in , ,

Live & Loud: Tayangan Perdana Anak Halal @ Kuala Lumpur International Film Festival

Budiey baru sahaja pulang dari Tayangan Perdana Filem Anak Halal sempena Kuala Lumpur International Film Festival (KLIFF) yang diadakan di Cineleisure Damansara. Tepat jam 8 malam, Budiey dan Rizal sampai di tingkat bawah untuk menyaksikan Pelancaran Tayangan Anak Halal yang dihoskan oleh Norman KRU dan diserikan dengan selingan dari lagu-lagu runut filem ini dinyanyikan oleh Bronx dan Maya Karin.

Pada malam anugerah esok, saya akan ke PWTC untuk ambik gambar red carpet sebelum ke Planet Hollywood untuk Showcase Wings. Untuk korang yang akan rock n roll, jumpa di sana ya!

Sebenarnya, saya telah pun menonton filem arahan Osman Ali ini ketika dijemput oleh Tayangan Unggul di Pre-Screening Rough Cut di Astro pertengahan tahun ini. Ketika pertama kali menonton memang banyak yang tidak sempurna kerana suntingan, skor muzik, dubbing suara dan kesan khas masih belum dibuat. Setelah menonton kali kedua filem Anak Halal, saya menjangkakan filem ini akan meletop dan akan mengaut keuntungan kerana ianya menghiburkan dengan lawak jenaka, skrip spontan dan aksi yang padat. Ikuti ulasan selanjutnya…

Ulasan Anak Halal
Filem arahan Osman Ali dan dihasilkan oleh Tayangan Unggul ini akan ditayangkan pada 13hb Disember 2007. Anak Halal merupakan filem penutup panggung untuk tahun 2007. Setelah sinema Malaysia mengalami keadaan yang agak moderat untuk tahun 2007, harapan yang cukup tinggi telah diletakkan pada filem ini.

Osman Ali Yang Nakal
Seperti filem arahan Osman Ali sebelum ini, contohnya Puaka Tebing Biru, cereka pendek seperti Bukak Api dan Malaikat Di Jendela, dia sentiasa mencari ruang untuk membiarkan pemikiran penonton, bagaimana dan macam mana sesuatu jalan cerita itu dibawa dari awal hingga ke penghujung. Osman Ali ingin mendidik penonton sinema Malaysia agar berfikir apabila menonton sesuatu karyanya. Jadi sekiranya anda rasa beliau sengaja meninggalkan anda dengan beberapa persoalan anggaplah itu ujian untuk anda untuk mencari jawapannya sendiri. Selain dari itu, Anak Halal mengetengahkan masalah sosio budaya yang sedang hangat dalam masyarakat kini, contohnya seperti masalah penagihan dadah, budaya mat rempit, budaya samseng hinggalah ke Ah Long. Saya harus memberikan tabik spring buat Osman Ali kerana sentiasa mencuba untuk membuka segala isu pekung masyarakat ini. Saya percaya segalanya diceritakan dengan secara jujur. Tahniah, Osman Ali kerana sekurang-kurang mencuba sedaya upaya dalam menyedarkan masyarakat dalam hal seperti ini.

Farid Kamil… huhu nampak lain la kat gambar ni. Dalam Anak Halal memang dia yang paling ganas!

Metafor Lukisan Imej Anak Halal
Untuk sekian kalinya, Osman cuba memberikan satu metafor pada awalan ceritanya, menunjukkan nilai-nilai hitam di dalam sebuah dunia yang serba maju dan indah iaitu Kuala Lumpur. Osman cuba bermain dengan lorong-lorong jijik dan kotor, dengan insan-insan yang cukup bermain dengan kotoran, envirotasi kusam di bawah jambatan, rumah-rumah pangsa yang berkulat bagi menghidupkan dan menjadi bahan penceritaan yang cukup penting. Dia cuba mewujudkan ‘persekitaran bercakap’ bagi mengantikan dialog pelakon. Satu teknik yang berjaya menyentuh jiwa penonton yang suka menginterpretasikan gambaran visual kepada makna kehidupan sebenar.

Tetapi, sayang seribu kali sayang, apabila mutu dan ketelitian cerita ini dijadikan korban, semata-mata pengarah mengharapkan mesej di dalam filem ini akan sampai kepada penonton.

Adegan paling ganas masa watak Raja Farah kena rogol kat penyangak. Huhu!

Pergaduhan Yang Real Punya
Untuk adegan pergaduhan, saya rasa pelakon diberi latihan secukupnya sehingga ianya tampak hidup seperti pergaduhan yang real. Itu yang saya suka. Namun, dari sudut lain, penonton masih lagi disajikan adegan bergaduh dan tembak menembak yang begitu rendah teknik dan mutunya. Contohnya, tembakan dari jarak dekat tidak menembusi badan mangsa. Amat mustahil ianya tidak tembus kecuali ada baju kalis peluru. Tetapi, itulah hakikat filem melayu. Walau berapa banyak bajet yang dikeluarkan. Ketelitian akan tetap dibakul sampahkan. Inilah dunia sinema Malaysia yang seharusnya difikir bersama oleh para pengkarya.

Maya Karin yang anggun. Watak tomboy aka kasar dia memang power habis! Cun beb!

Eksplotasi Wanita & Beyond The Limit
Sama seperti cerita ‘Orang Minyak’ arahan Jamal Maarif. Pengeksplotasian wanita sebagai satu daya tarikan masih digunakan. Mungkin inilah stategi pengeluar bagi memastikan filem-filem keluaran mereka box office. Kalau ingin filem diangkat pada peringkat internasional, maka, objek wanita berkemban, adegan bergesel hidung dan pipi, pegang-memegang serta peluk cium mesti menjadi satu kewajipan. Inilah realiti sebenar kehidupan, kononnya. Dalam filem Anak Halal, anda akan disajikan dengan gerak-geri nakal Maya Karin, Raja farah yang berkemban, Fasha Sandha yang bersuara falsetto ala nobita? Uhhh… Fasha Sandha mengapakah anda masih berlakon dengan menggunakan karakter watak-watak se-klise filem-filem anda sebelum ini? Saya ingin sangat melihat Fasha Sandha lari dari watak-watak perempuan manja dengan suara ala kepitnya… cuba watak yang punya elemen ‘beyond the limit’ atau extra-ordinaire… kalau boleh la kan?

Skrip Yang Ganas Tapi Sempoi Habis!
Saya terkejut dengan skrip yang begitu nampak selamba seperti bahasa seharian. Untuk anda, jangan pula terperanjat kalau terdengar beberapa perkataan ‘ganas’ dalam filem ini. Kalau setelah filem Rempit, maka bertebaranlah mat rempit begitu asyik berlumba di jalan raya kerana terpengaruh dengan filem tersebut, walaupun, mesej yang ingin disampaikan sebaliknya, dan bagi Anak Halal pula, sudah pasti perkataan seperti ‘gampang’, sial dan beberapa perkataan taboo yang selalu di ‘tut’kan oleh LPF akan menjadi ikutan. Perkara ini subjektif sebenarnya. Terserah pada anda dan sejauh mana anda terpengaruh dengan filem ganas seperti ini. Harapan saya, apa yang baik dijadikan contoh dan yang buruk haruslah dijadikan sempadan. Saya pun hairan mengapa perkataan ini tidak ditutkan. Mungkin perkataan seperti ‘gampang’ atau ‘sial’ tidak sehebat perkataan ‘F**K’ yang selalu di’tut’kan itu dan mungkin sekali lagi, itulah realiti golongan yang hidup seperti ini. Apakah selepas ini akan kita temui perkataan yang lebih teruk akan terkeluar dan disebut dalam filem kita? Mana tau kan?

Fasha Sandha VS Maya Karin
Bagi penilaian watak, Fasha Sandha masih dengan watak klisenya, walaupun diberikan watak raksaksa, sekali pun. Bagi yang lain, cukup biasa kecuali Maya Karin dan Bronx. Dan yang terlalu klise, watak tiga orang penjenayah Malaya yang segak, iaitu Fauzi Nawawi, Zu lHuzaimy dan Fiz Fairuz. Graf lakonan mereka tetap statik dengan mimik muka penjenayah yang klise. Cuma mereka menggunakan lebih elemen dan alat-alat di sekeliling sebagai sokongan watak antagonis mereka. Itu satu kreativiti. Mungkin, watak yang boleh diberikan pujian adalah Maya Karin, yang cuba lari dari watak-wataknya sebelum ini. Saya kira Maya Karin berjaya membawa seorang gadis yang keras dalam pada masa yang sama mempunyai naluri wanita. Naluri yang ingin disayangi dan dicintai seperti wanita lain.

Maya Karin Yang Tomboy?
Lakonan ala tomboy Maya Karin sangat-sangat memberi impak dalam filem ini walaupun telah dikaburi dengan ketibaan sang wanita cantik yang bersuara seperti nobita… huhu kejam.. kejam…, Walaupun demikian, saya terkilan kerana lakonan Maya Karin agak memukau dan out standing pada permulaanya, tetapi apabila setelah sampai ke penghujung, tomboy itu hilang dengan sendirinya. Dan watak Maya Karin samar-samar menjadi orang yang bukan dia. Apa-apa pun, mata dan wajah Maya Karin memang cukup menikam kalibu… huhu… terima kasih kepada celcom kerana menaja filem ini…. mungkin kerana pembawaanMaya Karin sebagai duta Celcom barangkali. Saya suka adegan masa watak Jo lakonan Maya Karin bersama ibunya di gerai buah… dan tengok dia cemburu dengan kemesraan kawan baiknya dengan perempuan lain. Huhu…

Logik Atau Tidak, Itu tak Penting, Yang Penting Enjoy
Dari sudut ketelitian dan logik akal filem ini, tidak perlu diperdebatkan lagi. Semuanya cukup longgar, kerana membiarkan penonton mengintripasikan sendiri jalan cerita, kononnya. Biarlah ianya logik atau tidak, hanya anda yang menjadi penonton yang tahu. Jika tiba-tiba anda merasakan kenapa jadi begini, anda fikirkanlah sendiri sebabnya. Inilah filem untuk berfikir walaupun pada masa yang sama anda akan terhibur dengan gelak jenaka yang santai. Tak mengapa, anda dianugerahkan Tuhan minda untuk berfikir bukan? Maka, berfikirlah dengan waras.

Halal Ditontoni: Gerenti Puas!
Namun, secara keseluruhan, walaupun agak berat dan padat dengan aksi, filem Anak Halal masih ‘halal’ untuk ditonton. Anda pasti teruja dengan filem ini kerana ramai sekali pelakon handalan membintangi filem ini. Walaupun ada beberapa kelemahan, tetapi ianya pasti akan dibaiki untuk filem-filem keluaran akan datang. Percayalah, filem arahan Osman Ali ini penuh nilai estetika dan memerlukan orang yang matang untuk menontonnya. Bagi memastikan dan mengesahkan mutu filem ini, kutipan box office akan membuktikannya. Jika filem itu sarat dengan mesej, tetapi kutipan tidak box office, maka filem itu tidak akan berkualiti.

Namun, saya dengan ini kuat mengatakan bahawa filem ini akan sukses!

Anak Halal, arahan Osman Ali akan ke panggung pada 13 Disember ini. Manakala majlis pra tonton media akan dibuat pada 6 Disember ini. Akhir sekali, Anak Halal mendapat C+ pada perspektif Sensasi Selebriti.

Adi Putra: wataknya pun boleh la tahan. Jadi abang pada Raja Farah.

[tags]anak halal review, ulasan anak halal, pelakon anak halal, sinopsis anak halal, farid kamil, jiwang karat, tomboi, pengkid, maya karin mata galak, miss world 2007, argentina, kl, kliff, keputusan pemenang kliff, anggola, fauzi nawawi cerai, anak halal review, ulasan anak halal, pelakon anak halal, sinopsis anak halal, farid kamil, dreambiz, marketing film, zarina mobile[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Terima Kasih Kepada Sponsor Bulan November 2007

Gambar Selebriti di Karpet Merah di KL International Film Festival 2007