in ,

SLOT SINEMA JUMAAT SEPANJANG BULAN OGOS 2008 DI RTM2

SLOT SINEMA JUMAAT SEPANJANG BULAN OGOS 2008 DI RTM2

Mengambil kira soal mempelbagaikan genre dan negara filem siarannya bertepatan dengan selera penonton, RTM2 mengisi Slot Sinema Jumaat, setiap Jumaat, jam 1.00 petang dengan seleksi filem-filem klasik India, Indonesia dan juga tidak ketinggalan filem popular tanah air. Modus operandinya mahu keseluruhan masyarakat menikmati filem terbaik dan menghiburkan.

Justeru sepanjang bulan Ogos 2008 ini, lima buah filem menarik bermula Nafas Cinta (01 Ogos 2008), Kuliah Cinta (08 Ogos 2008), Love In Tokyo (15 Ogos 2008), Idola (22 Ogos 2008) dan Kembang Semusim (29 Ogos 2008).

Nafas Cinta yang menemukan lakonan hebat Awie, Maizurah Hamzah, Norman KRU, Arni Nazira, Rosyam Nor dan Datuk Jalaluddin Hassan diterbitkan tahun 1999 ini mengisahkan watak Amir yang membawa hati laranya hingga ke Pulau Bayu untuk menenangkan fikiran setelah kontrak muziknya dibatalkan. Di sana Amir berkenalan rapat dengan Suria yang kemudiannya berkat bantuan Amir berjaya mengembangkan bakat menjadi seorang penyanyi.

Kuliah Cinta yang menyusul kemudiannya pula mengisahkan kehidupan remaja di alam kampus yang dilalui Jojo (Erra Fazira) dan Faramy (Yusry KRU). Mereka berkawan baik namun situasi itu berubah sejak kemunculan pelajar junior baru universiti sama bernama Ayu.  Dalam diam Faramy terpikat pada Ayu dan hakikat itu sukar diterima oleh Jojo yang dalam diam menyintai teman baiknya itu.

Jojo kemudiannya mengambil keputusan menyertai program pertukaran pelajar ke Australia untuk melupakan Faramy. Bagaimana pun dia berkenalan dengan jejaka dikenali Johan sehingga mengundang cemburu Faramy.

Satu-satunya filem klasik India sekitar tahun 1966, Love In Tokyo pastinya mengembalikan memori kisah cinta berlatarkan kehidupan keluarga India di Jepun. Gayetridevi lakonan Lalita Pawar mengarahkan anaknya, Ashok (Joy Mukherji) berkahwin dengan gadis pilihannya, Sarita (Lata Bose) namun Ashok tidak menunjukkan minat langsung pada gadis itu. Sebaliknya dia jatuh cinta pada gadis yang kebetulan ditemuinya di Tokyo bernama Asha (Asha Parekh).

Cinta mereka terhalang pada dua-dua belah pihak hingga mengakibatkan kejadian mata Ashok menjadi buta. Apakah puncanya kejadian itu hanya diketahui setelah menonton filem menarik bertemakan kekeluargaan ini.

Seterusnya, Idola menyaksikan watak pelakon terkenal antaranya Norman Hakim, Datin Normala Shamsudin, Jeslina Hashim, Sahrifah Aleya, Danny dan Sheila Mambo membawa kisah realiti yang berlaku dalam masyarakat masa kini terutamanya melibatkan golongan remaja yang begitu teruja mahu bergelar artis. Menerusi watak penyanyi popular bernama Elise, wujud watak Nana yang juga peminat setia artis remaja itu hingga menjadikannya sebagai idola.

Namun tindakan Nana itu kurang disenangi kakaknya, Farah yang juga seorang peguam syariah. Prasangka buruk Farah terhadap dunia hiburan menyebabkan timbul salah faham di hatinya apabila Farah menyangka Mukhriz, abang Elise berlaku sumbang dengan jandanya, Rubi. Konflik diri juga berlaku pada Nana yang menyebabkan dia hilang kepercayaan terhadap penyanyi kesayangannya Elise yang dilihat sendiri bermain cinta dengan jejaka idamannya, Jimi.

Kembang Semusim, filem Indonesia yang sarat dengan tema kekeluargaan memang berlaku dalam realiti kehidupan masyarakat sekarang yang diwakili wataK Risna, anak yang ditinggalkan oleh ibunya setelah berkahwin dengan lelaki kaya.

Lalu apabila umurnya menginjak remaja, Risna memutuskan menjejak ibunya hingga tiba di Jakarta. Di samping mencari tunangnya, Rusdi yang empat bulan hilang tanpa khabar berita. Malangnya ibu Risna sukar menerima kehadirannya semula apatahlagi kehidupannya sedang bergolak dengan perniagaan suaminya yang diisytiharkan muflis.

Dapatkah Risna menemui kebahagiaan yang dicarinya? Kembang Semusim diterajui lakonan Rano Karno dan Marissa Haque.

Pastikan janji temu anda menyaksikan lima filem menarik, Nafas Cinta (01 Ogos 2008), Kuliah Cinta (08 Ogos 2008), Love In Tokyo (15 Ogos 2008), Idola (22 Ogos 2008) dan Kembang Semusim (29 Ogos 2008) yang mengisi slot Sinema Jumaat, setiap Jumaat, jam 1.00 petang di RTM2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

FILEM-FILEM SERAM POPULAR MENGISI SLOT CINEMA ON 2

MAJLIS PERASMIAN KOMPLEKS PENYIARAN TUANKU MUHAMMAD NEGERI SEMBILAN