in

Siri Lie To Me Drama Penyiasatan Terbaru Di ntv7

PERNAHKAH terfikir mengapa manusia mempunyai kecenderungan untuk berbohong terutama apabila melakukan sesuatu kesilapan? Adakah ia adalah usaha untuk mematahkan segala pembohongan dan membongkar kebenaran di sebaliknya?

Daripada penulis Samuel Baum dan barisan penerbit eksekutif siri terkenal 24, tibalah Lie To Me, sebuah drama bersiri hebat 13 episod diilhamkan dari kisah kehidupan seorang pakar, Dr Paul Ekman (seorang tokoh yang cukup berpengaruh di Amerika Syarikat) yang mempunyai kemahiran untuk membaca petunjuk atau isyarat yang berselindung di sebalik wajah, tubuh dan suara manusia.

Saksikan tayangan perdana di Malaysia Lie To Me, setiap Isnin, 8.30 malam, bermula hari ini (27 Julai) hanya di ntv7!   

Di Amerika Syarikat, siri ini berjaya mengalahkan drama terbitan FOX dengan mendapat ratings tertinggi di kalangan program penonton dewasa berumur 18-34 tahun. Calon Anugerah Akademi, Tim Roth (The Incredible Hulk, Reservoir Dogs) ialah watak utama sebagai Dr Cal Lightman, seorang pakar dalam memerhatikan gerak bibir dan tubuh manusia yang tidak pernah gagal untuk membuktikan sama ada individu itu berbohong ataupun tidak.

Namun begitu, bagi Lightman, kemahiran luar biasanya itu mungkin suatu kelebihan pada dirinya yang mampu menegakkan kebenaran, tetapi ada kalanya ia seperti satu sumpahan dalam kehidupannya. Bersama-sama dengan personalitinya yang penuh karisma dan bicaranya yang tersusun rapi, pelajari lagak dan ekspresi tubuh Lightman untuk mengenalpasti sama ada seseorang itu berbohong.

Sebagai Ketua Kumpulan The Lightman, pasukan penyiasat yang dikendalikannya sering disalah tafsir sebagai terlalu formal dan tidak mesra. Mereka bekerjasama dengan penguat kuasa undang undang persekutuan, agensi kerajaan dan polis tempatan untuk mencungkil kes yang terbengkalai atau terpaksa ditutup kerana kurang bukti atau petunjuk yang membawa kepada penangkapan penjenayah tersebut. 

Jelitawan Amerika, Kelli Williams membintangi watak Dr Gillian Foster (The Practice), seorang pakar psikologi yang membimbing Lightman untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai minda di samping sikap manusia sementara dia menumpukan pada butir-butir kes. Apa yang lebih menarik, Foster dilihat mempunyai masalah yang berpanjangan dengan suaminya dalam kehidupan rumah tangganya namun dia gagal (atau mungkin dengan sengaja) untuk mengkaji permasalahannya walaupun ia cukup jelas di kalangan rakan-rakannya.

Seterusnya, Brendan Hines adalah Eli Loker (Terminator: The Sarah Connor Chronicles), seorang pakar analisis yang cukup benci pada mereka yang gemar menipu, kerana percaya bahawa ia adalah sesuatu yang cukup berlawanan dengan sifat semula jadi manusia. Loker seorang yang jujur dan tidak akan teragak-agak untuk menyatakan kebenaran walaupun selalunya ia menyakitkan.

Berkenalan dengan anggota kumpulan, Ria Torres yang dikurniakan keupayaan semula jadi membaca minda manusia sekelip mata, Monica Raymund yang sebelum ini dikenali dalam siri terkenal Law and Order : SVU memegang watak Ria Torress dalam siri penuh mendebarkan ini.

Siri ini bermula dengan babak pembunuhan seorang tenaga pengajar yang dikaitkan dengan pelajar yang dilihat di tapak pembunuhan namun tidak mengakui perbuatannya. Seterusnya, mereka ditugaskan menyelesaikan kes percubaan pandu NASA membabitkan kapal terbang berharga jutaan ringgit. Suspek dituduh melakukannya dengan niat sengaja serta didorong oleh motif yang tidak sihat.

Mungkinkah suspek ini tidak bersalah seperti yang dilaungkan oleh mereka ataupun sebaliknya? Bersama-sama jalan cerita yang mantap yang mengetengahkan prosedur penyiasatan luar biasa dan lain daripada lain, Lie To Me tentunya sebuah drama intelektual yang bakal membuatkan anda cemas dan kagum. Ceriakan malam anda dengan siaran eksklusif Lie To Me, setiap Isnin, 8.30 malam ini di ntv7.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Isteri Radhi OAG Minta Cerai Kerana Ditiduri Lelaki Lain

Supernatural, Smallville New Season