in

Sesi Uji Bakat Pencetus Ummah Musim Kedua

Program realiti Pencetus Ummah ternyata telah berjaya mencipta fenomena televisyen di Malaysia. Kelainan pendekatan dakwah yang dibawakan berjaya mencuri perhatian dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Justeru, pihak Astro Oasis bakal meneruskan lagi usaha pencarian pendakwah baru yang serba boleh dengan mengadakan sesi uji bakat Pencetus Ummah musim kedua di beberapa buah lokasi. Pencarian ini akan bermula di Zon Utara bertempat di Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar, Kedah yang akan diadakan pada 23 Ogos ini.

Salah seorang peserta uji bajat Pencetus Ummah pada sesi uji bakat yang lalu

Sesi uji bakat ini terbuka kepada semua lelaki Muslim warganegara Malaysia yang fasih berbahasa Melayu dan berusia antara 18 – 40 tahun serta sihat tubuh badan di samping mempunyai latar belakang dan pengetahuan agama Islam yang baik. Peserta mestilah memiliki sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sjilil Menengah Rendah Agama (SMRA). Sesi uji bakat ini akan menjelajah ke beberapa buah lokasi seperti berikut;

TARIKH ZON TEMPAT NEGERI
23 Ogos 2014 UTARA Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar KEDAH
30 Ogos 2014 TIMUR Universiti Islam Antabangsa Malaysia, Kampus Kuantan PAHANG
6 September 2014 SELATAN Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat SABAH
13 & 14 September2014 TENGAH Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Bandar Seri Putra SELANGOR

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Encik Namanzee Harris, “Usaha murni yang ingin dicapai melalui program ini belum terhenti. Sambutan dan sokongan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak yang diterima pada musim lalu telah memberikan inspirasi kepada pihak Astro Oasis untuk meneruskan pencarian Pencetus Ummah untuk musim yang kedua. Tidak leka dengan perhatian dan pujian yang diterima, kami terus memikirkan idea-idea dan elemen lain untuk disuntik pada musim terbaru dengan mengekalkan format dan idea asal program ini.”

Mereka yang berminat perlu hadir ke lokasi uji bakat dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang dengan membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar 4R. Selain diuji untuk membaca surah Al Fatihah dan beberapa surah lazim, para peserta juga perlu hadir dan bersedia dengan satu topik tazkirah dengan tajuk bebas.

Namanzee menambah, “Kami di Astro Oasis sentiasa terkehadapan dalam menyusun program untuk disiarkan di saluran ini. Berakhirnya program Pencetus Ummah yang menobatkan PU Hafiz sebagai juara pada Januari lalu tidak bermakna usaha menerbitkan program dakwah di Astro Oasis terhenti setakat itu sahaja. Malah kami terus merancang penerbitan Pencetus Ummah untuk musim yang kedua. Justeru, kami mengalu-alukan kehadiran para peserta ke sesi uji bakat yang akan diadakan ini serta berharap masyarakat akan terus memberikan sokongan padu kepada program Pencetus Ummah selepas ini.”

Astro mengekalkan pendekatan media baru dengan pelbagai aplikasi menarik untuk mendekati penonton dan peminat secara lebih rapat dengan aktiviti dakwah. Para pengguna telefon bimbit diperkenalkan dengan aplikasi islamik terkini; Salam Muslim. Aplikasi percuma ini mengandungi waktu solat seluruh Malaysia dan peringatan solat, arah kiblat, tasbih digital, nasihat serta kata-kata hikmat dari tokoh islamik dan banyak lagi. Jadual rancangan program-program menarik di Astro Oasis turut terdapat di aplikasi Salam Muslim ini yang boleh dimuat turun di Android Google Play atau di Apps Store sekarang.

Astro Oasis turut mengalu-alukan penyertaan secara online dengan menghantar tazkirah pendek yang tidak melebihi tiga minit untuk dimuat naik ke www.pencetusummah.com.my mulai 20 Ogos sehingga 5 September 2014 beserta butiran lengkap yang dikehendaki di laman web itu.

Encik Namanzee Harris, Pengurus Saluran Astro Oasis

Saat pengumuman Hafiz sebagai Juara Pencetus Ummah musim lalu

Salah seorang peserta uji bajat Pencetus Ummah pada sesi uji bakat yang lalu

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TGV Cinemas Umum Pemenang Peraduan Ultimate Movie Buff

Video CEO & Selebriti Menjayakan IceBucketChallenge