in ,

Ujibakat VOKAL Bukan Sekadar Rupa Musim Ke-2

ANDA SUDAH BERSEDIA?
Musim ke-2 Tanpa Mengira Rupa!

Selepas menyaksikan kejayaan Asmidar dinobatkan sebagai juara sulung program VOKAL, berita baik untuk semua penggemar muzik tanahair apabila TV3 meneruskan inisiatif mewarnai industri seni suara pencarian bakat-bakat baru. Jika tahun lalu, program ini memberi pengkhususan kepada mereka yang tidak mempunyai pakej lengkap dan sempurna, tahun ini memperlihatkan ianya berbeza iaitu terbuka kepada semua tanpa mengira paras rupa.

Sesi uji bakat yang akan bermula pada hari Sabtu ini, (selama 4 minggu berturut-turut) akan memperlihatkan pemilihan ‘semula jadi’ di mana vokal masih diberi keutamaan oleh pihak juri dan produksi.

Logo VOKAL

Diperkenalkan pada tahun 2011, VOKAL ialah sebuah program berkonsepkan pertandingan nyanyian yang disasarkan khusus kepada warganegara Malaysia yang mempunyai minat dan bakat dalam bidang nyanyian. Tidak hairanlah jika VOKAL diangkat sebagai platform positif kepada peserta kerana inilah satu-satunya program yang memberi peluang kepada mereka untuk menunjukkan bakat nyanyian tanpa menilai personaliti ataupun paras rupa.

Beberapa pembaharuan telah diperkenalkan bagi memantapkan lagi mutu pengisian program agar terus segar serta menepati kehendak para penonton yang dahagakan program berkualiti dan rancangan yang menghiburkan. Berbeza dengan musim sebelumnya yang hanya terbuka kepada mereka yang tidak mempunyai pakej yang lengkap dan sempurna, musim ini, sesi uji bakat ini terbuka kepada semua tidak kira mempunyai paras rupa yang cantik atau tidak. Sebagai kelainan, para peserta juga digalakkan untuk berkongsi bakat seni seperti lakonan, bermain alat muzik atau menari yang pastinya akan menjadi kelebihan buat calon peserta yang hadir ke sesi uji bakat.

Bagi para peserta yang berminat untuk menjadi peserta VOKAL, bolehlah menghadiri ke sesi uji bakat yang akan diadakan seperti berikut:

8 & 9 September 2012 Sri Pentas TV3, Bandar Utama
15 & 16 September 2012 Kota Kinabalu, Sabah
29 & 30 September 2012 Kuching, Sarawak
6 & 7 Oktober 2012 Sri Pentas TV3, Bandar Utama

Menurut Penerbit, Ahmad Shaifullizam Arshad, “VOKAL telah berjaya muncul dengan identitinya yang tersendiri di kalangan penonton Malaysia. Justeru, kami mengambil keputusan untuk meneruskan pencarian VOKAL dengan kemunculan musim kedua. Masih mengekalkan format yang sama, VOKAL akan mengutamakan pada bakat nyanyian luar biasa dan antaranya seperti mempunyai range suara yang tinggi serta mempunyai asas tentang muzik nyanyian dan pastinya VOKAL tidak akan mengukur pada paras rupa. Ingin saya berpesan kepada mereka yang bakal menghadiri ke sesi uji bakat VOKAL agar membuat persediaan awal supaya tidak mensia-siakan peluang yang diberikan.”

“Sebagai kelainan, kami juga memberi peluang kepada calon peserta untuk menunjukkan bakat seni lain seperti menari, berlakon atau bermain alat muzik dan ini akan menjadi markah bonus untuk dinilai semasa sesi uji bakat,” tambah Ahmad Shaifullizam Arshad.

Selain itu, Vokal musim kedua juga bakal membawa masuk khidmat dua nama besar yang dipilih berdasarkan pengalaman mereka yang amat luas dalam industri seni tanah air iaitu Azmeer dan Mas Idayu yang bakal menggalas tanggungjawab untuk memilih yang berkelayakan menjadi peserta VOKAL musim kedua.

Mereka yang berminat mestilah warganegara Malaysia yang berumur 18 sehingga 25 tahun dan perlu membawa gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta minus one untuk lagu yang mahu didendangkan.

Jadi kepada sesiapa yang berminat, jangan lepaskan peluang untuk menonjolkan kehebatan vokal anda di sesi uji bakat yang akan bermula pada hari Sabtu ini, 8 September 2012 bermula jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di Sri Pentas TV3, Bandar Utama.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis & Astro Tawar Pakej IPTV

Datuk Sharifah Aini & Bob Yusof di Malam Amal Melodi Kasih