in , ,

BMW Shorties 2007, Tahniah Buat Penulis Blog Terkemuka Tok Rimau!

Tahniah! Sekalung tahniah saya kalungkan buat penulis blog ternama Tok Rimau atau nama sebenarnya Ghazali Bunari kerana berjaya menggondol Anugerah Penghargaan atau ‘Honourable Mentions’ oleh para juri.

Walaupun Tok Rimau gagal untuk menjadi pemenang anugerah filem pendek BMW Shorties 2007, namun sekurang-kurangnya beliau telah membuktikan karya beliau diterima dan mempunyai nilai mutu dan estetika tersendiri oleh juri.

Malam tadi (tanggal 9 Mac 2007) telah berlangsung Malam Anugerah BMW Shorties 2007 Gala Premiere di Top Floor, The Annexe, Central Market Kuala Lumpur dalam suasana yang sederhana namun tetap meriah dengan kehadiran pengarah prolifik Yasmin Ahmad dan Osman Ali.

Tok Rimau (kiri) juru lakon layar filem KIRI dan pengarah filem pendek KIRI, Dean Sham (kanan).

Terima kasih kepada Klubbkidd yang sudi mengedar surat jemputan kepada warga Sensasi Selebriti. Menghadiri majlis anjuran BMW Group Malaysia ini membuat saya teruja untuk meneroka sesuatu yang baru. Ya, filem pendek sebenarnya salah satu dari elemen seni yang boleh kita terokai jika punya minat mendalam. Hanya perlu ada video, skrip, pelakon, usaha dan sedikit kreativiti.

Saya juga sempat berbual santai dengan beberapa ikon dan penggiat filem serta aktivis filem seperti Osman Ali dan beberapa krew belakang tabir yang lain.

Sebelum pulang untuk menonton Trek Selebriti, saya sempat berbual-bual ringan dan berkenalan dengan Tok Rimau dengan lebih lanjut. Inilah pertama kali saya bertemu dengan Tok Rimau yang sudah pun katanya menerbitkan buku Ayah Kita Bos dan Jiwa Kacau. Semua isi dikutip dari entri-entri dalam blog beliau. Sedikit sebanyak temubual bersama Tok Rimau membenihkan puin-puin inspirasi dan juga idea bernas.

Tok Rimau antara sifoo-sifoo dalam dunia blog Malaysia yang punya banyak pengalaman. Dalam kotak minda saya terlintas untuk mengabadikan entri di blog lama saya dalam helaian kertas yang boleh dibawa ke mana sahaja. Masalahnya, laku ke nanti?

Perbualan kami banyak menyentuh perihal dunia blog yang kini sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat Malaysia. Dari matlamat menulis blog, aspirasi seorang penulis blog, sejarah, masa depan untuk menjadi blogger yang berjaya hinggalah kepada isu-isu berkenaan dengan dunia blog.

Blog bergenrekan hiburan seperti Sensasi Selebriti tidak jauh bezanya dengan blog genre coretan jurnal kehidupan. Semuanya memerlukan komitmen, kesepaduan, jalinan networking dan reputasi yang kukuh. Bukan setakat menulis apa yang kita ingin luahkan bahkan menulis untuk memberi sesuatu anjakan buat masyarakat.

Satu perbincangan yang boleh dipanjangkan lagi kiranya masa mengizinkan. Tok Rimau mengundang saya untuk ke satu diskusi yang membincangkan tentang pembikinan filem pendeknya, Kiri yang digelar WACANA SOAL SIAT KIRI pada hari ini (Sabtu) di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Satu lokasi bersebelahan dengan Tupai-Tupai. Kurang pasti saya lokasi itu di mana.

Katanya, ramai ahli Geng Jurnal akan berada di sana. Sebenarnya, saya segan untuk menerima undangan Tok Rimau kerana saya bukannya ahli Geng Jurnal. Apa-apa pun, terima kasih Tok Rimau atas jemputan.

Oh ya, malam ini, saya akan ke Auditorium Perdana, Angkasapuri untuk menyaksikan Zoom in Bob AF bersama dengan Toby. Terima kasih Pakcik MMA atas ajakan. Katanya, Bob turut mengundang Kaer dan Amylea sebagai artis undangan jemputan. Mmm… teruja untuk bertemu Kaer.

Hari Ahad malamnya pula, saya akan ke Planet Hollywood untuk menyaksikan One Nite Only – Showcase Hazami bersama kawan-kawannya. Antara yang turut hadir ialah Dayang, Nikki dan ramai lagi.

Yasmin Ahmad diapit bersama pemenang Anugerah Penghargaan iaitu Sasistharan Rajoo (kiri) dengan filem berjudul Singgam dan Tok Rimau (kanan) dengan filem berjudul Kiri. Tahniah!

Hahaha! Saya dah tahu mengapa pompuan ni pakai topeng wajah lelaki. Sebenarnya, dia hanya wakil sahaja. Wajah topeng tu adalah pemenang Anugerah Filem Pendek BMW iaitu Abdullah Zahir Bin Omar. Menerima hadiah berjumlah RM50 ribu dalam bentuk bantuan penerbitan untuk menghasilkan filem pendek. Kira macam modal la untuk diorang ni menghasilkan filem yang lebih grand.

Apa-apa pun tahniah sekali lagi untuk pemenang-pemenang BMW Shorties 2007. Semoga kemenangan ini menyuntik inspirasi dan obor semangat buat kalian untuk melahirkan filem yang lebih besar imej dan mesejnya.

Foto-foto sepanjang Malam Grand Premiere BMW Shorties akan menyusul kemudian. Sebelum itu, sila klik di blog ini: http://budifoto.blogspot.com untuk foto yang lebih BESAR dan TERANG.

Untuk foto-foto sepanjang acara BMW Shorties 2007, sila ke: Galeri Flickr – BMWshorties

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Foto Sekitar Majlis Sidang Media Akademi Fantasia 5

Sinopsis Filem CHERMIN Lakonan Natasha Hudson & Farid Kamil