in

Sesi Ujibakat Ceria Superstar Musim Kedua

Berikutan maklum balas dan penerimaan positif daripada para penonton yang menyokong perkembangan industri seni tari yang semakin rancak membangun, pihak Astro Ceria menerusi saluran 611 dengan berbesar hati membuka semula pentas seni tari menerusi program realiti tarian khas untuk kanak-kanak yang meminati bidang ini iaitu CERIA SUPERSTAR yang kembali untuk musim kedua dan bakal mengunjungi empat buah lokasi untuk sesi ujibakat bagi mencari peserta yang berbakat dan berpotensi dalam bidang tarian. Empat lokasi tersebut adalah seperti yang berikut:

CERIA SUPERSTAR

Terdapat dua cara untuk menyertai sesi ujibakat pada musim ini. Calon-calon peserta boleh memilih untuk sama ada hadir sendiri ke sesi ujibakat di lokasi-lokasi terpilih pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan ataupun dengan menghantarkan rakaman video penyertaan dalam format DVD secara pos.

Bermula pada 25 Ogos hingga 20 September 2013, calon peserta dikehendaki untuk menghantarkan rakaman video penyertaan yang menampilkan persembahan sekurang-kurangnya satu jenis tarian untuk dinilai oleh pihak juri. Setiap video penyertaan yang dihantar haruslah tidak melebihi tempoh masa tiga minit.

[pullquote align=”right”]Ceria Superstar Kembali Mencungkil Bakat Tarian Kanak-Kanak. Sesi ujibakat untuk musim kedua kini dibuka.[/pullquote]

Penyertaan adalah terbuka kepada kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah dan mestilah berstatus warganegara Malaysia ataupun antarabangsa yang bermastautin di Malaysia. Calon-calon peserta yang berminat juga boleh memilih untuk menyertai pertandingan ini secara solo ataupun berkumpulan dengan bilangan ahli tidak melebihi 7 orang untuk setiap kumpulan. Mereka juga diberi kebebasan untuk memilih jenis atau genre tarian yang ingin dipersembahkan di hadapan barisan juri.

Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin berkata, “Melalui pengamatan kami berdasarkan kejayaan program Ceria Superstar yang buat pertama kali diterbitkan pada musim lepas, ternyata bidang seni tari merupakan satu cabang seni yang sering mendapat perhatian oleh masyarakat di luar sana.

Kami amat berpuas hati dan berbangga apabila rancangan yang julung-julung kali diperkenalkan pada musim lalu mendapat sambutan yang luar biasa di kalangan para penonton pada musim pertama. Oleh itu, kami tidak teragak-agak untuk membawakan semula program ini untuk musim yang kedua.

Peserta-peserta musim lalu juga telahpun membuktikan kepada kita bahawa orang biasa yang bukan daripada golongan penari profesional juga mampu untuk bersaing dan menghasilkan rentak tari yang mengkagumkan menerusi latihan dan kesungguhan yang tinggi,” jelas Hadzelynda.

Hadzelynda turut menambah, “Selain mengasah bakat tarian yang dimiliki, para peserta juga boleh mengambil peluang ini untuk mempelajari pelbagai jenis tarian samada tradisional mahupun moden. Banyak yang mereka boleh kongsikan daripada gerak tari, koreografi dan menggalakan cara hidup aktif dan minda positif dan cergas melalui tarian. Inilah matlamat utama Ceria Superstar yang bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi lebih daripada itu.

Melihat daripada sudut-sudut positif kesan daripada program ini serta mengambil kira permintaan ramai, kami bawakan semula program Ceria Superstar untuk musim kedua bagi memberi peluang kepada kanak-kanak berbakat yang berminat untuk mendekati bidang seni tari secara lebih mendalam,” ujar Hadzelynda ringkas.

Program Ceria Superstar Musim Kedua masih mengekalkan penyanyi yang juga terkenal dengan kemahirannya menari shuffle, Khairil Azam Pilus atau Aril sebagai pengacara di samping Datuk Aznil Haji Nawawi sebagai Penaung.

Program Ceria Superstar Musim Kedua ini akan mula bersiaran di Astro Ceria pada 27 Oktober 2013 jam 11.30 pagi. Sebarang butiran lanjut mengenai program ini akan diumumkan dalam sidang akhbar akan datang.

TARIKH & LOKASI SESI UJIBAKAT CERIA SUPERSTAR MUSIM KEDUA

Tarikh Lokasi
25 Ogos 2013 One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah
8 September 2013 Plaza Angsana, Johor Bahru
15 September 2013 Pinang Megamall, Seberang Perai, Pulau Pinang
21 & 22 September 2013 Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju, Kuala Lumpur

NOTA PENTING
1. Kaunter pendaftaran bagi sesi ujibakat akan dibuka dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang dan para peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan

2. Setiap rakaman video penyertaan yang dihantar secara pos haruslah dilengkapi dengan maklumat seperti yang berikut:
• Nama peserta (solo atau berkumpulan)
• Tempat asal peserta
• Umur peserta
• Nombor telefon untuk dihubungi
• Jenis atau genre tarian yang dipersembahkan

3. Sila kepilkan sekali borang penyertaan yang telah diisi dengan lengkap beserta dengan setiap rakaman video dalam format DVD yang ingin dihantar. Sila muat turun borang tersebut di laman sesawang www.astro.com.my/ceria

4. Setiap calon peserta haruslah memenuhi kriteria penyertaan seperti yang telah ditetapkan

5. Rakaman video penyertaan hendaklah dihantar ke alamat seperti di bawah:
TAC CERIA SUPERSTAR MUSIM Ke-2
Astro Production Sdn Bhd
All Asia Broadcast Center
Technology Park Malaysia, Bukit Jalil,
57000 Kuala Lumpur

6. Untuk sebarang pertanyaan mengenai sesi ujibakat, sila hubungi [email protected]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Bukti Zizan Razak Jadi Pengacara Akademi Fantasia 2013

YUSOF HASLAM

Datuk Yusof Haslam Selamat Jalani Pembedahan Laser