in

Sundance Channel Meraikan Tahun Kedua Festival Sundance London

[dropcap]B[/dropcap]agi meraikan tahun kedua festival Sundance London, Sundance Channel mempersembahkan program baru dan eksklusif dari 26-30 April hadapan. Rangkaian ini akan menayangkan empat filem eksklusif yang dipersembahkan di Festival Filem Sundance 2013 baru-baru ini serta sedutan acara sewaktu Sundance London berlangsung.

Penonton akan berpeluang merasakan kemeriahan Sundance London di rumah mereka dengan menonton Sundance Channel. Tepat jam 10:00 setiap malam, rangkaian ini akan mempersembahkan filem daripada Festival Filem Sundance – perhimpunan paling berprestij untuk pawagam bebas.

[pullquote align=”right”]Sundance Channel Meraikan Tahun Kedua Festival Sundance London Dengan Tayangan Perdana Filem Dan Sedutan Acara[/pullquote]

Filem yang dipersembahkan termasuklah This is Martin Bonner dan Computer Chess yang memenangi anugerah, serta filem tersohor I Used to Be Darker dan Halley yang ditayang di Festival Filem Sundance 2013. Selain itu, Sundance Channel akan menerbitkan program asli sekitar acara Sundance London. Sedutan acara festival itu akan turut ditayangkan, termasuklah temubual dengan selebriti ternama yang hadir serta gambaran menyeluruh acara berprofail tinggi tersebut.

Sundance London berlangsung dari 25 – 28 April di The O2, dan akan menampilkan tayangan perdana filem-filem di UK daripada Festival Filem Sundance 2013 yang berlangsung Januari lalu di Park City, Utah. Persembahan muzik secara langsung setiap hari, perbincangan, panel dan acara umum lain akan berlangsung selama empat hari festival.

Di bawah adalah maklumat filem yang akan ditayangkan Sundance Channel sempena Sundance London.

Jumaat, 26 April jam 10:00pm
This is Martin Bonner / USA (Pengarah dan lakon layar: Chad Hartigan) — Martin Bonner baru sahaja berpindah dari Nevada ke East Coast, meninggalkan dua anaknya yang telah dewasa dan kehidupan yang telah dibinanya selama dua dekad. Di sana dia memulakan kerja baru sebagai penyelaras untuk organisasi relawan yang membantu banduan beralih daripada pemenjaraan kepada kebebasan. Ia adalah pekerjaan pertama Martin dalam masa dua tahun dan beliau baru sahaja diisytiharkan muflis. Pada masa sama, Travis Holloway, seorang banduan dalam program itu baru sahaja dibebaskan selepas 12 tahun dipenjara. Sehelai sepinggang, Travis merasakan dirinya sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan di Reno walaupun dibantu penajanya, Steve Helms. Kisah Martin dan Travis secara perlahan-lahan bergabung, apabila kedua-dua lelaki itu bertemu dan mendapati mereka mempunyai banyak persamaan, dan satu daripadanya yang tersirat adalah keperluan kepada galakan dan dokongan. Persahabatan mereka yang tidak dijangka berkembang dan teruji apabila Travis mengkhianati kepercayaan Martin untuk menyatukannya dengan anak perempuannya yang telah lama terpisah. Filem ini menerima Audience Award di Festival Filem Sundance 2013. Pelakon: Paul Eenhoorn, Richmond Arquette, Sam Buchanan, Robert Longstreet, Demetrius Grosse.

[pullquote]Filem Eksklusif Yang Akan Ditayangkan Dari 26-30 April Termasuklah Pemenang Anugerah Festival Filem Sundance 2013 Baru-Baru Ini[/pullquote]

Sabtu, 27 April jam 10:00pm
Halley / Mexico (Pengarah: Sebastian Hofmann, Lakon layar: Sebastian Hofmann, Julio Chavezmontes) — Alberto sedang menghadapi kematiannya dan tidak dapat lari lagi daripadanya. Sebelum menyerah kalah, dia menjalinkan persahabatan luar biasa dengan Luly, pengurus gim 24 jam tempat dia bekerja sebagai jaga malam. Halley adalah satu pengkisahan tentang penyeksaan yang dialami apabila ilusi kawalan ke atas badan kita hilang secara perlahan-lahan. Sebagai satu cerita gothik masa kini, filem ini memberikan gambaran penuh belas kasihan kehidupan seorang individu yang menyaksikan tubuhnya sendiri mereput. Keadaan Alberto mencerminkan hakikat kematian kita dan kesepian yang mengiringinya. Screen Daily menyifatkan filem ini sebagai “drama surrealistik yang mencengkam jiwa ” dengan “persembahan menakjubkan.” Pelakon: Alberto Trujillo, Lourdes Trueba, Hugo Albores.

Ahad, 28 April jam 10:00pm
Computer Chess / USA (Pengarah dan lakon layar: Andrew Bujalski) — Sebuah komedi eksistensial tentang lelaki pintar yang mengajar komputer untuk bermain catur – sewaktu komputer dianggap cemerkap dan manusia itu pintar. Mengambil latar satu pertandingan hujung minggu untuk pengaturcara perisian catur sekitar 1980-an, Computer Chess membawa penonton mengimbau saat-saat bernostalgia sewaktu pertandingan di antara semangat manusia dan teknologi sangat menarik perhatian ramai. Kita akan berkenalan dengan si genius gila-gila yang memiliki wawasan bagi mendidik sebongkah kotak besi untuk mengalahkan manusia, dalam permainan yang dicipta manusia itu sendiri, dan membina asas-asas kepintaran buatan yang kita ketahui sekarang dan akan lebih dikenali pada masa hadapan. Filem ini menerima anugerah Alfred P. Sloan Feature Film Prize di Festival Filem Sundance 2012. Pelakon: Patrick Riester, Myles Paige, James Curry, Robin Schwartz, Gerald Peary, Wiley Wiggins.

Isnin, 29 April jam 10:00pm
Goats / USA (Pengarah: Christopher Neil, Lakon layar: Mark Jude Poirier) – Ellis yang berusia 15 tahun sedang bersedia meninggalkan rumah mewahnya di kaki bukit Tucson, Arizona untuk menjadi pelajar tahun pertama di Gates Academy, sebuah sekolah persediaan di East Coast. Walaupun teruja dengan hidup baru yang menantinya, ia bermakna Ellis akan meninggalkan Wendy, ibu tunggalnya yang menjaga wang amanah dan meminati hal-hal New Age. Dia juga akan meninggalkan satu-satunya ‘bapa’ dalam hidupnya, seorang gembala kambing yang dikenali sebagai Goat Man dan tinggal di rumah renang ibunya. Walaupun sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, Ellis mula menjalinkan persahabatan dan cemerlang dalam pelajaran tetapi tidak lama kemudian berhadapan dengan masalah di sekolah persediannya. Dijemput untuk melawat bapanya di Washington DC yang telah lama terpisah, Ellis menganggapnya sebagai peluang untuk membina hubungan lebih rapat antara mereka dan tidak lama kemudian menyeimbangkan hubungan yang pelbagai – dan kadang kala rumit dalam hidupnya. Filem ini terpilih sebagai Official Selection pada Festival Filem Sundance 2012. Pelakon: David Duchovny, Vera Farmiga, Graham Phillips, Keri Russell, Justin Kirk, Ty Burrell

Selasa, 30 April jam 10:00pm
I Used to Be Darker / USA (Pengarah: Matthew Porterfield, Lakon layar: Amy Belk, Matthew Porterfield) — Apabila Taryn, seorang pelarian Ireland Utara berhadapan masalah di Ocean City, Maryland, dia mencari perlindungan dengan ibu dan bapa saudaranya di Baltimore. Tetapi Kim dan Bill juga ada masalah mereka sendiri: mereka cuba menamatkan perkahwinan mereka dengan baik demi anak mereka Abby, yang baru pulang dari tahun pertamanya di universiti. Ia adalah sebuah kisah rahsia dalam keluarga, pertemuan dan perpisahan, serta pencarian cinta di tempat ia pernah ditemui, dan merenung dalam akan tempat lain ia boleh dijumpai apabila gagal mencarinya. Variety memuji filem ini sebagai: “Penuh beremosi, abstrak secara rasminya dan bercerita secara santai. Buah tangan ketiga Porterfield ini berjaya mengekalkan ciri-ciri indie yang terdapat dalam filem-filem awalnya.” Pelakon: Deragh Campbell, Hannah Gross, Kim Taylor, Ned Oldham, Geoff Grace, Nick Petr.

Selain daripada Sundance London, Sundance Channel turut mempersembahkan program aslinya, temubual selebriti dan tayangan perdana filem daripada festival terbesar dunia untuk menyokong perkembangan filem bebas. Di antaranya termasuklah Cannes Film Festival, Busan International Film Festival dan Sundance Film Festival. Mempersembahkan temubual dengan pembikin filem dan pelakon terbaik, rangkaian ini membolehkan penonton di seluruh dunia merasai kemeriahan festival filem yang paling penting tanpa perlu meninggalkan rumah mereka.

Sundance Channel boleh ditonton di Astro b.yond. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.sundancechannelglobal.com.

Tentang Sundance Channel
Didedikasikan buat misi pengasas Robert Redford untuk meraikan kreativiti, Sundance Channel adalah destinasi televisyen untuk penonton yang berfikiran bebas dan mencari sesuatu yang berbeza. Berani, berimaginasi dan tidak meragukan, Sundance Channel
menawarkan penonton pelbagai filem bebas, dokumentari dan program asli berkualiti tinggi yang menarik perhatian. Selain diedarkan di seluruh Amerika Utara, Sundance Channel juga terdapat di Eropah dan Asia. Dimiliki dan dioperasikan oleh AMC Networks Inc., Sundance Channel adalah jenama magnetik yang dikenali ramai dan tersedia dalam HD dan merentasi pelbagai platform.

Tentang AMC Networks Inc.
Berdedikasi menghasilkan kandungan filem dan program berkualiti selama lebih 30 tahun, AMC Networks Inc. (NASDAQ: AMCX) memiliki dan mengoperasi beberapa jenama popular dan pemenang anugerah dalam televisyen kabel. AMC, IFC, Sundance Channel, WE tv, dan IFC Films menerbit dan mempersembah kandungan yang berbeza, menakjubkan, dan sesuai dengan budaya yang melibatkan penonton merentasi pelbagai platform. Syarikat ini juga mengoperasikan AMC/Sundance Channel Global, satu program perniagaan antarabangsa, dan AMC Network Broadcasting & Technology, syarikat pengedar dan rangkaian servis penuh program asli.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

YUNA to Release Sixth Street Digital EP

Wings Dapat Tajaan Pakaian Untuk Konsert Wings Rockestra 2013