in

Senarai Tenaga Pengajar Ustazah Pilihan Musim Pertama

TENAGA PENGAJAR BAKAL SERLAH IKON MUSLIMAH BERPOTENSI

ASTRO OASIS PERKENAL 3 PENERAJU UTAMA USTAZAH PILIHAN

Setelah selesai dengan sesi temu duga untuk siri pencarian terbaru di seluruh negara baru-baru ini, Ustazah Pilihan kini dengan berbesar hati memperkenalkan Mudirah (pengetua) dan barisan tenaga pengajar (Mursyidah). Tiga peneraju utama ini bakal berperanan sebagai pembimbing dan penasihat dalam misi menyerlahkan ikon Muslimah berpotensi yang bakal memulakan siaran di Astro Oasis (saluran 106) tidak lama lagi.

Dipimpin Dr Robiah K Hamzah sebagai Mudirah (pengetua), dua orang tenaga pengajar atau digelar Mursyidah iaitu Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan melengkapkan teraju utama program pencarian Ustazah Pilihan ini. Keunggulan karisma tiga wanita yang mempunyai latar belakang yang kukuh serta berpengalaman luas dalam bidang pendakwahan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa ini bakal melaksanakan tugas untuk memantau perkembangan para peserta.

Ustazah Pilihan

Pengurus Saluran Astro Oasis, Hj. Izelan Basar berkata, “Ustazah Pilihan masih lagi berpaksikan pencarian pendakwah unggul dengan memaparkan kepentingan memikul tanggungjawab sebagai seorang wanita Islam yang bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri atau ibu, malahan memikul tanggung jawab sebagai pendidik, pembentuk dan pemimpin generasi akan datang yang mempunyai kebolehan berkomunikasi serta mempunyai daya fikir yang cukup baik dan matang.

Maka, kehadiran tiga ikon pendakwah ini sebagai tenaga pengajar Ustazah Pilihan bolehlah dianggap sebagai lubuk emas untuk program ini. Para peserta diharap mampu untuk mencedok segala ilmu yang disampaikan semaksimum mungkin sebagai bekalan mereka untuk berhadapan dengan masyarakat kelak. Mereka bertiga pastinya dengan lapang dada bersedia untuk berkongsi segala kepakaran dan pengalaman kepada para peserta yang diharapkan bakal meneruskan legasi pendakwah dan kepemimpinan wanita sedia ada.”

Setelah menerima sambutan yang amat memberangsangkan pada sesi temu duga Ustazah Pilihan di Kedah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur, Astro Oasis dan barisan tenaga pengajar kini sedang membuat tapisan terakhir bagi memilih yang berjaya sebagai peserta Ustazah Pilihan. Sesi pemilihan terakhir ini agak rumit memandangkan para peserta yang hadir pasa sesi temu duga rata-rata berkualiti dan ternyata bersedia untuk memasuki program ini.

Tambah Hj. Izelan lagi, “Segala usaha yang dilakukan ini ternyata membenarkan ungkapan yang berbunyi, “mendidik wanita bererti mendidik generasi bangsa”. Ini kerana kehadiran program Ustazah Pilihan bukanlah membuka gelanggang untuk membuktikan siapa yang lebih hebat tetapi medan mendidik dan menyerlahkan potensi yang terselindung di sebalik kelembutan kaum wanita. Sekaligus, siri pencarian ini diharapkan dapat memikul tanggungjawab untuk membentuk pemimpin wanita generasi baru.”

Astro Oasis juga turut mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan pengacara bagi rancangan ini yang juga merupakan seorang penyampai radio bagi saluran IKIM, Siti Rohani Surani.

Hj Izelan turut mengulas,“Di Astro Oasis, kami sentiasa menjadi pelopor dan membentuk bakat-bakat baru untuk diketengahkan di televisyen. Biarpun baru dalam bidang pengacaraan televisyen, kami amat percaya kepada potensi yang ada pada diri Siti Rohani. Kami juga turut menyediakan pasukan produksi terbaik yang mampu membimbing beliau untuk terus maju dalam bidang ini”.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan kepada pihak Bank Islam atas kesudian menjadi penaja utama dengan kerjasama Al-Riyadh Travel and Tours. Sesungguhnya, kerjasama dan sokongan yang ditunjukkan daripada pelbagai pihak ini amat bermakna dan menyuntik semangat kami untuk terus berusaha menerbitkan program-program kerohanian seperti ini.” tambah Hj Izelan.

Siri pencarian Ustazah Pilihan bakal bersiaran di saluran rasmi Astro OASIS (saluran 106). Butiran lanjut mengenai program akan diumum pada sidang media akan datang.

Ustazah Pilihan

Ustazah Pilihan

Dr Robiah K Hamzah sebagai Mudirah (pengetua)

Ustazah Pilihan

Ustazah Pilihan

Mudhirah bersama dua orang tenaga pengajar atau digelar Mursyidah iaitu Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah

Ustazah Pilihan

Ustazah Pilihan

Ustazah Pilihan

Hos pengacara Ustazah Pilihan iaitu penyampai radio bagi saluran IKIM, Siti Rohani Surani

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Filem Hantu Bonceng

Gambar Sekitar Prebiu Media Filem Karipap Karipap Cinta