in ,

The Expendables

Filem: The Expendables
Genre: Aksi
Pengarah: Sylvester Stallone

Pelakon: Sylvester Stallone, Jason Statham, Jet Li, Eric Roberts, Steve Austin, Dolph Lundgren, Randy Couture, David Zayas, Giselle Itie, Charisma Carpenter, Gary Daniels, Terry Crews, Mickey RourkeTayangan: Mulai 12 Ogos

PADA ketika kebanyakan filem aksi hari ini turut mendapat bantuan daripada kecanggihan teknologi imejan janaan komputer atau CGI, demi merealisasikan kemustahilan, The Expendables membuktikan, aksi gaya 80-an tetap mampu menghiburkan penggemar filem bercorak lasak dan ganas.

Filem yang diarahkan sendiri oleh bintang utamanya, Sylvester Stallone, berkisar pada usaha sekumpulan askar upahan untuk menjayakan misi menggulingkan seorang pemimpin diktator di sebuah negara kecil di Amerika Selatan.

Selepas menerima tugasan terbabit daripada Church (Bruce Willis), Barney Ross (Stallone) dan Lee Christmas (Jason Statham) terbang ke Vilena untuk bertemu dengan orang hubungan, Sandra (Giselle Itie), wanita yang penuh semangat tetapi misteri. Selepas memusnahkan sasaran, dua lelaki itu pulang ke Amerika, namun Sandra enggan mengikuti mereka.

Daripada maklumat yang diperoleh, Barney mendapati, Jeneral Gaza (David Zayas) bukanlah musuh sebenar. Sebaliknya dalang di sebalik kesemua kezaliman itu ialah bekas ejen CIA, James Monroe (Eric Robers) serta orang kanannya, Paine (Steve Austin).
Tidak sanggup menerima kegagalan misi berkenaan, Barney ingin kembali ke Vilena untuk menyelamatkan wanita terbabit, seterusnya menamatkan kesengsaraan penduduknya. Selain Christmas, turut serta dalam misi terbabit ialah ahli seni bela diri, Yin Yang (Jet Lee); pakar senjata, Hale Caesar (Terry Crews); dan perancang gerakan yang juga pakar pemusnah, Toll Road (Randy Couture).

Ketika yang sama, rakan mereka yang bermasalah, Gunnar Jensen (Dolph Ludgren) bersekongkol dengan Monroe setelah berasakan khidmatnya tidak lagi diperlukan kumpulan The Expendable.

Menonton filem ini tidak memerlukan kita berfikir secara mendalam. Sebagai sebuah filem aksi yang bersifat lurus, tiada plot sampingan yang memeningkan ditampilkan penulis skrip, dengan harapan memberikan impak lebih kepada penceritaan.

Stallone tidak memerlukan elemen penceritaan bukan-bukan bagi menjayakan filem arahannya. Sebaliknya, dia mengumpulkan barisan pelakon lasak terkemuka, dari era terdahulu sehingga sekarang, muatkan pula babak aksi yang ganas mendebarkan lagi membingitkan telinga, The Expendables sudah cukup untuk membuatkan penonton keluar panggung dengan kepuasan.

Mungkin sedikit keterlaluan buat sesetengah penonton, namun himpunan babak aksi dalam filem ini dianggap cukup hebat. Babak akhir menyaksikan episod pertarungan secara berdepan mahupun pertempuran senjata yang agak panjang.
Daripada kung fu, gusti, tinju, tembakan senjata api hinggalah letupan helikopter, Stallone cuba menghidangkan segala elemen aksi yang termampu buat peminat.

Kewujudan banyak karakter dalam filem ini turut memberikan warna yang pelbagai kepada ceritanya. Namun begitu, watak Barney menjadi tunjang yang memegang kuat penceritaan. Walaupun bukanlah lakonan terbaik Stallone, namun aktor itu kelihatan berusaha untuk memberikan sentuhan emosi dalam persembahan.

Kehadiran begitu ramai aktor lasak popular, dulu dan kini, sememangnya faktor paling kuat untuk menarik penonton ke panggung. Tidak cukup dengan Stallone, Statham dan Li, The Expendables turut mengundang Willis dan Arnold Schwarzenegger. Walaupun muncul untuk satu babak cuma, kehadiran mereka pada hakikatnya meninggalkan kesan besar kepada filem berkenaan.

Paling menonjol tentu sekali Rourke, yang memegang watak Tool, bekas anggota kumpulan itu yang tidak lagi aktif. Dialah yang sebenarnya menyedarkan Barney perihal pentingnya nilai kemanusiaan dan kewujudan jiwa dalam diri mereka.
Babak dia menuturkan monolog di garaj yang dijadikan markas kumpulan terbabit, menyerlah bakat lakonan hebat milik pelakon berkenaan.

Ringkasnya, The Expendables mampu muncul sebagai filem aksi memuaskan untuk peminat. Tidak perlu berfikir lebih,
kisahnya mudah diikuti. Paling penting, babak aksinya memang berada pada kelas tersendiri.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Guna Ampoule dan 24k Gold Serum Masa Photo Shoot

Dollhouse di 8TV