in

Siri Korea Triple di TV2

16 Episod Siri Korea “Triple” Terbaharu di TV2

Sebuah lagi siri Korea menarik menemui penonton setia saluran TV2 mengisi slot Kristal mulai 24 Februari lalu bertajuk “Triple” yang disiarkan jam 5.00 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.

Menampilkan pelakon terkenal Lee Jung Jae (Shin Hwal), Lee Sun Gyun (Jo Hae Yoon), Yoon Kye Sang (Kang Hyun Tae), Min Hyo Rin (Lee Haru), Lee Ha Na (Choi Soo In) dan Kim Hee (Kang Sang Hee), 16 episod siri ini sarat dengan babak-babak percintaan, kekeluargaan dan persahabatan yang sememangnya dekat di hati penonton.

Ia mengisahkan pergolakan hidup dilalui watak gadis bernama Lee Haru yang begitu bercita-cita tinggu mahu mengembangkan bakatnya dalam bidang sukan luncur. Namun hasratnya untuk mengejar cita bukanlah semudah disangka. Dia perlu berusaha gigih untuk merealisasikan impiannya itu.

Dugaan besar berlaku dalam hidup Haru apabila ibu dan ayahnya meninggal dunia serentak dalam kemalangan yang ngeri yang telah meragut nyawa mereka. Haru hilang arah dan tujuan hidup mahu meneruskan kehidupan.

Begitu pun segalanya tidak lama. Dia bangkit dari kedukaan itu lalu memutuskan untuk berhijrah ke Seoul. Di sana dia bertemu dengan abang tirinya, Shin Hwal yang telah sekian lama tidak bertemu dan memutuskan untuk tinggal bersama dengan abangnya itu memulakan kehidupan baru.

Hwal tinggal bersama dengan teman sekerjanya iaitu Hae Yoon, Tae Hyun dan Sang Hee yang kesemuanya bekerja di sebuah agensi pengiklanan yang sama. Teman-temannya tiada masalah untuk membenarkan Haru tinggal bersama mereka.

Pelbagai kejadian berlaku apabila Haru tinggal bersama mereka. Apatahlagi bila Hwal cuba mengawal pergerakan adiknya itu seperti menjaga seorang anak kecil. Layanan diberikan Hwal itu membuatkan Haru tidak selesa.

Namun dalam diam rupanya Haru menyimpan perasaan terhadap abang tirinya itu. Tambahan pula atas perhatian lebih diberikan Hwal membuatkan dia terfikir bahawa Hwal juga miliki perasaan yang sama. Namun perasaan itu hanya mampu dipendamkan dalam hati.

Haru cuba untuk membuatkan impiannya menjadi kenyataan dengan menjalinkan hubungan yang baik dengan jurulatih luncurnya bernama Choi Soo In. Keakraban mereka hingga adakalanya Haru menjemput Soo In datang ke rumahnya.

Kehadiran Soo In di rumah itu rupanya membongkar siapakah Soo In yang sebenar dan apakah hubungan antara wanita itu dengan abang tirinya. Rupa-rupanya Soo In adalah isteri Hwal namun mereka dalam proses untuk memfailkan penceraian di mahkamah.

Lalu apakah kesudahannya? Siapakah wanita yang bertakhta di hati Hwal samada Haru atau Soo In yang masih sah isterinya? Saksikan kesudahan drama bersiri arahan Lee Yoon-Jung ini hanya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lirik Lagu Beginilah Caranya Shaheizy Sam & Yana Samsudin

Future Music Festival Asia