in

TV3 Tayang Merlin Musim Ke-5

MERLIN 5: TAKDIR SEBENAR CAMELOT
Ikuti Pengembaraan Merlin & Arthur
Setiap Isnin Jam 10.00 malam Di TV3

Kembali untuk musim ke-5, drama bersiri pengembaraan epik fantasi yang berdasarkan kisah lagenda Arthurian iaitu Merlin terus mempesonakan para peminatnya dengan mengetengahkan ‘The Die Is Cast’ sebagai tema utama pergolakan di Camelot.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2008, para penonton telah mengikuti perjalanan hidup seorang Putera Raja, Arthur bersama seorang pemuda kampung, Merlin yang mempunyai kuasa luar biasa. Di Camelot, penggunaan kuasa magis adalah satu larangan dan Merlin terpaksa menggunakan ilmu dan kuasa sihirnya secara rahsia untuk membantu Arthur. Sudah pasti para peminat Merlin tidak sabar untuk mengetahui sama ada identiti sebenar Merlin sebagai ahli sihir akan terbongkar dan seterusnya diterima oleh Raja Arthur?

Diterbitkan oleh Shine TV dan BBC Wales, siri pengembaraan ini berjaya menambat hati penonton melebihi 180 buah negara dari seluruh dunia. Merlin musim ke-5 masih mengekalkan barisan pelakon yang asal iaitu Colin Morgan (Merlin), Bradley James (Raja Arthur), Angel Coulby (Pemaisuri Guinevere / Gwen), Katie McGrath (Morgana), Richard Wilson (Gaius), Adetomiwa Edun (Sir Elyan), Eoin Macken (Sir Gwaine), Tom Hopper (Sir Percival), Rupert Young (Sir Leon), John Hurt (suara latar sang Naga Hikmat) dan memperkenalkan watak baru, Alexander Vlahos (Mordred).

Merlin 5 kini bersiaran pada setiap hari Isnin jam 10.00 malam, penonton TV3 boleh menyaksikan 2 episod berturut-turut selepas tayangan perdana episod pertama dan kedua pada 16 November 2012. Babak baru bermula dengan zaman kegemilangan kerajaan Camelot di bawah pemerintahan Raja Arthur yang baru mewarisi takhta selama 4 tahun. Kini, Arthur sudah semakin matang dan menjalankan tugasnya sebagai seorang raja yang berwibawa di sisi Pemaisuri Guinevere, para satria yang setia dan juga Merlin yang merupakan kawan karibnya.

Morgana, sebuah nama yang ditakuti oleh rakyat Camelot sudah tidak kedengaran selama 3 tahun. Walaupun begitu, ia tidak bermaksud bahawa Raja Arthur boleh menarik nafas lega kerana kejadian misteri mula berlaku di sempadan utara. Kesemua satria yang ditugaskan ke sana telah hilang. Justeru, Arthur berangkat ke sana untuk menyiasat apakah yang berlaku sebenarnya.

Bersama Merlin dan rakan-rakan seperjuangannya (knights of the round table), Arthur menuju ke destinasi yang penuh dengan cabaran dan tipu muslihat. Kuasa Morgana semakin kuat dan bijak mengaturkan rancangannya untuk menghancurkan Arthur dan Merlin. Kemunculan Mordred, seorang ahli sihir muda yang kesetiaannya tidak diketahui sama ada kepada Arthur ataupun Morgana mampu membawa maut kepada Arthur.

Kemahiran Mordred dalam penguasaan pedang telah mendapat kepercayaan daripada Arthur dalam masa yang singkat sehingga Mordred dilantik sebagai satria. Merlin yang tahu tentang latar belakang Mordred meragui kesetiaan Mordred terhadap Arthur. Malah, Merlin rasa kurang senang hati dengan keakraban Arthur dan Mordred.

Bakal memasuki episod ke-5 & ke -6 pada 26 November 2012, kewibaaan Raja Arthur sebagai seorang pemerintah diuji dengan desakan daripada The Disir untuk kembali kepada cara pemerintahan lama. Sekiranya Arthur inginkan keamanan untuk Camelot, baginda perlu akur dengan permintaan Osgar dan The Disir. Arthur yang mahu membuktikan kemampuan baginda enggan menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh The Disir.

Justeru, tindakan Arthur telah membangkitkan kemarahan The Disir sehingga meletakkan Camelot dalam keadaan yang bahaya. Hanya pengorbanan nyawa yang mampu menyelamatkan keadaan. Apakah Arthur sudah sedia untuk menandatangani konflik ini?

Mampukah Merlin menghalang malapetaka yang akan menimpa Camelot kerana maut sudah semakin hampir dan mengatasi kuasa gelap yang semakin meluas di Camelot? Apakah takdir yang tertulis buat Camelot? Saksikan Merlin musim ke-5 di TV3, setiap hari Isnin jam 10.00 malam. Layari Facebook & Twitter TV3MALAYSIA untuk mendapatkan berita terkini.

Poster Merlin

Merlin

Merlin

Merlin

Merlin

Merlin

Merlin

Merlin

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Pencalonan Kategori Bella Awards 2013

Peraduan Parti 20 Yang Anggun & Disenangi 2012 Budiey.com