. Selepas filem CINTA, ini adalah antara filem terbaru lakonan Datuk Rahim. Namun, pengambarannya di buat sebelum filem CINTA.

5. Lakonan Izi Yahya sebagai dalang pemusnah atau penjahat memang boleh digambarkan bagaimana bentuknya. Memang dah sinonim dengan fizikal Izi Yahya. Jahat yang terlampau jahat. Bengis. Dalam satu babak di dapur masa Karisma (Erra Fazira) tidak menyediakan makanan, saya teringat dengan satu adegan dalam Perempuan, Isteri dan Jalang.

6. Oh ya, bercakap dengan persamaan, adegan Erra Fazira yang mandi berkemban (tidak dipotong?) di bilik mandi terbuka dan diintai oleh Qabil Igam (Rusdi Ramli) juga mengingatkan saya aksi panas Ramona Rahman dalam Fenomena dan sudah tentu akan mengingatkan saya lakonan hebat Sofia Jane dalam Perempuan Isteri dan…

MORAL & PENGAJARAN 

Banyak mesej pengajaran yang dapat diambil dari kisah kekeluargaan dan sosio masyarakat Melayu ini. Unsur pendidikan bermula dari ibu bapa, dari saat kelahiran, dengan menamakan bayi hinggalah kepada menamatkan zaman bujang anak-anak.

Ibu bapa adalah tunjang utama kehidupan manusia. Keredhaan Tuhan bergantung sejauh mana keredhaan ibu bapa kepada anak-anak mereka.

Kasih sayang antara adik beradik dan pengorbanan dalam hidup manusia. Yang baik dibalas baik dan yang jahat akan menerima habuannya setimpal dengan amalannya di dunia.

ULASAN FILEM SEBELUM INI:

1. Foto-foto dari Filem Qabil Khushry Qabil Igam

2. Di Sebalik Sinopsis Filem Qabil Khusry Qabil Igam

3. Ulasan Filem Syaitan 

4. Kuntilanak vs Urban Legend

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Betul Ke Siti Sarah Bertunang dengan Mohd Harith Fuad Robinson?

Rahsia Di Sebalik Lirik Lagu Kaer Azami IZINKAN AKU PERGI