in

Selebriti Popular Meriahkan Program Amal Kasih Ramadan

100 ANAK YATIM TERUJA DAPAT ‘SHOPPING RAYA’ BERSAMA RIDERS & REMPIT UNITED SERTA ARTIS TEMPATAN

Keprihatinan serta rasa ingin berkongsi kegembiraan bersama yang memerlukan membuatkan Riders & Rempit United (RU) mengadakan Program Amal Kasih Ramadan ini bersama 100 anak yatim daripada Pertubuhan Belia Islam Kepong di Mydin Subang Jaya pada 8 Ogos 2012.

Dengan kesedaran bahawa rezeki Tuhan lebih bermakna dan bererti apabila dikongsi bersama dengan yang memerlukan, telah membuatkan pihak Mydin tampil menyumbangkan RM10,000 untuk dibelanjakan ke atas anak-anak yatim ini bagi melengkapkan diri untuk Syawal yang bakal tiba termasuklah baju kurung, baju melayu, serta aksesori kelengkapan raya.

Keterujaan anak-anak yatim bertambah apabila RU menjemput seramai 10 orang artis tempatan untuk sama-sama meluangkan masa membawa anak-anak yatim ini membeli baju raya serta kelengkapan menyambut aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Sari Yanti adalah antara artis yang juga merupakan duta RU bersama artis-artis lain dari MASC iaitu Syed Aiman, Linda Rafar, Diana Rafar, Zamarul Hisham, Danny X Factor, Datin Elyka, Maya Matahari, Azza Elite, Ayu OITM dan Faralina memilih untuk meluangkan masa serta berkongsi kegembiraan dengan anak- anak yatim sempena kedatangan bulan yang mulia ini.

Program ini juga turut disertai oleh 1hotlovers yang merupakan kelab peminat duta RU, Adi Putra dan sukarelawan yang selesa membantu tatkala menjelangnya Ramadan meskipun Adi Putra tidak dapat turut serta kerana kini berada di Tanah Suci menunaikan umrah.

Wazi yang merupakan presiden RU terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi yang memberi peluang kepada RU dan semua yang terlibat untuk melaksanakan perkara tersebut tanpa halangan dan menerima sokongan daripada pelbagai pihak.

“Ia adalah satu inisiatif ibadah di kalangan kami pada bulan Ramadan, yang sememangnya sangat digalakkan dalam agama dan juga sebagai menghormati bulan yang mulia ini,” kata Wazi yang turut memeriahkan suasana Ramadan tempoh hari bersama gandingan duta RU, Sari Yanti dan Adi Putra dengan majlis pengagihan bubur lambuk percuma untuk juadah berbuka puasa di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Seperti umat-umat Islam khususnya orang Melayu, kami juga cukup teruja dengan kedatangan bulan Ramadan … sememangnya, di kalangan kami, ramai yang mengerjakan pelbagai ibadat secara individu dan kumpulan-kumpulan peribadi.

“Dengan adanya program seperti ini, RU mengharapkan agar bulan Ramadan akan menjadi bulan yang dirindui dan Ramadan tahun ini dipenuhi kerahmatan serta bekal ketakwaan di kemudian hari” tambah Wazi selain daripada melahirkan rasa syukur serta terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat.

Dilancarkan di Hard Rock Café Kuala Lumpur pada 28 Mei lepas, karnival sulung program Evolusi R telah dilangsungkan dengan jayanya di Dataran Syahbandar Kuala Terengganu. Riders & Rempit United kini sedang mengatur rancangan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti yang besesuaian di bandaraya-bandaraya lain di seluruh negara.

Secara dasarnya Riders & Rempit United (RU) adalah sebuah gabungan persatuan, geng-geng dan kumpulan bermotosikal di Malaysia yang berhasrat menyatukan semua kumpulan-kumpulan bermotor.

Melalui pengisian pelbagai aktiviti inovatif yang dirancang dan bakal dilaksanakan bertujuan untuk menyediakan secukupnya ruang dan peluang buat anak muda bermotor yang jelas mempunyai potensi untuk menyumbang ke arah pembangunan masa depan negara sekiranya diberi ruang penglibatan.

Ini termasuk menyediakan peluang kerjaya, menuntut pembinaan trek dan fasiliti untuk mereka berekreasi, menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dapat mendekatkan mereka dengan masyarakat, menyediakan peluang dan mewujudkan rangkaian perniagaan untuk mereka melibatkan diri.

syed aiman

Syed Aiman

Maya Matahari

Maya Matahari

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Muzik Lagu Raya Pesawat Menjelang Syawal

Filem-Filem Hebat Semarak Sambutan Aidilfitri 2012