in

The Smurfs Dalam Bahasa Malaysia Untuk Hari Raya

Ceriakan raya anda dengan meraikan Hari Raya AidilFitri dengan cara yang istimewa dimana HBO Asia dan Astro berkolaborasi untuk mempersembahkan filem animasi box office hit Hollywood, The Smurfs dalam Bahasa Malaysia.

Pengembaraan The Smurfs bermula apabila ahli sihir yang jahat, Garagamel menghalau Smurfs yang biru lagi kecil dari kampung mereka. Mereka telah terpelanting dan jatuh dari dunia ajaib ke tengah-tengah kawasan Central Park di New York. Smurfs berusaha untuk mencari jalan ke kampung halaman mereka sebelum dijejaki oleh Gargamel.

The Smurfs Dalam Bahasa Malaysia Untuk Raya

Menampilkan suara-suara barisan artis dan personaliti popular tempatan seperti Aznil Nawawi, Yusri Abdul Halim, Lisa Surihani, Hafiz Suip, Dato’ AC Mizal, Datin Emelia Rosnaida, Datuk Jalaluddin Hassan, Hazama AF, Hafizuddin Fadzil dan Elfira Loy bagi mewarnai lagi filem yang dialih bahasa tersebut.

Budiey juga turut menyumbangkan suara untuk The Smurfs ini dan membawa watak Vanity Smurf.

Aznil menegaskan bukan mudah untuk menyesuaikan balik skrip Bahasa Malaysia mengikut mulut, masa, mimik muka dan gerak laku. Interaksi perlu wujud antara watak-watak juga sedikit memberi cabaran kerana para pelakon tidak merakam suara pada waktu yang sama.

“Saya perlu meneran dan mencuba beberapa ketawa yang sangat jahat untuk menghidupkan watak Gargamel iaitu ahli sihir yang jahat. Walaupun ini bukan kali pertama saya melakonkan watak alih bahasa ini namun agak sukar untuk konsisten dengan suara untuk watak ini, “ kata Aznil di sidang media The Smurfs di Hotel Hilton Kuala Lumpur.

Manakala Lisa Surihani pula tidak mahu dibayangi oleh pengaruh Katy Perry bagi wataknya sebagai Smurfette di dalam filem The Smurfs ini. Mengakui begitu teruja ketika ditawarkan watak Smurfette, Lisa sudah lama menyimpan impian untuk berkecimpung dalam bidang alih suara.

“Saya memang begitu meminati The Smurfs ketika kecil dan menganggap peluang ini sebagai sesuatu yang tidak patut dilepaskan. Bukan mudah untuk mempamerkan emosi dan suasana melalui suara malah saya juga cuba untuk menyelitkan unsur kemelayuan di dalamnya,” katanya.

The Smurfs dalam Bahasa Malaysia bakal menemui penonton jam 8 malam pada 19 Ogos di HBO (Astro Saluran 411) atau HBO HD (Astro Saluran 431). Kesempatan ini diambil oleh pihak HBO Asia bagi meraikan ulang tahun ke-20 di rantau ini. via Gua Malaysia

The Smurfs Dalam Bahasa Malaysia Untuk Raya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Sekitar Feel Good Run 2012

Uli-Uli Biskut Raya Bersama Julie’s