in ,

TV3 Siar Drama Bersiri Popular Filipina Temptation of Wife

Terbaharu di slot Telenovela, drama siri Filipina terbitan GMA Worldwide Inc., ‘Temptation of Wife’ bakal menemui penonton TV3 bermula 10 April 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 3.00 petang. Drama bersiri yang diadaptasi daripada siri drama Korea popular ini diarahkan oleh Dominic Zapata menampilkan barisan pelakon popular Filipina seperti Marian Rivera (Angeline Santos-Salcedo/Chantal Gonzales), Dennis Trillo (Marcel Salcedo), Glaiza de Castro (Heidi Fernandez) dan Rafael Rosell (Nigel Armada).

‘Temptation of Wife’ menampilkan Primetime Queen, Marian Rivera sebagai Angeline yang bangkit membalas dendam terhadap suaminya, Marcel, dan kawan baiknya, Heidi, selepas dia disangka mati lemas angkara Heidi yang telah curang bersama Marcel. Lakonan hebat Marian Rivera menerusi drama bersiri ini telah diberikan pengiktirafan sebagai Pelakon Wanita Drama Terbaik (Best Drama Actress) di 27th PMPC Star Awards for TV 2013 pada 24 November 2013. Siri ini turut dinobat sebagai ‘Outstanding Adapted Drama Program’ di 5th Golden Screen TV Awards yang berlangsung pada 21 Mac 2014.

POSTER Temptation of Wife

[pullquote]‘Temptation of Wife’ mengisahkan Angeline Santos dan Heidi Fernandez yang berkawan rapat sejak Heidi diletak bawah jagaan ibu bapa Angeline selepas ibu bapa Heidi meninggal dunia. Walaupun mereka sangat rapat seperti adik beradik, namun Heidi sentiasa berasa iri hati dengan Angeline.[/pullquote]

Angeline terpaksa melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang jururawat apabila dia mendapati dirinya mengandung kerana terlanjur dengan Marcel Salcedo. Heidi yang turut menyimpan perasaan terhadap Marcel cuba sedaya upaya untuk menggagalkan perkahwinan Angeline dan Marcel tetapi dia tidak berjaya. Jadi, Heidi telah membawa diri ke luar negara.

Selepas berkahwin dengan Marcel, Angeline dilayan seperti orang gaji oleh ibu mertuanya, Stella. Walaupun dirinya tidak disukai oleh ibu mertuanya, Angeline tetap bersabar dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan anak menantu yang baik. Malangnya, Angeline mengalami keguguran dan sukar untuk hamil semula.

Selepas 5 tahun, Angeline masih tidak mengandung untuk kali kedua. Marcel mula tertekan kerana dia inginkan zuriat. Hubungan mereka berdua mula dilanda masalah. Heidi pulang ke Filipina sebagai seorang wanita berkerjaya yang berjaya. Heidi yang masih berdendam dengan Angeline mula menggoda Marcel untuk menghancurkan hidup Angeline.

Angeline mula mengesyaki Marcel telah bercurang. Namun, Angeline tidak menyangka bahawa perempuan simpanan Marcel ialah Heidi yang dilayannya sebagai seorang adik. Marcel yang mahu memutuskan hubungannya dengan Heidi telah berubah fikirannya apabila Heidi memberitahunya dia telah mengandungkan anaknya. Malah, Marcel yang telah diperdayakan oleh Heidi tidak mempedulikan Angeline yang akhirnya mengandungkan anak kedua mereka.

Dalam satu pergelutan dengan Heidi, Angeline telah jatuh ke dalam laut dan disangka mati lemas. Mujur dia telah diselamatkan oleh Nigel. Demi membalas dendam terhadap Marcel dan Heidi, Angeline sanggup berpakat dengan Yolanda untuk menyamar sebagai anak perempuannya iaitu Chantal Gonzales yang menguruskan sebuah syarikat produk kecantikan.

Daripada seorang suri rumah biasa, Angeline kini dikenali sebagai Chantal Gonzales yang penuh pesona. Sebagai permulaan, Angeline telah menggoda Marcel yang kini berkahwin dengan Heidi. Secara perlahan-lahan, Yolanda dan Angeline mahu mengambil alih syarikat keluarga Salcedo.

Dalam masa yang sama, Nigel mula menyayangi Angeline dan sentiasa melindunginya daripada rancangan jahat Heidi dan Stella. Chantal yang telah hilang itu sebenarnya sangat obses dengan abang angkatnya, Nigel dan mahu berkahwin dengannya.

Saksikan kisah selanjutnya di ‘Temptation of Wife’ yang akan bersiaran selama 56 episod menerusi slot Telenovela TV3 mulai 10 April 2014. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang drama tersebut, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Marian Rivera - Best Drama Actress 27th PMPC Star Awards for TV 2013

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maya Karin Penghias Muka Depan Majalah EH! April 2014

Amy Search Bakal Bergabung Meletop Dengan Judika