in

Tayangan Filem Kami dan Konsert Sudirman Abadi di Hati Di TV2

Tribute Sudirman : Tayangan Filem Kami dan Konsert Sudirman… Abadi di Hati Di TV2

Tanggal 22 Februari setiap tahun pastinya dikenang oleh semua di mana perginya seorang seniman negara, Datuk Sudirman Haji Arshad ke rahmatullah. Namun kenangan terhadap seniman yang bukan sahaja dikurniakan bakat sebagai penyanyi, penggubah, penulis, pengarang buku, pelukis kartun dan pengusaha ini nyata terus segar dalam ingatan.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut tidak ketinggalan mengimbas kembali ingatan terhadap penghibur negara ini pada 22 Februari depan menerusi tayangan filem Kami, jam 1.30 petang dan diikuti Konsert Sudirman … Abadi di Hati kemudiannya jam 3.30 petang yang kedua-duanya disiarkan menerusi saluran TV2.

Tookoo Filem Kami

Kembalikan ingatan terhadap lakonan bersahaja Allahyarham menerusi filem Kami yang popular tahun 1982. Ia adalah filem pertama lakonan Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang diterbitkan oleh Indra Film Productions and Distribution Sdn. Bhd. Filem ini diarahkan oleh Patrick Yeoh, iaitu seorang juruhebah radio yang berkhidmat di RTM yang juga merupakan seorang pengkritik filem.

Filem ini berkisarkan tentang anak muda kekampungan bernama Tookoo lakonan Sudirman yang mahu keluar daripada terpaksa tunduk dengan kemahuan ibu bapanya. Dia lantas mencabar diri sendiri untuk berhijrah ke Kuala Lumpur yang penuh onak ranjaunya. Ia dimulakan dengan babak Sudirman menari lincah dan menyanyi lagu tema filem (lagu Budak Baru) yang iramanya agak catchy, lalu dimarahi ibu tirinya kerana watak Tookoo ini sudah menginjak usia dewasa tetapi masih malas bekerja.

Ia seterusnya bergerak kepada pengenalan watak Din yang berpakaian compang-camping melalui satu jalan dan dia ternampak anak-anak orang kaya sedang menyambut sambutan parti hari jadi dan apabila parti itu habis, Din masuk kedalam tempat tersebut dan makan sisa makanan dan mengutip tiupan buangan daripada sisa-baki orang-orang kaya tadi. Filem ini jalurnya berkisarkan jurang antara yang kaya dan miskin. Mungkin simbolismenya lebih kepada persahabatan dua orang sahabat mengharungi ranjau kepayahan lapis stratifikasi kaya dan miskin untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kemudian watak Din ini ditemukan dengan watak Tookoo disebuah banglo tinggal, tempat Tookoo menginap setelah melarikan diri dari rumah. Dan selepas itu, berlakulah perjalanan hidup keduanya mengharungi cabaran dan dugaan kehidupan demi mencari sesuap nasi.

Kemudiannya bagi mengenang jasa serta menghormati karya seni penyanyi tersohor Asia, Allahyarham Dato’ Sudirman Hj Arshad, Orkestra RTM mempersembahkan Konsert Sudirman … Abadi di Hati yang dirakamkan di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada 24 Februari 2012.

Konsert ini menampilkan konsep persembahan secara kronologi iaitu berdasarkan album-album yang pernah dihasilkan dan menjulang nama beliau sepanjang kerjaya seninya dari album Teriting Doa (1977), Aku Penghiburmu (1978), Perasaan (1979), Anak Muda (1980) sehinggalah album terakhir beliau.

Konsert diacarakan oleh dua pelawak popular tanah air, Saiful Apek dan Didie Alias ini turut menonjolkan kelainan kerana lagu-lagu yang bakal dipersembahkan oleh artis terlibat seperti Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah dan Bob serta penglibatan artis-artis muda antaranya Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey dari Bintang RTM. Orkestra RTM turut menampilkan artis sezaman yang pernah merakamkan album bersama Allahyarham iaitu Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini yang bakal membawakan tiga buah lagu dalam segmen lagu popular Allahyarham.

Konsert Sudirman ... Abadi di Hati
Tookoo Dan Din dalam filem Kami 1982

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Zombie Berkeliaran Di Sekitar Lembah Klang

Drama Bulan Bintang dan Kita di TV9