in

TV3 Siar Siri Terbaru Agents of S.H.I.E.L.D

Dari pengarah tersohor filem popular The Avengers dan Captain America: The Winter Soldier, Joss Whedan, dibawakan sebuah siri aksi fiksyen berjudul ‘Agents of S.H.I.E.L.D.’. Menampilkan pelakon-pelakon popular iaitu Clark Gregg, Ming-Na Wen, Brett Dalton, Chloe Bennett, Iain De Caestecker, Elizabeth Henstridge, Cobie Smulders dan Samuel L. Jackson, siri ini merupakan kesinambungan dari filem The Avengers dan Captain America: The Winter Soldier terbitan Marvel Studios. Ia bakal disiarkan secara eksklusif menerusi saluran televisyen percuma iaitu TV3 bermula 29 April 2014, setiap hari Selasa jam 11.00 malam.

SHD_HORZKA_v8a.tif

Kisah bermula ketika kejadian di dalam filem The Avengers di mana Loki telah berjaya memperdayakan Thor malah Loki turut menikam Agen Phil Coulson dalam usahanya untuk melarikan diri dari pesawat S.H.I.E.L.D. Secara teknikal, Agen Phil Coulson mati di tangan Loki. Namun, sebenarnya lelaki tersebut telah diselamatkan oleh pasukan medik S.H.I.E.L.D. dan dihantar ke Tahiti sehingga sembuh sepenuhnya. Maklumat ini terpaksa dirahsiakan oleh Nick Fury (Samuel L. Jackson) dari pengetahuan Avengers untuk memudahkan kerjasama mereka sebagai satu pasukan.

Sejak dari peristiwa battle of New York itu, Agen Phil Coulson kembali menerajui sebuah pasukan kecil yang terdiri daripada agen berkemahiran tinggi untuk menyiasat apa sahaja kuasa luar biasa yang mengancam keselamatan dunia. Pasukan ini dikenali sebagai ‘Agents of S.H.I.E.L.D.’, disertai oleh Agen Melinda May (Ming-Na Wen), Agen Grant Ward (Brett Dalton), Agen Skye (Chloe Bennett), Agen Leopold “Leo” Fitz (Iain De Caestecker) dan Agen Jemma Simmons (Elizabeth Henstridge).

Kelima-lima agen ini mempunyai kemahiran berbeza. Melinda May merupakan seorang juruterbang dan pakar senjata yang dikenali dengan nama samaran ‘The Cavalry’, Grant Ward ialah pakar Black Operation atau Black Ops, Skye ialah penggodam komputer, Leo Fitz ialah seseorang yang pakar dalam bidang kejuruteraan khususnya teknologi senjata manakala Jemma Simmons adalah pakar dalam sains hayat (manusia dan makhluk asing).

Tugas pertama ‘Agents of S.H.I.E.L.D.’ ialah menyiasat tentang Mike Peterson, seorang aktivis kumpulan ‘The Rising Tide’ yang mampu hidup selepas letupan sebuah bangunan. Skye, yang ketika itu masih belum menyertai ‘Agents of S.H.I.E.L.D.’ merupakan salah seorang ahli ‘The Rising Tide’. Dia cuba memberi amaran kepada Peterson tentang S.H.I.E.L.D., namun Peterson bersikap tidak ambil kisah.

Kemudian, Skye ditangkap oleh Coulson dan Ward. Dia disoal di dalam pesawat S.H.I.E.L.D. namun enggan untuk memberi kerjasama. Tetapi, akhirnya Skye mendedahkan semua maklumat yang diketahuinya di mana Peterson telah dibekalkan dengan serum Centipede (yang menggunakan bahan seperti logam asing, radiasi gamma, virus ekstrim dan serum Super-Soldier) oleh organisasi yang tidak dikenali. Serum tersebut telah memberi Peterson kuasa luar biasa. Tidak lama kemudian, Skye diculik pula oleh Peterson (kini hidup dalam pelarian) dan beliau mahu Skye membersihkan rekodnya.

Untuk mengetahui apakah yang berlaku selanjutnya, saksikan episod pertama ‘Agents of S.H.I.E.L.D.’ bermula 29 April 2014, setiap hari Selasa jam 11.00 malam di TV3! ‘Agents of S.H.I.E.L.D.’ turut mempersembahkan penampilan khas Cobie Smulders sebagai Maria Hill, Samuel L. Jackson (Nick Fury), Ian Hart (Franklin Hall), Josh Cowdery (Agen Tyler), Louis Changchien (Chan Ho Yin) dan ramai lagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Krisdayanti Dikenakan Syarat Untuk Kembali Aktif Menyanyi

Imam Muda Asyraf Berdakwah Menerusi Projek Kahwin