in

Senarai Peserta Bintang Mencari Bintang TV3

6 SIFU MULAKAN MISI MELAHIRKAN BINTANG!
2 Solo & 10 Kumpulan Berentap Merebut RM200,000

Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Kumpulan Senario (Wahid, Mazlan, Azlee), Raja Azura, Sabri Yunus dan Faizal Ismail (FBI) merupakan nama-nama besar dalam industri hiburan tempatan. Kewibawaan mereka dalam bersketsa komedi dan menyanyi ternyata tidak boleh dinafikan dan mereka ini layak bergelar Sifu.

Berbekalkan pengalaman, ilmu serta bakat yang dimiliki, bermulalah peranan kesemua Sifu ini untuk memberikan tunjuk ajar serta menggilap bakat anak didik pilihan masing-masing berkaitan dengan bidang sketsa komedi dan nyanyian bagi memperlengkapkan diri sebagai penghibur versatil. Selain itu, Sifu juga bertindak sebagai idola yang memberi inspirasi kepada anak didik mereka. Sifu dan anak didik manakah yang bakal meraih gelaran juara Bintang Mencari Bintang?

Barisan Sifu bersama Penerbit Eksekutif & Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Cik Sherina Nordin

Pencarian anak didik berbakat untuk program yang mengetengahkan bakat sketsa komedi dan nyanyian ini telah pun memulakan siri jelajahnya pada 19 & 20 Januari 2013 lalu bertempat di AEON Seberang Prai City, Pulau Pinang dan kemudian siri jelajah BMB juga telah terbang ke Negeri Di Bawah Bayu, Sabah pada 26 & 27 Januari 2013 di Centrepoint Sabah Palm Square, Kota Kinabalu serta negeri Kuching, Sarawak pada 2 & 3 Februari 2013. Pencarian uji bakat BMB diteruskan lagi di Kota Bharu Trade Centre, Kelantan pada 8 & 9 Februari 2013 dan di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 16 & 17 Februari 2013.

Penerimaan masyarakat umum terhadap program realiti BMB, ternyata mendapat sambutan yang positif dan memberangsangkan daripada orang ramai apabila hampir satu ribu orang telah menghadiri sesi uji bakat BMB yang berakhir pada 23 & 24 Februari 2013 di AEON AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur yang lalu. Menariknya, sesi uji bakat di setiap lokasi telah ditapis terlebih dahulu oleh panel profesional iaitu Fauziah Dato’ Ahmad Daud (Ogy) dan Ajai selaku juri yang menggalas tanggungjawab untuk memilih yang berkelayakan menjadi anak didik BMB.

Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa,

“Kesemua anak didik ini adalah yang terbaik daripada lebih 1,000 calon yang telah hadir ke sesi uji bakat. Kami sendiri kagum dengan sambutan yang cukup menggalakkan terhadap program ini. Kesemua 22 orang anak didik bagi musim ini mempunyai keunikan dan kriteria tersendiri. Barisan Sifu telah melakukan pemilihan dengan amat teliti. Anak didik juga telah memulakan sesi latihan dan persiapan bersama barisan Sifu bagi mempamerkan persembahan terbaik di konsert pertama yang akan bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 24 Mac 2013 jam 9.00 malam. Sementara itu, anak didik yang terdiri dari 2 solo dan 10 kumpulan BMB kali ini akan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Setiap Sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. Anak didik akan bersaing mengikut kumpulan dan anak didik yang mendapat markah terendah akan disingkirkan. Sebelum tiba minggu terakhir, hanya seorang atau satu kumpulan dari kumpulan A dan kumpulan B, layak berentap di peringkat akhir BMB untuk merangkul gelaran juara.”

Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Cik Sherina Nordin berkata,

“Program BMB dilihat sebagai landasan bagi mereka yang bercita-cita untuk menjadi seorang penghibur versatil. Menerusi BMB anak didik berpeluang untuk menjalani sesi latihan serta mereka turut didedahkan dengan realiti industri hiburan tanah air. Saya berharap jenama program realiti BMB ini mampu bertapak di dalam industri hiburan tempatan dan menarik kelompok penontonnya yang tersendiri.”

Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, & Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa melancarkan program BMB

Sepanjang 15 episod, BMB menampilkan Adibah Noor sebagai pengacara program. Selain itu, BMB turut menampilkan nama besar di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang hiburan iaitu Fauziah Ahmad Daud dan A.R. Badul sebagai juri tetap untuk program ini.

Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB menerusi KOMIK BMB yang akan disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.00 petang. Program yang dihoskan oleh pelakon Taiyuddin Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Tai ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB. Selain itu, penonton juga boleh mengikuti perkembangan para anak didik BMB menerusi program 2 minit, BLOG BMB setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 10.00 pagi dan 1.00 pagi.

Untuk musim pertama ini, format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Juara BMB akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.

Menerusi paparan sepanjang sesi uji bakat yang disiarkan dalam satu episod pertama BMB pada 3 Mac 2013, pelbagai karenah, ragam dan aksi para para anak didik dapat disaksikan hanya kerana ingin bergelar anak didik BMB. Ikuti program BMB yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam.

Di samping itu,’Bintang Mencari Pasal’ yang merupakan program spin off daripada BMB bakal disiarkan menerusi TV9 bermula 13 April 2013 setiap hari Sabtu jam 9.30 malam. Menerusi program 30 minit yang dihoskan oleh pelakon Joey Daud, para penonton dapat menyaksikan gelagat anak didik BMB bersama Sifu tampil membuat persembahan seperti nyanyian, berlakon serta membuat sketsa komedi di hadapan khalayak ramai di sekitar lokasi menarik seperti di Pasar Seni, Bukit Bintang, Padang Kota Pulau Pinang dan banyak lagi.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang BMB, penonton boleh melayari laman sesawang rasmi BMB di www.tv3.com.my/bintang serta laman sosial Facebook & Twitter TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#bintangTV3) untuk menghangatkan lagi bahang BMB!

Senarai Nama Anak Didik Bintang Mencari Bintang TV3

Sifu : Sabri Yunus
Kumpulan Titan : Azizul Ammar Bin Abu Hassan
Fazlisham Bin Mat Hussin
Bog Too : Nor Alif Bin Mohd Mokhtar
Mohamad Shafiq Bin Raside

Sifu: Raja Azura
Kelawak : Syed Atiq Bin Wan Long
Muhd Maaruf Bin Zamani Lim
Awok : Filzah Binti Azmi
Nurul Ain Binti Othman

Sifu: Afdlin Shauki
Bowl : Muhammad Danial Lee Bin Muhammad Hadi Lee
Syed Ali Mubarrak Bin Syed Mohd Ridzuan
Bocik : Muhamad Fadzlie Bin Mohd Nizam
Syed Umar Mokhtar Bin Syed Mohd Ridzuan

Sifu: Faizal Ismail
Ajo : Wan Azrul Bin Azizan
Tapaw : Mohd Shahrizal Bin Sulaiman
Khairul Faiz Bin Sulaiman

Sifu: Harun Salim Bachik
Achey : Mohd Nasir Bin Hamzah
Xoxo : Mohd Hazwan Bin Mohd Azani
Hazmeer Bin Hassan

Sifu: Senario
Gegau : Mohd Saffuan Samsuddin
Faizal Ibrahim
Tocai : Mohamad Tarmizi bin Mustafa
Mohd Faizal Bin Mat Saad

Sifu Faizal Ismail

Sifu Faizal Ismail

Sifu Afdlin Shauki

Sifu Afdlin Shauki

Sifu Afdlin Shauki bersama anak didik, kumpulan Bowl & kumpulan Bocik

Sifu Faizal Ismail bersama anak didik, kumpulan Tapaw dan peserta solo AJO

Sifu Yunus bersama anak didik, kumpulan Titan & kumpulan Big Too

Sifu Harun Salim Bachik bersama anak didik, kumpulan Xoxo & peserta solo Achey

Sifu Senario(Azlee, Wahid, Lan) bersama anak didik, kumpulan Gegau & kumpulan Tocai

Sifu Raja Azura bersama anak didik, kumpulan Kelawak & kumpulan Awok

Hos program BMB Adibah Noor & Hos Komik BMB Taiyuddin Bakar

Barisan Sifu bersama Juri Tetap (Fauziah Ahmad Daud dan A.R. Badul ), Hos Program BMB (Adibah Noor) & Hos KOMIK BMB (Taiyuddin Bakar)

Para Anak Didik Program Bintang Mencari Bintang

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Nadiya Nisaa di Prebiu Drama Cinta Jangan Pergi

Lirik Lagu Maaf Ku Mencintai Mu Dato’ Fazley Yaakob