in

TV2 Ulang Siar Drama Bersiri TANGISAN BULAN MADU

Drama bersiri Tangisan Bulan Madu yang menyaksikan lakonan mantap dan berkesan Ezany Nizariff bergandingan dengan pelakon Rita Rudaini pernah mencipta fenomena dan menerima sambutan hebat di kalangan penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) suatu ketika dahulu.

Kekuatan jalan cerita adaptasi novel karya Samsiah Mohd Nor itu berjaya membuktikan kejayaan dan penerimaan orang ramai bila karya novel itu dipindahkan ke medium televisyen dan buktinya kini semakin banyak drama-drama bersiri TV diadaptasi daripada novel tempatan.

Cuba mengembalikan ingatan penonton terhadap drama bersiri popular tersebut, RTM sedang menyiarkan kembali secara berturut-turut siri pertama dan kedua Tangisan Bulan Madu, setiap Isnin hingga Rabu, pukul 2.00 petang di TV2.

Tangisan Bulan Madu 2 poster

RTM Ulang siar Drama Bersiri Popular “Tangisan Bulan Madu” dan “Tangisan Bulan Madu 2” di TV2

Turut menyaksikan lakonan mantap Dato’ Jalaluddin Hassan, Fadilah Mansor, Liza Othman, Zarynn Minn, Eira Syazira dan Aripah Damanhuri, saksikan Tangisan Bulan Madu mengisahkan saat tiga minggu paling bermakna yang dikecapi pasangan Bogatt dan Amira ketika berbulan madu. Amira, seorang gadis kampung miskin yang bertemu jodoh dengan Bogatt, anak ahli perniagaan berjaya di Kuala Lumpur.

Namun belum sempat mengecapi kebahagiaan suami isteri, Bogatt meninggal dunia kerana penyakit barah otak yang dirahsiakan. Bogatt tidak menyentuh Amira walaupun berkeinginan mengecap kebahagiaan suami isteri yang sah bersama wanita yang amat bermakna dalam hidupnya itu. Bogatt memutuskan mahu meninggalkan Amira dalam keadaan “suci” agar boleh menyambung impian bulan madu dengan lelaki lain.

Amira merayu agar Bogatt meninggalkan “sesuatu” kepadanya. Bogatt tetap dengan pendiriannya. Lalu di depan Bogatt, Amira bersumpah untuk tidak berkahwin sekali lagi buat selamanya.

Tetapi pertemuannya dengan penyair saling tidak tumpah seperti Bogatt mengejutkan Amira. Apatahlagi setelah lelaki bernama Razlan itu memperkenalkan diri sebagai R.Q.Amir yang meminatinya. Malah lebih mengejutkan, Razlan adalah adik kepada Bogatt tetapi berlainan ibu.

Mampukah Amira berpegang kepada sumpah setia itu? Apatahlagi dengan kemunculan semula Razlan yang tidak pernah putus asa menyatakan rasa cintanya terhadap Amira.

Kemudiannya diikuti kesinambungan Tangisan Bulan Madu 2 yang masih mengekalkan pelakon utama yang sama Rita Rudaini dan Ezany Nizariff. Kisahnya berkembang dengan Amira menruskan kehidupannya dengan kenangan yang ditinggalkan arwah Bogatt. Razlan yang membawa diri muncul kembali dengan sikapnya yang lebih tenang. Badariah, ibu Razlan dan juga Idayu dan Marina berusaha untuk menyatukan kembali hubungan Amira dengan Razlan.

Tangisan Bulan Madu 2

Dr. Bada terus memburu cinta Amira. Mujur ada Marina mempertahankan Amira yang dituduh menggoda Dr. Bada oleh isterinya tanpa usul periksa. Amira nekad membuat laporan polis dan berjaya mendapat injuksi mahkamah menghalang Dr. Bada mengganggunya.

Amira mengambil keputusan menjual Butik Lavish dan menerima cadangan Marina tinggal bersamanya. Dalam diam Marina mahu menyatukan semula Amira dengan Razlan. Razlan kesal dengan tindakan Amira menjual Butik Lavish yang menjadi kenangan antara dia dengan arwah Bogatt. Amira bekerja sebagai guru di sebuah sekolah swasta. Hubungan Amira dengan Razlan bertambah erat dan mula keluar ke majlis puisi bersama. Mereka mula merancang bertunang. Namun segalanya musnah dengan kehadiran Serena, bekas kekasih Razlan bersama Danish yang diuar-uarkan anak luar nikahnya bersama Razlan hingga Razlan memutuskan menangguhkan pertunangannya dengan Amira.

Amira merajuk hati dan kembali ‘hidup’ dalam dunianya dengan kenangan Bogatt. Dia makin tersinggung bila Razlan menerima Serena bekerja sebagai kerani di syarikatnya dengan niat semata-mata mahu membantu wanita itu. Amira kemudiannya memutuskan berhenti kerja mengajar di sekolah itu.

Amira ke Kuala Lumpur memulakan hidup dengan menumpang rumah Syafura, rakan sekampungnya. Melalui Syafura, Amira berkenalan dengan Nora, usahawan tekstil berjaya yang menawarkannya menjadi rakan kongsi butik miliknya. Hubungan mereka berlangsung baik sehinggalah Amira mendapat tahu Nora sebenarnya isteri kepada bekas kekasihnya Azali. Azali pula mengambil kesempatan terhadap Amira dan bila perkara itu diketahui Nora, Amira diusir umpama kucing kurap. Mujur ada Razlan yang membantu ketika Azali mahu mengambil kesempatan terhadapnya dan hubungan mereka kembali terjalin.

Razlan berdepan tuduhan rasuah dan masalah syarikat yang didalangi Farhan. Hubungan Amira dengan Razlan kembali rapat kerana Amira menyokong Razlan menghadapi kes saman empat sub-kontraktor. Ketika Razlan mahu membina rumah tangga bersama Amira, hubungan mereka diduga lagi. Kali ini bila Razlan ditangkap khalwat dengan Soraya. Hatinya jadi hambar untuk kembali kepada Razlan. Amira selalu mimpikan Bogatt dan terkenang sumpah setianya terhadap Bogatt, mungkin dia dimakan sumpah. Dia mengambil keputusan mengikuti rombongan persatuan penulis ke Eropah.

Namun Amira kemudiannya menghilangkan diri daripada keluarga Badariah. Razlan yang gagal menghubungi Amira mula mengesyaki sesuatu. Dia hanya mengetahui Amira telah berangkat ke Mekah setelah diberitahu oleh Pak Samad. Razlan sangat terkejut dan begitu kecewa. Lalu apakah kesudahannya? Adakah cinta mereka berjaya bersatu?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

UNIQLO Launches the Best of +J Spring Summer Collection

Realiti Laila Majnun Dalam DUNIA TERSEMBUNYI