in

SONGLAP Kutip RM1.5 Juta Untuk 4 Hari Tayangan

SONGLAP SENTUHAN UNIK KEPADA INDUSTRI PERFILEMAN!

Setelah 4 hari tayangan di seluruh Malaysia, ternyata Songlap dapat diterima umum apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM1.5juta untuk 4 hari tayangan walaupun bersaing dengan filem-filem hebat seperti Mission Impossible, Ombak Rindu dan Alvin and the Chipmunks.  Ini sekaligus membuktikan bahawa filem kedua arahan pasangan pengarah Effendee Mazlan dan Fizi berjaya menambat hati penonton untuk terus berkata-kata tentang karya terbaru mereka.

Berbeza dengan apa yang biasanya dihidangkan kepada penonton, Songlap mempunyai keunikan sendiri dari segi jalan cerita yang linear dan juga sinematografi yang menarik membuatkan ia kelihatan seperti filem gred antarabangsa.

Songlap

Tengku Iesta Tengku Alaudin merangkap Pengurus Besar unit Filem dan Drama mengulas, dalam pembikinan sesuatu filem, apa yang penting adalah kualiti dan penceritaan yang unik dimana mesej yang ingin disampaikan tidak dilontar terus kepada penonton. Sebaliknya, lakonan dan olahan skrip disampaikan secara tidak langsung dan itu dapat membuatkan penonton berfikir sehingga tamatnya filem itu.

Rata-rata pengkritik filem kejam di Malaysia memuji Songlap kerana ia berbeza dari filem-filem lain dari semua aspek, lebih-lebih lagi nilai seni dan simbolik yang diterapkan sepanjang 100 minit filem itu dipaparkan di layar. Selain daripada itu, lakonan Shaheizy Sam dan Syafie Naswip yang amat menyentuh jiwa penonton. Ia seakan-akan dapat berinteraksi dengan penonton berbekalkan dialog yang pendek, padat dan tersirat.

Walaupun begitu, ada sesetengah pihak yang menganggap filem Songlap indah khabar dari rupa dan kebanyakan penonton yang berkata sedemikian kerana mereka tidak menghayati filem itu dan mencerna mesej yang ingin disampaikan dengan pemikiran intelek. Sebaliknya, mereka ingin disuapkan dengan mesej secara langsung.

Perbezaan pendapat dari dua jiwa yang berbeza ibarat membunuh semangat berkarya kerana gaya penceritaan yang tidak langsung masih tidak dapat diterima baik oleh penonton di Malaysia. Bagi sesetengah pihak, ia terlalu berlapik dan bagi selebihnya pula ia karya genius.

Tetapi, realitinya, angka kutipan berkata sendiri tentang produk terbaru Grand Brilliance ini. Malah banyak pengarah tempatan yang memuji Songlap kerana gaya filem ini dipersembahkan dengan cara yang amat unik.

Ia bukan sahaja filem untuk hiburan tetapi mesej yang ingin disampaikan dapat menjadi pembuka mata buat semua.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang filem Songlap, sila layari www.songlapmovie.com

Songlap

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Airasia Leading Effort To Reduce Cost

Bang Yong Guk & ZELO Meet Fans