in

Songlap Bakal Ditayangkan Di Dua Festival Filem Antarabangsa

Songlap Bakal Ditayangkan Di Dua Festival Filem Antarabangsa

SONGLAP, filem penutup 2011 yang mendapat banyak komen positif dari para pengkritik filem tanahair, telah dipilih untuk menyertai dua festival filem antarabangsa yang berprestij iaitu Udine Far East Film Festival (“Udine FEFF”), Itali dan Los Angeles Asian Pacific Film Festival (“LA APFF”), Amerika Syarikat.

SONGLAP akan ditayangkan di Udine FEFF ke-14 yang akan berlangsung dari 20 hingga 28 April 2012. Udine FEFF dilancarkan pada tahun 1999 dan merupakan filem festival yang dibiayai bersama oleh Centro Espressioni Cinematografiche (“C.E.C.”), sebuah organisasi kebudayaan di bawah naungan kerajaan Itali, daerah Friuli Venezia dan Majlis Perbandaran dan Wilayah Udine.

Movie Still Songlap

Setiap tahun, matlamat C.E.C adalah untuk menayangkan filem-filem yang berkualiti kepada umum menerusi lima pawagam di serata Udine.

Filem-filem Malaysia yang sebelum ini mendapat perhatian Udine FEFF termasuklah Pontianak Harum Sundal Malam, Kala Malam Bulan Mengambang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Pada bulan berikutnya, SONGLAP akan mengambil bahagian dalam LA APFF ke-28 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 20 Mei. LA APFF yang bermula pada tahun 1983 diasaskan oleh Visual Communications, sebuah pusat kesenian media, yang bertanggungjawab untuk mempromosikan filem-filem dari Asia dan Asia Pasifik. Lebih daripada 3,000 buah filem serta video telah disajikan kepada para pengunjung sejak penubuhannya. Flower in the Pocket, arahan Liew Seng Tat, merupakan filem Malaysia terakhir yang ditayangkan di LA APFF pada tahun 2008.

Filem SONGLAP diterbitkan bersama oleh Grand Brilliance dan Red Films, dan diarahkan oleh gandingan suami-isteri, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak. SONGLAP mendalami kisah kehidupan dua beradik, lakonan Shaheizy Sam dan Shafie Naswip, yang terjerat di dalam kancah sindiket pemerdagangan manusia. Filem ini telah ditayangkan pada 15 Disember 2011 di 77 buah pawagam dan mendapat sambutan yang amat baik dari peminat filem serta pihak media, dan diiktiraf sebagai filem terbaik Malaysia 2011.

Movie Still Songlap

Movie Still Songlap

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Acara Amal Gunting Rambut Bertema Stylish 35

Gossip Zizan Bercinta dengan Kaka