in ,

Happeningnya Siri Jelajah Bas Drama Sangat Di Zon Selatan

Siri Jelajah Bas Drama Sangat (DSBT) kembali pada tahun 2017 ini dengan wajah yang baharu. Memilih zon selatan sebagai lokasi keduanya, dengan membawa barisan artis seperti Idris Khan, Azrel Ismail dan Raysha Rizrose (Akasia: Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin), Reen Rahim (Iris: Tauke Jamu), Anas Ridzuan (Seramedi: Jangan Ikut Aku), Erwin Dawson dan Neera Azizi (Lestary: Miss Kapten Cikgu Waiz) serta Mira Filzah (Kelakarama: Ops Cinta Din Sardin) telah ke Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada 11 dan 12 Ogos yang lalu. Sepanjang penjelajahan itu berlangsung, seramai 30,000 orang warga Zon Selatan telah memeriahkan siri jelajah itu.

30,000 PENGUNJUNG BUKTI ZON SELATAN BANYAK SANGAT BERDRAMA!

Mengekalkan pengacara Shah dan Faiz Tapaw (BMB), Jelajah Bas Drama Sangat 2017 yang sudah beraksi selama tiga tahun masih mengekalkan objektif yang sama, iaitu sebagai satu acara penghargaan buat para peminat setia drama yang disiarkan melalui stesen TV3 dan TV9, dengan membawakan bintang-bintang utama drama turun padang untuk bertemu dengan para peminat. Bintang-bintang ini juga sentiasa mendapat sambutan hangat para penonton menerusi slot Akasia, Zehra, Samarinda, Lestary, Dahlia, Iris, Azalea, Kelakarama dan slot terbaharu tahun ini, Seramedi.

Bas DSBT ini telah memulakan perjalanannya sekitar pukul 9 pagi ke destinasi pertamanya, Kluang Mall, Johor. Sepanjang perjalanan kru DSBT ke Kluang, pelbagai aktiviti-aktiviti promosi telah dilaksanakan melalui media sosial TV3, TV9 dan profil media sosial rasmi Instagram Drama Sangat, @dramasangat. Antaranya, siaran langsung Facebook dan Instagram, dan Live Update di laman sosial Instagram dan Twitter serta permainan ‘Radio Rosak’ yang telah disiar secara langsung di platform media sosial tersebut. Melalui cara ini juga, para pengguna media sosial Facebook dan Instagram berpeluang untuk berinteraksi dengan barisan artis DSBT sehingga bersemuka di Kluang Mall, Kluang, Johor.

Permainan Radio Rosak adalah sebuah permainan yang melibatkan kesemua penumpang bas drama sangat yang dibahagikan kepada dua kumpulan yang diketuai oleh Erwin Dawson dan Anas Ridzuan. Para pemain hanya perlu duduk dalam barisan mereka dan menyampaikan mesej yang diberikan oleh Shah dan Faiz Tapaw sehingga ke pemain terakhir. Tugas pemain terakhir pula adalah untuk menyebut semula mesej yang diberikan setepat mungkin.

Setibanya di Kluang Mall, Kluang sekitar pukul 2 petang, para artis telah dikerumuni oleh beribu para pengunjung untuk beramah mesra dengan mereka. Pelbagai aktiviti ramah mesra telah diadakan, seperti bermain permainan-permainan yang beraneka macam, sesi autografi dan bergambar. Sesi beramah mesra itu telah berakhir sekitar pukul 5 petang untuk kru DSBT bertolak ke Hotel MITC Summit, Melaka.

Pada sebelah malam pula, sekitar pukul 9 malam, kru DSBT telah membawa barisan artis ke Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan oleh MBMB dengan menyanyikan lagu patriotik Keranamu Malaysia, Tanggal 31, dan Jalur Gemilang. Selain itu, bergandingan dengan kumpulan persembahan MBMB, kumpulan KOMBO, kru DSBT turut menyanyikan lagu-lagu tema popular drama-drama di TV3 dan TV9.

Pada hari terakhir penjelajahan DSBT telah menjalinkan senyuman bersama Darlie, kru jerayawara ini telah membawa barisan artis dan duta Darlie, Sharifah Syahira ke Mydin MITC, Melaka sekitar pukul 12 tengah hari. Di Mydin MITC Melaka ini, aktiviti-aktiviti ramah mesra yang sama akan diadakan bersama para pengunjung sehingga pukul 2 petang, sebelum bertolak ke destinasi terakhir iaitu NSK Trade City, Seremban.

Ketika dalam perjalanan dari Mydin MITC, Melaka ke NSK Trade City, Seremban, kru DSBT sekali lagi meluangkan masa dengan bermain permainan untuk dikongsikan di laman sosial Instagram. Kali ini, kru DSBT bermain ‘Lukis Sangat’ juga dalam dua kumpulan. Dengan konsep yang sama seperti ‘Radio Rosak’, orang pertama akan diberikan gambar untuk dilukis, lukisan itu hendaklah ditunjukkan kepada pemain dibelakangnya sehingga ke pemain terakhir. Pemain terakhir harus meneka apakah gambar yang diberikan kepada kupulannya itu.

Buat peminat DSBT yang tidak berpeluang untuk mengikuti penjelajahan DSBT Zon Selatan ini, mereka berpeluang untuk saksikan setiap aktiviti barisan artis ini melalui laman sosial rasmi Facebook (TV3 Malaysia dan TV9 Malaysia) dan Instagram (@TV3malaysia, @TV9malaysia dan @dramasangat). Platform media sosial ketiga-tiga saluran ini akan menyediakan rakaman langsung untuk tatapan para pengikut setia DSBT dan para peminat barisan artis yang ingin mengikuti siri jelajah ini.

Selain itu, para pengikut setia DSBT di Zon Utara pasti akan ternanti-nanti siri jelajah DSBT yang seterusnya, kerana kru DSBT akan menjelajah ke negeri-negeri Zon Utara di bulan November dengan membawa barisan artis lain pula.

Berikut adalah rumusan perjalanan Siri Jelajah Bas Drama Sangat Zon Selatan ini.

JUMAAT, 11 OGOS 2017
8.00 Pagi : Persediaan Siri Jelajah Bas Drama Sangat menerusi NLKO
9.00 Pagi : Bertolak dari Sri Pentas ke Lokasi Pertama, Kluang Mall Johor
2.00 Petang : Tiba di Lokasi Pertama, Kluang Mall Johor
5.00 Petang : Bertolak ke Hotel MITC Summit, Melaka
6.30 Petang : Tiba di Hotel MITC Summit, Melaka
8.00 Malam : Makan Malam
9.00 Malam : Bertolak ke Lokasi Kedua, Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah
9.30 Malam : Tiba di Lokasi Kedua, Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah
11.00 Malam : Bertolak pulang ke Hotel MITC Summit, Melaka.
11.30 Malam : Rehat

SABTU, 12 OGOS 2017
10.00 Pagi : Perjalanan ke Lokasi Ketiga – Mydin MITC, Melaka
12.00 Tengah hari : Tiba di Lokasi Kedua, Mydin MITC, Melaka
2.00 Petang : Makan Tengahari
3.00 Petang : Bertolak ke Lokasi Keempat, NSK Trade City Seremban
4.30 Petang : Tiba di Lokasi Keempat, NSK Trade City, Seremban
7.30 Malam : Bertolak pulang Ke Sri Pentas
8.30 Malam : Bersurai

Untuk maklumat terkini, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my & www.tv9.com.my dan ikuti laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia & @TV9Malaysia. Para peminat turut dijemput untuk memeriahkan Jelajah Bas Drama Sangat dengan menggunakan hashtag #DramaSangat untuk sebarang interaksi di laman sosial. Saksikan program-program menarik TV3 dan TV9 menerusi portal video tonton, www.tonton.com.my.

 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Segalanya Tentang Wanita Dalam CITRA WANITA

Selebriti Popular di Pelancaran THE-ALL-NEW GEMPAK