in , ,

Sinopsis Telemovie Ala Emak Kahwinkan Aku Arahan Zul Huzaimy

Hadir di satu majlis perkawinan, Pijo diresap satu keinginan. Pijo nak kawin. Pijo nak rasa duduk atas pelamin. Pijo nak ada isteri di sisi. Pijo panjangkan kemahuannya itu pada emaknya, Maziah. Maziah tersepit. Antara rasa sayang pada darah daging sendiri dan pandangan umum pada Pijo serta kemampuan Pijo sendiri untuk bergelar suami dan memikul tanggungjawab itu.

Babak-babak menarik kisah tersebut melatari jalan cerita drama terbaru arahan pelakon Zulhuzaimy bertajuk “Ala Emak … Kahwinkan Aku” yang bakal menemui penonton pada 22 Julai depan, pukul 9.00 malam mengisi slot Panggung Seri di TV1.

Turut menyaksikan Zulhuzaimy menjiwai watak utama sebagai Pijo, telemovie terbitan Juah Corporation Sdn Bhd ini menggandingkannya dengan pelakon Mardiana Alwi, Rosnah Johari, Kazar, Liza Abdullah dan Oshin.

Saksikan perjalanan cerita Alawi, suami Norihan yang selama ini tidak dapat tunaikan tanggungjawabnya sebagai bapa pada Mat Ali kerana keeganan Mat Ali menerimanya sebagai ayah tirinya, pantas menyokong kemahuan Pijo. Biarpun Pijo hadir dengan lurus dan serba kurang dalam dirinya, Alawi menyenangi Pijo sebagai anaknya. Malahan saja Alawi ambil Pijo kerja sangkar ikan miliknya.

Berlainan pula penerimaan Norihan terhadap Pijo. Norihan terus simpan rasa tak sukanya pada Pijo kerana Pijo pernah malukan dia di mata umum 5 bulan lalu. Norihan curi seutas kalung manik kerana waktu nak beli, kalung itu sudah ditempah. Pijo beritahu Tuan Gerai hal itu dan rahsia Norihan pecah. Lantas bila Norihan tahu Pijo nak kawin, dia gelak dan cebiknya mendahului segala.

Dalam masa yang sama, Pijo rapat dengan Shima. Pijo luahkan rasa sukanya pada Shima. Shima faham perasaan Pijo. Lantas dalam lembut dan untuk jaga hati Pijo, Shima gariskan dia akan selamanya tetap akan terima Pijo, tetapi sebagai kawan dan tak mungkin lebih dari itu. Pijo faham situasi namun kecewa.

Pijo terus desak Maziah. Maziah cuba berdalik dan mereka helah. Namun kemahuan Pijo kuat. Pijo merajuk. Pijo hilangkan diri. Timbul salah sangka yang mengatakan Pijo lemas di sungai. Norihan jumpa Pijo. Rasa tak suka Norihan pada Pijo bertukar jadi simpati. Lantas bila Mat Ali terlepas mulut mengatakan ada calon yang sesuai dengan Pijo, Norihan dan Alawi pantas sedia membantu.

Dalam masa yang sama, perangai buruk Mat Ali yang suka bertukar kekasih semakin menjadi-jadi. Pak Imam sarankan Alawi tegur dan nasihati Mat Ali. Mat Ali tak bena segala kata Alawi dan terus saja dengan mahunya.

Atas usaha dan bantuan Norihan bersama Alawi, Pijo diijabkabulkan dengan Faikah yang sebelum ini tinggal bersama emak saudaranya, Laili. Dalam manis rumahtangga Pijo ada juga masinnya. Maziah, Alawin dan Norihan sama bantu Pijo supaya lebih kenal tanggungjawab dan peranannya sebagai suami. Akhirnya, Pijo berjaya buktikan dirinya mampu suami yang baik dan bertanggungjawab.

Saat Pijo dan Faikah timang cahaya mata pertama. Shima naik pelamin dengan pemuda pilihan hatinya. Mat Ali terus hampakan Norihan yang mahu bermenantu dengan alasan, belum cukup sedia nak terima dan pikul tanggungjawab sebagai suami.

Diwarnai dengan dengan babak dan aksi yang santai juga mencuit hati, saksikan kesudahan drama menarik ini hanya di TV1.

poster drama Ala Emak ... Kahwinkan Aku

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MTV Lancar MTV Top 20

Betul Ke Jimmy Shanley Bermasalah di Ultra FM?