in ,

Shaheizy Sam Kembali Rampas Takhta di ABPBH 2014

Kejayaan pelakon popular, Shaheizy Sam meraih gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014) yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, malam tadi adalah keputusan luar jangkaan ramai yang menjangkakan ramalan awal memihak Ayda Jebat atau Zul Ariffin.

Namun, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kredibiliti Sam sebagai pelakon popular memang tidak disangkal.

“Dua tahun lalu saya mendapat undian 80,000 tetapi pada tahun ini, jumlah undian meningkat tiga kali ganda. Saya pun tidak tahu apa yang saya sudah buat dengan mereka. Namun, apa yang boleh saya katakan, usaha mereka yang tidak jemu-jemu mengundi buat saya sangat terharu. Tiada apa yang saya dapat balas jasa mereka. Apa yang boleh doakan semoga mereka semua dimurahkan rezeki dan hanya Tuhan yang balas jasa mereka,” katanya mengulas kemenangannya itu ketika ditemui pada acara pasca parti ABPBH 2014 sejurus usai acara siaran langsung.

Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad pernah meraih gelaran Bintang Paling Popular 2010 dan kedua pada 2012.

Namun, di sebalik kemenangan kali ketiga yang diraihnya ini timbul spekulasi kononnya kemenangan itu dipengaruhi status kakaknya, pelakon Zizie Ezzatte yang berkahwin dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar.

Ia sekaligus menggambarkan kedudukan kakaknya itu digunakan sebagai peluang untuk dia lebih mudah melobi undi.

“Di Malaysia, memang kita tidak dapat elak dengan spekulasi. Misalnya, saya seorang peminat pasukan Chelsea. Kalau katakan Chelsea kalah dengan Manchester United, mesti saya akan cakap pengadilnya dibayar. Kalau Harimau Malaya kalah, mesti kita akan cakap pengadilnya berat sebelah. Apa yang saya boleh cakap, ia rezeki masing-masing. Kita lihatlah nanti sama ada saya boleh bertahan lagi atau tidak dalam jangka masa 10 tahun akan datang.”

Katanya, selain doa ibunya yang juga dramatis terkenal, Khaty Azean, jejaka berusia 32 tahun ini menegaskan peminatnya sangat memainkan peranan penting sehingga dia meraih kejayaan dan meletakkan diri di tahap popular pada hari ini.

Tambah pelakon filem pecah panggung Adnan Sempit ini lagi, dia tidak menganggap kemenangan tersebut membuktikan dia sudah berada di atas.

Sebaliknya, dia sentiasa mencari peluang mempetingkatkan lagi mutu lakonannya dalam masa sama memberi kepuasan kepada penonton.

“Kemenangan ini bukan bermaksud saya sudah di atas. Sejak hari pertama saya masuk dalam industri sehingga ke hari ini, apa yang saya buat, saya cuba sedaya upaya jadi pelakon yang tidak menghampakan bukan saja peminat tetapi sesiapa saja. Saya mahu buktikan pelakon bukan sombong dan tidak rasa diri hebat. Saya rasa pendekatan yang sebegitu membuatkan bukan sahaja peminat saya malah orang lain juga percaya bakat dengan bakat saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sam kini sedang menjalani penggambaran filem Interchange.

Karya arahan pengarah berkaliber, Din Said itu turut dibintangi Eidil Putra dan pelakon popular Indonesia, Nicholas Saputra.

Sumber: Malaysian Digest

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selamat Pengantin Baru Taufik Batisah

Senarai Penuh Pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014