in

TM Semarak FIFA Piala Dunia 2010

PRITT…PRITT…SEMARAK PIALA DUNIA MELANDA
TM WORLD FOOTBALL HEROES DI TV3

Menyemarakkan demam Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung bermula 11 Jun 2010 ini, TV3 dengan kerjasama erat Telekom Malaysia (TM) Berhad membawakan sebuah program bual bicara bolasepak berjudul TM World Football Heroes yang telah pun mula bersiaran setiap hari Selasa pukul 11.00malam.

Program yang diterbitkan oleh penerbit sukan berpengalaman Muhammad Ibrahim, selain dibawakan oleh Aidid Marcello dan Kartini Kamalul Ariffin sebagai hos program ini. Program 13 episod ini turut menyingkap informasi dan fokus terhadap pasukan negara yang akan bertanding di Piala Dunia Afrika Selatan 2010.

Setiap episod turut menyiarkan gambaran terkini tentang pasukan-pasukan bolasepak terbaik dunia yang bertanding tahun ini. Trivia juga disediakan, semuanya mengenai penganjuran Piala Dunia dari kali pertama dianjurkan di Uruguay (1930) sehingga kini Afrika Selatan (2010). Selain itu juga, program ini menjemput dua selebriti tempatan bagi menceritakan pengalaman mereka dalam sukan bolasepak serta berbicara mengenai pasukan dan pemain yang diminati.

Ketika ditemui, Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, “bersesuaian dengan demam bola yang melanda seluruh dunia, kami tidak mahu ketinggalan dalam menyertai semangat bola ini. Kami berbangga kerana dapat bekerjasama dengan TM membawa program sukan bolasepak ini kepada penonton setia TV3 dan peminat bolasepak tempatan khususnya,”katanya

Manakala, Ketua Pegawai Pemasaran TM, Rozalila Abdul Rahman berkata, “penglibatan TM dalam sukan tempatan terutama bolasepak negara juga bukanlah sesuatu yang baru. Kami dengan rasa berbesar hati bersama-sama membawakan program ini untuk semua. TM selaku penaja utama, juga tidak mahu ketinggalan dalam demam bolasepak dunia. Dalam pada yang sama, kami berbangga menandatangani perjanjian bersama Persatuan Bolasepak England. Sebagai Pemegang Hak Rasmi Telekomunikasi Pasukan England di Malaysia, ia memberi hak kepada TM bagi menggunakan logo pasukan dan imej pemain kebangsaan bolasepak negara itu di Malaysia sepanjang tahun 2010.

Perjanjian ini adalah inisiatif terbaru membawakan sukan bolasepak peringkat antarabangsa kepada peminat-peminat bolasepak tempatan. TM dan Persatuan Bolasepak England mengharapkan perjanjian kedua belah pihak ini akan seterusnya memberi manfaat dan informasi tentang perkembangan bolasepak England. Perjanjian tersebut membolehkan TM menghasilkan beberapa produk istimewa yang memaparkan logo pasukan England selain memperkenalkan kempen World Football Heroes, justeru mengangkat nama TM sebagai satu syarikat yang agresif mempromosikan sukan nombor satu ini di Malaysia.”

Bukanlah satu nama asing dalam arena bolasepak, TM melihat perjanjian termeterai ini adalah satu langkah positif dalam membangun sukan bolasepak tempatan. Sepertimana yang diketahui umum, TM adalah penaja utama Liga Malaysia sejak tahun 2005. Melalui ini, pasukan yang bertanding mendapat imbuhan dari segi sokongan dan kewangan seterusnya membangunkan sukan bolasepak tempatan. Melalui usaha ini, sukan bolasepak telah mula mendapat perhatian dan sokongan daripada peminat-peminat tempatan berdasarkan kutipan tiket perlawanan di stadium-stadium.

Selain program bersiaran, TM juga sedang giat mempromosikan sesi ‘on-ground roadshow’ yang diberi nama Karnival TM World Football Heroes yang telah berlangsung di beberapa lokasi-lokasi terpilih. Sebanyak 10 lokasi telah dikenal pasti dalam menjayakan karnival ini dengan pelbagai aktiviti-aktiviti dan permainan yang bertemakan bola sepak.

Karnival yang telah bermula di lokasi pertama, Jusco Kinta, Ipoh pada 2 April 2010 lalu sehingga pada 30 Mei 2010 di Jusco Seremban telah berjaya menarik hampir 170 ribu pengunjung rata-rata peminat-peminat bolasepak dan Piala Dunia 2010. Meskipun demikian, ianya satu karnival yang menumpukan kepada merapatkan hubungan kekeluargaan antara warga TM dan orang ramai.

Antara permainan yang terdapat di karnival ini ialah Playstation 3, World Football Virtual Tunnel, World Footbal Heroes Dream Manager, pertandingan mewarna, face painting, serta gerai jualan barangan dan produk TM seperti Streamyx dan iTalk.

Tarikan utama di Karnival ini ialah di mana orang ramai berpeluang memenangi hadiah mencecah RM10,000 dengan cubaan menjaringkan gol terbanyak sepakan penalti dalam masa 2 minit. “Kami adakan sepakan penalti ini di setiap lokasi dimana kami mencari satu juara di setiap lokasi dan mengumpulkan mereka di acara kemuncak yang akan berlangsung di Bukit Bintang, 11 Julai 2010 dengan taruhan RM 1juta untuk setiap peserta yang berjaya membuat rembatan sempurna,” ujar Rozalila lagi

Berikut adalah lokasi-lokasi berikutnya Karnival ini:-

10-12 Jun 2010 Central Square, Sungai Petani Kedah
17-19 Jun 2010 Kemaman Terengganu
2-4 Julai 2010 East Coast Mall, Kuantan Pahang
11 Julai 2010 Bukit Bintang, Kuala Lumpur

Mengenai TM

Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.

Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.

Dari segi Tanggungjawab Korporat (CR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembinaan masyarakat/negara dan alam sekitar. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 11,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij Anugerah STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility atas usaha-usaha kemasyarakatannya dan Anugerah CSR Perdana Menteri 2009 untuk amalan-amalan di tempat kerjanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my

Dikeluarkan oleh:

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Samsung Wave First BADA Smartphone Hits Malaysia

In Team, Pak Long, Sharifah Nor di Malam Kesenian Islam