in ,

Sekitar Pelancaran Album Single IZ OIAM 2

Keazaman IZ di dalam One In A Million 2 berterusan dengan pelancaran album EP
sulungnya “GONNA BE ALRIGHT/……”

Pada jam 3 petang semalam, telah berlangsung pelancaran album single pertama IZ OIAM di Bangkok Jazz, Chulan Square, Bukit Bintang.

Walaupun hanya berjaya ke peringkat Top 9 di dalam rancangan realiti terbitan 8TV, One In A Million Musim Kedua (OIAM2) yang baru sahaja tamat 5 bulan lalu, namun Ezuan Sulaini atau IZ tidak menjadikannya satu pematah semangat. Sebaliknya beliau tanpa berlengah masa, terus memperjuangkan minat dan bakatnya di dalam bidang muzik dengan merakamkan single pertama hasil karyanya sendiri yang terdapat di dalam album EP sulungnya.

IZ, 25, telah mempersembahkan pihak media dengan single pertama yang sekaligus merupakan tajuk album EP sulungnya “Gonna Be Alright”, di majlis pelancaran album EP dan majlis apresiasinya yang ditaja oleh Bangkok Jazz. EP ini terdahulu telah dilancarkan secara “online”, tepat jam 8 malam pada 08.08.2008 sebelum ianya dipasarkan secara rasmi bulan ini dibawah edaran Sony BMG Malaysia. IZ juga berkesempatan menyampaikan single kedua beliau yang terbaru menampilkan pelakon terkenal, Nora Danish yang bertajuk “Bersama, Together Featuring Nora Danish”.

“Gonna Be Alright” merupakan balada yang diolah dan diinspirasikan dari pengalaman hidup IZ, penuh dengan mesej positif kepada peminatnya bahawa kegagalan di dalam sesuatu perkara bukanlah bermakna ianya suatu pengakhiran. Single ini telah membuktikan keseriusan dan komitmen tinggi IZ di mana hasilnya boleh dilihat dalam masa hanya lebih kurang 3 minggu untuk disempurnakan, karya terbitan dan tulisan IZ sendiri. Keseluruhan proses rakaman muzik untuk album EP ini dirakamkan di Sydney, Australia manakala vokal IZ pula dirakamkan di Kuala Lumpur. Nick Lee (Pemenang Anugerah Rakaman Album Terbaik AIM15) dari The Ark Studios, Kieran Kuek dari TwoAM Studio KL, dan juga Adam Luck dari ADM Studios Australia telah mengambil langkah yang amat teliti di dalam proses-proses rakaman, dan kerja-kerja “mixing” serta “mastering” untuk album EP ini.

Lagu single “Gonna be Alright” ini sedang hangat dimainkan di stesen-stesen Inggeris tempatan Malaysia (XFresh, Hitz, FlyFM, Traxx, Capital, Red104.9) dan juga di Australia (JOY, Nova FM, Triple J) sejak bulan Mac 2008. Malah lagu ini telah menduduki tempat kedua di carta Campur Chart FlyFM, iaitu sebuah rancangan radio popular yang khusus menampilkan penyanyi berbakat tempatan.

“Saya mendapat inspirasi untuk menulis lagu “Gonna Be Alright” ini sejurus selepas saya tersingkir dari OIAM2. Lagu ini adalah gambaran karektor saya sebagai seorang yang tidak mudah mengaku kalah. Saya harap lagu ini dapat memberi impak positif kepada orang di luar sana supaya tidak memandang kekalahan dan kekecewaan sebagai satu musibah, sebaliknya haruslah diterima dengan sabar, tenang dengan penuh keazaman. Saya ingin mendedikasikan lagu ini kepada peminat dan juga para penyokong saya serta mahu mereka tahu… that I’m Gonna Be Alright!” terang IZ dengan yakin.”

Keyakinan IZ terhadap isi kandungan lirik single pertamanya “Gonna Be Alright”, membuatkan beliau ingin meluaskan lagi penyampaian mesej positif lagunya dengan merakamkan lagu itu di dalam bahasa yang lain dan genre yang berbeza.

Dikenali sebagai seorang yang cekal hati dan berani mengambil risiko, IZ juga merakamkan lagu single “Gonna Be Alright” di dalam bahasa Mandarin yang bertajuk, …… (sebutan; Hui Hao De) bagi menyampaikan mesej yang terkandung khas buat peminat-peminat yang berbangsa Cina. Oleh kerana IZ tidak pernah mempelajari bahasa Mandarin secara formal, beliau telah berlatih dan mendalami bahasa itu agar sebutannya menjadi lebih lancar dengan mendapatkan bimbingan seorang guru bahasa Mandarin.

Misi menyampaikan mesej motivasi ini diteruskan kesinambungannya ke dalam trek nombor tiga melalui sebuah lagi lagu ber’genre’kan “house music”. Disatukan dengan elemen rentak hip-hop di mana ia menampilkan C. Loco dari Poetic Ammo dan bertajuk “Gonna Be Alright Club Mix Feat. C. Loco”. Peminat-peminat bakal dikejutkan dengan percubaan berani IZ yang buat pertama kalinya turut menyanyi rap di dalam lagu ini.

“Dengan lahirnya album EP ini, saya berharap dapat menghilangkan rasa dahaga peminat-peminat dan penyokong saya yang sentiasa menantikan sesuatu yang baru dari saya.

Saya memang gemar bereksperimentasi secara kreatif dengan elemen-elemen muzik disamping menarik perhatian peminat saya dari OIAM2 dan juga penggemar serta pencinta muzik lain diluar sana. Saya ingin membuktikan bahawa perjalanan saya baru sahaja bermula dan pada masa yang sama dipandang serius di dalam dunia muzik tempatan”. Terang IZ yang gemar berinteraksi dan sentiasa bersifat terbuka berkongsi pendapat bersama peminat di laman blog peribadinya.

Album EP ini juga mengandungi single terbaru di dalam bahasa Melayu yang berentak mid-tempo R&B menampilkan pelakon terkenal Nora Danish, bertajuk “Bersama, Together Featuring Nora Danish”. Single kedua ini telah dinyanyikan secara langsung buat pertama kalinya di dalam rancangan Malaysia Hari Ini pada 12 June 2008 yang telah menyaksikan penerimaan yang memberangsangkan dari penonton-penonton rancangan itu. Ini boleh dilihat apabila lagu ini semakin kerap dimainkan di radio-radio berbahasa
Melayu bukan sahaja di Malaysia malah di Singapura (Ria897FM). Strategi IZ untuk menarik minat pasaran lagu Melayu semakin berhasil dan terbukti berkesan apabila lagunya ini sudah pun berada di dalam senarai Top 10 Carta20 MuzikFM dalam masa kurang dari sebulan. Juri OIAM2, Syafinaz Selamat, menyokong hasrat IZ untuk meneruskan perjuangan dan minat mendalamnya untuk menjadi seorang penghibur.

“Saya pasti IZ akan membawa satu perubahan baru yang lebih segar di dalam industri muzik tempatan dengan imej serta vokalnya yang unik. Sebagai juri OIAM2, kami ingin memberikan pendedahan kepada finalis-finalis tentang cabaran yang bakal dihadapi mereka jika mereka berhasrat untuk pergi jauh di dalam bidang ini kelak. Semasa penglibatan IZ di dalam OIAM2, beliau membuktikan bahawa beliau tidak gentar apabila berada di bawah tekanan dan ketika dilanda kontroversi, malah ini menaikkan lagi semangatnya untuk berjaya. Pelancaran album EP ini membuktikan kebangkitan IZ untuk kembali secara serius dan lebih lantang setelah disingkirkan daripada Top 9 OIAM2. Ini adalah satu perkembangan yang positif”, kata Syafinaz.

Keazaman IZ tidak berhenti di sini sahaja, beliau sudah pun memulakan proses-proses penulisan, dan kerja-kerja rakaman untuk album penuh beliau yang akan menampilkan kolaborasi bersama para pemuzik tempatan dan antarabangsa. Ianya bakal dipasarkan pada tahun 2009.

Promosi bergerak bagi album EP sulung IZ “Gonna Be Alright/……” ini dirancang akan dijalankan di seluruh Malaysia pada bulan ini.

Kepada peminat IZ diluar sana, jangan lupa untuk mendapatkan album EP sulung dari IZ yang bertajuk “Gonna Be Alright/……” yang boleh didapati di semua kedai-kedai muzik di seluruh Malaysia dibawah edaran Sony BMG Malaysia. EP ini juga boleh dimuat turun secara digital dari laman web guamuzik.com.my atau melalui laman WAP SonyBMG yang boleh diakses melalui telefon bimbit dengan menaip MUSIC dan hantar ke 33138.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

APEK SERIKAN RAKAMAN RANCANGAN KHAS KOMEDI MUZIKAL

Gambar Julia Ziegler di Sidang Media Drama Ampang Medikal