in

Tam Spider Terkilan Dengan AJL29

Bagaikan tak lengkap kejayaan lagu Di Pintu Syurga yang dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL 29) baru-baru ini apabila pencipta lagunya, Tam Mustafah atau Tam Spider tidak hadir meraikan kejayaan pada malam itu.

Pada malam kemuncak AJL 29, hanya penulis lirik, Imran Iman dan penyanyinya, Dayang Nurfaizah saja yang berada di atas pentas pada saat nama lagu itu diumumkan oleh pengacara, Scha Alyahya dan AG Hot FM.

Tam Spider Kahwin

“Tiada isu pun sebenarnya untuk diperbesar-besarkan tentang ketidakhadiran saya. Cuma saya agak terkilan dengan apa yang terjadi. Memang saya sekarang dalam proses berpindah rumah dan hal berkenaan tiada kaitan langsung dengan kenapa saya tidak hadir menyaksikan AJL 29 tempoh hari.

“Sejujurnya saya tidak datang menyaksikan malam kemuncak AJL 29 tetapi ada menyerahkan dua pas kepada teman saya yang juga terbabit sebagai ‘arranger’ untuk lagu Di Pintu Syurga. Saya hanya menontonnya di rumah saja.

“Teman saya itu datang dengan isterinya. Tapi saya kurang pasti atas alasan apa, dia tidak dibenarkan masuk ke dalam Stadium Putra Bukit Jalil. Sekalipun dia hanya mewakilkan saya, dia patut ada akses untuk menontonnya.

“Akhirnya mereka hanya mendengar siaran langsung itu dalam kereta menerusi frekuensi di radio,” kata komposer yang juga penyanyi kumpulan Spider itu.

Tambah Tam lagi, beliau bersama isteri dan anak-anaknya turut teruja untuk menyaksikan sesi raptai AJL 29 diadakan sehari sebelum acara berkenaan berlangsung iaitu pada hari Sabtu.

Namun mendukacitakan beliau dan keluarganya apabila tidak dibenarkan masuk.

“Saya ada pas tapi pihak yang bertugas di stadium cakap pas itu tak ada sticker pula, jadi memang tak boleh masuk. Saya sudah lama dalam industri ini dan bukan diminta dilayan itu dan ini. Tak perlu pun nak kompang kehadiran saya malam raptai itu.

“Cukup izinkan saya menonton raptai AJL 29 saja. Saya sedar nak bawa anak kecil ke majlis berprestij akan menyukarkan keadaan dan sebab itu saya datang majlis raptai saja. Tapi lain pula jadinya dan saya sekeluarga pulang kehampaan…hilang mood. Saya malas nak kecoh benda ini. Malah sesama pasukan untuk lagu ini pun berusaha untuk meminta izin saya dibenarkan masuk ke stadium tapi tak lepas juga,” katanya.

Ditanya mengenai kemenangan lagu Di Pintu Syurga yang turut memenangi kategori Vokal Terbaik untuk Dayang Nurfaizah, beliau menjelaskan kemenangan itu milik semua yang bekerja keras.

“Ini kemenangan satu pasukan. Tanpa penulis lirik, lagu ini takkan ada maknanya. Tanpa ada pihak Indigital Music, lagu ini takkan dipromosikan sebaik mungkin dan tanpa Dayang Nurfaizah sendiri sebagai penyanyi, lagu ini takkan dialunkan begitu indah.

“Ia berkait rapat dan rezeki kami sama-sama,” katanya.

Tempat ketiga AJL 26 membolot hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi manakala Vokal Terbaik disandang Dayang Nurfaizah yang membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.

sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Iedil Putra & Christina Suzanne Dalam Drama ROAD TO RAMLEE

Alyah Perform di Konsert Maestro Dato’ Johari Salleh