in ,

Tayangan Gala dan Sidang Media Filem PISAU CUKUR

Kehangatan amat dirasai apabila ramai selebriti terkenal berkumpul di acara karpet merah untuk menjayakan Tayangan Gala dan Sidang Media filem terbaru arahan Bernard Chauly, PISAU CUKUR. Meriah betul~!

Sikit trivia untuk korang, sebenarnya, judul filem ini pada mulanya diberi judul GARA-GARA TIDA DARA. Lepas tu, ditukar kepada DUA DARA. Tapi masih tak berapa umppph.

Maya Karin, Nur Fazura, Aaron Aziz, Eizlan Yusof serta pelakon-pelakon ternama yang lain memeriahkan lagi acara karpet merah dengan temuramah eksklusif dan sesi bergambar di atas replika sebuah kapal pelayaran. Tetamu juga dihiburkan dengan lagu tema filem yang bertajuk ERT nyanyian Farah Asykin.


  
Dipersembahkan oleh Grand Brilliance, sebuah produksi Red Films, PISAU CUKUR adalah sebuah komedi romantik yang pasti menghiburkan.

Kiri: Penulis skrip Pisau Cukur iaitu Rafidah 3R. Kartini pun ada berlakon juga sebagai pemberita serta yang kanan sekali tu ialah Bernard Chauly, pengarah filem PISAU CUKUR.

Ini dia Lina Tan (Penerbit Eksekutif)

Bernard Chauly menjelaskan bagaimana tercetusnya idea filem PISAU CUKUR “Lina Tan (Penerbit Eksekutif), Rafidah Abdullah (Penulis) dan saya (Pengarah) memang serasi bekerjasama. Lagipun kami bertiga telah menghasilkan Gol & Gincu dan juga projek yang lain bersama sebelum ini. Rafidah mendapat satu idea untuk menulis sebuah cerita yang berlaku di atas kapal pelayaran dan satu lagi idea cerita mengenai gadis pisau cukur. Lina pula menggabungkan kedua-dua idea ini dan terhasillah filem yang merangsang dan menyeronokkan, PISAU CUKUR!”

Tak banyak skrip untuk Nas T pun, tapi watak dia memang kenalah dengan gaya urban dan sebagai anak orang kaya.

Gabungan pelakon LELAKI baru fresh dan yang tak berapa nak lama yang good looking sebagai penghias dan penggerak utama PISAU CUKUR. Aaron Aziz jadi ARI.

Ironinya, dalam filem ini ada dua pelakon wanita yang bakal kahwin dalam masa terdekat ni iaitu Umie Aida dan juga Sharifah Sofea.

Tengah ditemubual oleh hos malam tu… Tini 3R~

Penyeri utama filem ini. Sekali tengok, Nur Fazura dan Maya Karin persis adik beradik dalam cerita ni.

Ooops, Budieyu terserempak dengan pelakon Nora Danish yang turut sama menonton. Mmm… lama tak jumpa Nora Danish~

PISAU CUKUR mengisahkan dua gadis pisau cukur jelita Bella (Maya Karin) dan Intan (Nur Fazura) yang bercuti di atas kapal pelayaran PUTRI DUYUNG mencari keperluan hidup masing-masing.

Dalam filem ini korang akan terserempak dengan kata-kata pesanan dari penaja utama dari Nur Fazura… oh my Prada, oh my Louis Vuitton, Oh my Jimmy Choo… macam-macam lagilah barangan dan pakaian mahal yang menaja filem ini. Semua nampak mewah dan penuh warna~!

Setelah puas mencari bakal suami yang kaya, Bella cuba mendampingi Datuk Hisham (Eizlan Yusof) dan memujuk Faqir (Shahredza Minhat) menjadi pasangannya untuk belajar tarian ballroom agar dapat menawan hati Datuk Hisham.

Intan pula berganding bahu dengan penyiasat peribadi Ari (Aaron Aziz) untuk menyelesaikan misteri pembunuhan Datuk Zakaria (Dato’ Rahim Razali). Intan dan Ari cuba membongkar rahsia suspek mereka iaitu ketiga-tiga isteri Datuk Zakaria (Khatijah Tan, Umie Aida dan Sharifah Sofia) dan anaknya (Liyana Jasmay dan Nas-T).

Selain daripada gabungan para pelakon yang hebat seperti Nabil, Radhi Khalid, Norman KRU, Afdlin Shauki, Othman Hafsham, Yasmin Yusuff dan ramai lagi, filem ini penuh dengan aksi lucu, dialog yang pintar dan mencuit hati serta koleksi pakaian yang pelbagai dan bergaya. Yang paling menarik, penggambaran filem ini tidak berlaku di atas kapal. Seluruh kapal Puteri Duyung telah dihasilkan oleh gabungan set yang dibina khas dan imejan grafik komputer (CGI).

Selari dengan promosi filem ini,  pelakon PISAU CUKUR akan memulakan sesi jelajah bertemu peminat (roadtour) ke seluruh negara. Peminat akan berpeluang untuk berjumpa dengan artis PISAU CUKUR dan menonton tayangan khas filem tersebut sebelum ia mula ditayangkan di pawagam pada 5 November.

Penerbit Eksekutif dan Pengurus Besar Grand Brilliance, Encik Ahmad Puad Onah berharap penonton akan menyaksikan filem ini di pawagam kerana ia mempunyai daya tarikan umum dan sesuai untuk semua golongan. “Pisau Cukur ditujukan kepada semua golongan penonton dan saya pasti yang semua akan terhibur dengan gabungan pelakon yang hebat”.

Tayangan PISAU CUKUR di pawagam ditaja oleh SCHICK dan dibawa bersama Nescafe and L’Oreal Paris.

Para pelakon hebat yang terperangkap di atas kapal pelayaran Putri Duyung akan menghiburkan penonton di pawagam seluruh negara mulai 5 November 2009.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Nabila Huda dan Nora Danish di Malam Gala PISAU CUKUR

Gambar Nur Fazura di Majlis Prebiu PISAU CUKUR