in

Teater Topeng Topeng Dilanjutkan Tempoh Persembahan

Lebih 80 peratus tiket teater Topeng Topeng yang akan dipentaskan bermula 8 hingga 12 September telah habis dijual. Berikutan sambutan baik ini, penerbit bersama Stefani Events dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) hari ini mengumumkan tambahan dua hari pada 13 dan 14 September bagi membolehkan lebih banyak khalayak menonton teater yang didedikasi khas buat Sasterawan Negara (SN) Dato’ Baha Zain.

SAMBUTAN HANGAT, TEATER TOPENG TOPENG DITAMBAH DUA HARI LAGI

Teater Topeng Topeng merupakan adaptasi daripada karya puisi SN Dato’ Baha Zain yang diolah semula oleh Fauziah Nawi dan Iryanda Mulya Ramly. Keunikan pengadaptasian bait-bait puisi ke bentuk lakonan melalui pentas teater menjadikan teater ini sangat ditunggu-tunggu oleh peminat teater dan sastera.

Menurut Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron, tambahan dua hari pementasan pada 13 dan 14 September merupakan hasil perbincangan dengan Fauziah Nawi sebagai memenuhi permintaan orang ramai yang mahu menyaksikan teater tersebut.

“Buat masa ini, tiket pementasan bagi tiga malam, iaitu pada 10, 11 dan 12 September telah habis dijual. Ini membuktikan terdapat banyak individu yang menghargai genre teater seperti ini dan kita bukanlah ketandusan penonton dan peminat dunia teater serius. Lebih membanggakan, Topeng Topeng mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi, tetapi turut menerima sambutan daripada orang kenamaan. Ini merupakan perkembangan baik dalam memperlihatkan dunia teater sebenar kepada generasi muda,” katanya.

Pengarah Bersama, Fauziah Nawi menyatakan bahawa Topeng Topeng boleh diklasifikasikan sebagai “Shakespeare Melayu”, yang penuh warna emosi. Rasa amarah, sedih, gembira, dan bahagia, tetapi terselit juga emosi komikal. Karya sebegini memang sewajarnya disampaikan kepada umum untuk merasainya sendiri.

Topeng Topeng dijayakan oleh pelakon teater berpengalaman, antaranya Fauziah Nawi dan Sabera Shaik, dan para pelakon yang berbakat besar, iaitu Azman Hassan, Farah Ahmad, Chi Adzim, Yanee Ahmad Zulkifli, Mohd Nor Hafiz dan Raja Emy Shahril. Teater ini turut diarahkan bersama Iryanda Mulya Ramly, yang juga merupakan pengarah muzik dan gerak lakon teater.

Tiket dijual pada harga RM15 untuk dewasa, manakala RM10 untuk pelajar. Tiket boleh dibeli di Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM atau hubungi Norzaiti Abdul Talib (03-41451840/019-3906349, [email protected]), Nursyahirah Mustafa (03-41451841/019-2118235, [email protected]) atau Sarima Shariff (03-41451845/019-3009205, [email protected]).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Didi Astillah Tampil Dengan Album Sulung

Anugerah Planet Muzik 2014 (APM2014)