in

Sinopsis Drama Bersiri Iman Nabila di TV3

Menyusul selepas drama ‘Kalau Bukan Aku’ yang bakal melabuh tirai pada 6 Jun ini, sebuah lagi drama akan menghiasi slot Azalea berjudul ‘Iman Nabila’ hasil garapan sutradara Shuhaimi Lua dan nukilan skrip oleh Sharifah Abd. Rahim menerusi terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. Drama rantaian 16 episod ini menampilkan gandingan pelakon hebat seperti El Faeza Ul Haq, Shahrizal Jaszle, Mahmud Ali Basha, Wan Shades, Fazlina Dato’ Ahmad Daud, Tengku Sariza dan Aida Khalida.

Iman Nabila7

[pullquote align=”right”]Jangan lupa tonton drama bersiri yang penuh muslihat dan konflik, Iman Nabila lakonan El Faeza Ul Haq, Shahrizal Jaszle, Mahmud Ali Bash dan ramai lagi bermula 10 Jun ini, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.00 petang di TV3[/pullquote]

Kisah Iman Nabila bermula ketika Tuan Arshad (Mahmud Ali Basha) memberi amaran kepada menantunya, Salimah (Tengku Sariza). Jika anak kedua Salimah ialah perempuan, dia akan meminta Harris (Wan Shades) berkahwin lagi. Salimah kecewa dengan ugutan bapa mertuanya lalu memberitahu ibunya, Mardiah (Aida Khalida). Mardiah merancang sesuatu. Jika Salimah melahirkan cucu perempuan, dia nekad mendapatkan cucu lelaki untuk besannya walau dengan apa cara sekalipun.

Mardiah membeli anak Aida, ibu muda yang ditinggalkan suami dengan harga RM 5000 untuk menjadi cucu Tuan Arshad. Manakala, Nabila (El Faeza) diserahkan kepada Halimah (Fazlina), saudaranya di kampung yang menjaga Nabila hanya kerana wang semata-mata. Harris memarahi Salimah yang melahirkan anak lelaki kerana ini bermakna anaknya yang akan mewarisi harta bapanya, bukan dia.

13 tahun kemudian di Kuala Lumpur, Iman (Shahrizal) membesar sebagai remaja degil dan selalu menunjukkan protes kepada datuknya, Tuan Arshad. Jika permintaannya tidak dipenuhi, Iman akan mengugut untuk melakukan pelbagai perkara termasuk terjun dari balkoni. Kakak Iman, Yasmin (Siti Elizad) pula merasa terpinggir kerana Tuan Arshad tidak melayan permintaannya.

Nabila kini menjadi gadis sunti. Dia terpaksa hidup dengan apa yang diberikan Halimah. Malah, jarang sekali diberi wang saku. Dia juga menjadi tempat Halimah melepaskan marah dan geram. Walau bagaimanapun, Nabila seorang yang tabah, rajin dan bijak sehingga berjaya menamatkan pengajian di universiti dengan cemerlang.

Suatu hari, Tuan Arshad merungut ketika menunggu Haris, Iman dan Yasmin di bilik mesyuarat. Ketiga-tiganya tidak muncul. Harris masih tidur di rumah kekasihnya, Iman pula baru pulang dari berfoya-foya manakala Yasmin masih keletihan kerana terlibat dengan pembikinan iklan komersil. Mardiah menyaksikan keadaan huru-hara di rumah Tuan Arshad. Melihat perangai Iman, Mardiah menyesal kerana menjadikan Iman cucu Tuan Arshad. Apabila Tuan Arshad menukar rancangan untuk menyerahkan syarikat kepada siapa yang lebih menunjukkan potensi, Mardiah bercadang membawa Nabila masuk ke dalam syarikat.

Mardiah teruja melihat keperibadian Nabila, kecantikan dan sikapnya yang sangat menghormati orang tua. Dia juga mengumumkan Nabila bukan orang gaji baru tetapi salah seorang eksekutif di syarikat Tuan Arshad di hadapan Harris, Yasmin dan Iman. Apakah kemunculan Nabila di dalam keluarga Tuan Arshad akan membongkarkan segalanya? Mampukah Iman berubah demi Tuan Arshad?

Saksikan drama siri terbaru slot Azalea, Iman Nabila, bermula 10 Jun ini, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.00 petang di TV3. Jika anda terlepas menyaksikan drama siri ini di kaca televisyen, anda boleh menontonnya di saluran alternatif menerusi www.tonton.com.my. Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan tanda pagar #ImanNabila untuk sebarang perbualan dan komen.

Iman Nabila3

Iman Nabila4

Iman Nabila5

Iman Nabila6

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Filem OMK Oh Mak Kau

Ulasan Filem Oh Mak Kau OMK