in ,

Sinopsis Siti Kelembai Lakonan Yana Samsudin & Fizo Omar

Lagenda: Siti Kelembai, mulai 20 September, Isnin hingga Khamis, jam 4.30petang

Pelakon: Yana Shamsudin, Fizo Omar, Amran Omar, Farah Lyana, Jasmin Hamid, Eizlan Yusof.

Drama bersiri 20 episod arahan Bob Hashim Ismail terbitan MIG Productions mengolah semula cerita rakyat, Sang Kelembai kepada Siti Kelembai versi moden yang berkisar tentang Siti Ratna, anak perempuan tunggal kepada Alang Saidi dan Siti Mayang Sari yang sangat kuat berkhayal dan berimaginasi di dalam kelas.

Pada zahirnya, Siti Ratna dianugerahkan rupa paras yang cantik warisan ibundanya, namun, kecantikan itu tidak terserlah kerana dia seorang gadis yang sangat selekeh dan tidak pandai menjaga penampilannya.

Siti Kelembai

Sewaktu di dalam kelas, Siti Ratna sering hilang tumpuan kerana tatkala guru kelasnya sedang memberi pengajaran di hadapan, fikiran Siti Ratna akan melayang-layang entah ke mana dan seolah-olah dirinya berada di alam lain.

Di kolej, satu-satunya kawan rapat Siti Ratna adalah Moin yang agak lurus bendul dengan tabiat pelik dan sering menjadi mangsa buli rakan-rakan sekuliahnya. Menjelang hari lahirnya yang ke-21, atas bantuan kakak Moin, Masmona yang mempunyai sebuah salon kecantikan, Siti Ratna telah bertukar menjadi seorang gadis yang rupawan dan anggun!

Selain daripada menjadi bualan hangat dan pujaan hampir semua lelaki di kolejnya, secara tiba-tiba Siti Ratna telah dianugerahkan suatu kuasa sakti yang agak luar biasa pada malam sambutan hari lahirnya. Kuasa itu adalah satu kelebihan yang pada mulanya tidak disedari oleh Siti Ratna sendiri dan jika disalahgunakan atau tidak terkawal boleh menyebabkan suasana haru-biru.

Siti Ratna tidak boleh marah atau terdetik dalam hati memarahi sesiapa kerana boleh menyebabkan seluruh tubuh orang yang dimarahinya menjadi gatal. Pastinya peristiwa hari lahirnya itu telah menjadi titik permulaan kepada rungkaian hikayat Siti Kelembai. Dapatkah Siti Ratna menyesuaikan dirinya dengan kuasa sakti yang dimiliki? Apakah kaitan kelebihan dirinya dengan ibunya yang dipercayai mati selama ini tetapi sebenarnya masih hidup berkelana di hutan rimba?

Saksikannya di TV3 dan TV9 setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang dan ulangannya di TV9.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis Launch Health Portal Epicure Malaysia 2010

Emergency di TV9