in , , ,

Sinopsis Drama BIDADARI Lakonan Amyra Rosli & Shahz Jaszle

Tabah diduga, pemaaf dan tetap menyayangi walau dibenci. Langkahnya berani, namun hatinya tercalar seribu satu duka. Bagi gadis seperti Suria, andai segala kebaikan dipertaruhkan dia pasti mendapat balasan yang sama. Suria bakal merentangi apa jua cabaran di hadapannya kerana seindah namanya, dia tetap mahu menerangi kehidupan mahupun dirinya menjadi korban.

Terbaharu di slot Lestary, TV3 bakal membawakan drama rantaian berjudul Bidadari setiap hari Rabu dan Khamis jam 9.00 malam bermula 30 April 2015. Drama ini membariskan pelakon hebat seperti Amyra Rosli, Shahz Jaszle, Nonny Nadirah, Syazwan Zulkifly, Sherie Merlis, Zamarul Hisham, Azhan Rani dan ramai lagi.

Poster Bidadari

Bidadari mengisahkan Suria (Amyra Rosli) anak kepada seorang penyanyi kelab, Delima (Sherie Merlis) yang terpaksa menempuh keperitan hidup tatkala berbapa tirikan Anjang (Azhan Rani). Anjang yang suka berjudi dan berfoya sentiasa mengambil kesempatan untuk mempergunakan dua beranak itu. Diherdik dan sering didera membuatkan Suria sukar menerima kehadiran lelaki di dalam hidupnya. Malah kepolosan dirinya sering mengundang niat jahat daripada insan bergelar lelaki.

Ibunya, Delima pula bagaikan menyimpan rahsia terpendam. Walaupun Suria sentiasa menyayangi dan melayan ibunya sehabis baik, Delima pula sentiasa beranggapan anak gadisnya itu tidak lebih daripada sekadar menambah beban di dalam hidupnya. Namun pada suatu hari, anak-beranak itu nekad meninggalkan rumah yang umpama neraka bagi mereka dan dipertemukan dengan takdir baharu.

Tengku Iskandar (Zamarul Hisham), pemilik Restoran Melati yang tertarik dengan nyanyian Delima sebelum ini memberikan mereka tempat berteduh untuk memulakan hidup yang lebih baik. Pertemuan singkat itu juga berjaya membuka hati Tengku Iskandar memperisterikan Delima. Jauh di hati Delima, dia hanya menginginkan kemewahan dan sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai impiannya.

Suria kini memiliki seorang adik tiri bernama Tia, (Nonny Nadirah) yang ikhlas menerima kasih sayang Delima dan Suria. Namun ketamakan Delima bakal memusnahkan segalanya apatah lagi mengetahui rahsia bahawa Tengku Iskandar menyimpan – Melati – isteri pertamanya yang koma dan dirawat di sebuah bilik rahsia. Sebuah harapan keluarga bahagia bakal berubah menjadi satu lagi dugaan besar buat Suria dan Tia.

Dalam masa yang sama, Suria didekati dua insan istimewa dalam hidupnya, Adi (Shahz Jaszle) yang ikhlas mencintainya dan Lukman (Syazwan Zulkifli), abang tirinya yang sanggup berubah bagi memenangi hati Suria.

Mampukah Suria berhadapan dengan segala rintangan dan kekal sebagai insan berhati bidadari? Apakah rahsia di sebalik kebencian Delima terhadap Suria? Saksikan Bidadari setiap Rabu dan Khamis jam 9.00 malam di slot Lestary eksklusif di TV3 bermula 30 April 2015.

Shahz Jaszle

Nonny2

Nonny1

Amyra3

Amyra2

Amyra1

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pesta Kolektor Coca-Cola Lebih Meriah Dengan Tin Peribadi

Gambar Baby Bump Erin Malek di Majlis Suai Kenal Paranormal Studio