in ,

Sekitar Karnival Sua Rasa TV9 di Pulau Warisan, Kuala Terengganu

KARNIVAL SUA RASA TV9 MERIAHKAN PULAU WARISAN, KUALA TERENGGANU!

Karnival Sua Rasa TV9 kini kembali lagi menggemparkan hujung minggu di Pulau Warisan (bersebelahan Pasar Payang), Kuala Terengganu. Karnival hebat penuh keseronokan ini dibawakan khas oleh Celcom dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun untuk setiap khemah untuk memastikan semua yang hadir menjadikannya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Ahmad Said, juga dijangka turun padang untuk memeriahkan lagi karnival ini. Turut serta menyemarakkan suasana pada hujung minggu tersebut adalah selebriti terkenal tanah air dan personaliti TV9 seperti Aziz Desa, Farah Adeeba, Alif Satar, Tam Suhaimi, Lydia Ibtisam, Shafek dan ramai lagi. Pasti ramai yang tidak mahu ketinggalan bertemu dan beramah mesra dengan artis-artis kegemaran mereka.

Sua Rasa Terengganu

Puluhan gerai dan khemah didirikan di Pulau Warisan dan di antaranya adalah TV9, Halaqah, Adik di 9, Warna-Warni Sua Rasa serta gerai Celcom, Ibnu Khaldun, Khee San, Nestle, Silky Girl, Oriental, Air Asia, Tan Choong Motors, Kopi Kapal Api, D’Hatiku, Azmi Burger, Waimee Health, Wyeth, Pet Pet, First Grade Resources, IKIP College dan Keetha.

Bagi khemah TV9, aktiviti sukan seperti Senamria dan Poco-Poco bersama artis TV9 akan dijalankan pada sebelah pagi dan petang diikuti dengan Teka-Teki dan Akustik bersama Alif Satar. Jangan ketinggalan untuk melihat Alif memetik gitar akustik sambil menyanyi lagu-lagu popularnya.

Selepas itu, para pengunjung boleh menyertai aktiviti Fear Factor yang akan dikendalikan oleh pengacara-pengacara Chopp, Tam Suhaimi, Lydia Ibtisam dan Shafek. Para pengunjung juga berpeluang untuk menunjukkan bakat terpendam mereka dalam pertandingan karaoke yang akan diadakan pada sebelah petang.

Keseronokan karnival tidak terhenti di situ sahaja kerana pelakon-pelakon Pasukan Gerakan Marin iaitu Izreen Azminda, Ramasundran, Fikhree Bakar dan Mardiana Alwi akan bersama-sama untuk melakukan pelbagai aktiviti dan peraduan berlakon bersama-sama dengan wargakerja TV9 dan para pengunjung. Adik-adik juga boleh bersua dengan Azzam dan Arill dari Idola Kecil 2 dan saksikan kehebatan mereka dalam bidang nyanyian.

Selain khemah TV9, khemah Halaqah juga sudah dibariskan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan dari kumpulan nasyid UNIC, pertandingan mewarna bersama Ana Muslim dan sesi perbincangan tentang topik “Solat” dan “Faraid” bersama Ustaz Shukri Ali.

Sua Rasa Terengganu

Pengunjung juga dapat bertemu dengan Ustazah Asni dan melihat bakatnya dalam nyanyian dan bermain alat-alat muzik. Di sini juga, artifak Al-Quran dari malapetaka tsunami yang berlaku di Acheh juga akan dipamerkan untuk dilihat dan dijadikannya sebagai satu iktibar mahupun pengajaran.

Pada sebelah malam, para hadirin dapat menyaksikan rakaman Halaqah pada 8 Oktober jam 8.00 malam bersama ahli panel yang berpengalaman iaitu Ustaz Hanafi Abdul Malik, Pengerusi SIDIM, Ustaz Roslan Mohamed, Pensyarah Kanan daripada UM dan dihoskan oleh Ustaz Shukri Yusof.

Kupasan topik menarik iaitu “Dilema Dua Alam” pasti akan menyemarakkan lagi sikap ingin tahu para pengunjung di mana ia membincangkan tentang kisah dilema manusia yang hidup di dua alam. Mereka terperangkap di antara dua jantina dan harus berhadapan dengan pelbagai tohmahan oleh masyarakat. Adakah mereka berperang untuk keinginan berubah serta kembali ke pangkal jalan atau tewas oleh keinginan kecenderungan jantina? Bagaimana Islam mempunyai jawapan dalam merungkai rahsia kejadian dilema dua alam ini? Sama-sama kita saksikan kupasan perbincangan penuh sensasi lagi informatif ini.

Keesokan harinya, konsert Rentak Sua Rasa yang dihoskan oleh penyanyi ceria, Alif Satar, akan diadakan pada jam 9 malam dengan persembahan memukau dari Jay Jay, Saleem (Iklim), Yassin, Fiq (Mentor), Mohammad (Mentor), Azzam Idola Kecil 2 dan Arill Idola Kecil 2. Kesemua acara dan aktiviti yang dijalankan di Karnival Sua Rasa dapat disaksikan oleh penonton di rumah menerusi rancangan Warna-Warni Sua Rasa yang akan ditayangkan di TV9 pada pukul 8 pagi (8 & 9 Oktober) serta berita terkini karnival ini boleh disaksikan menerusi Terkini di Sua Rasa sepanjang dua hari tersebut.

Kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk bersama-sama kami pada karnival yang lalu, datanglah beramai-ramai dengan membawa keluarga untuk bersantai dan berhibur di Pulau Warisan (bersebelahan Pasar Payang), Kuala Terengganu dari 8 hingga 9 Oktober 2010.

Sua Rasa Terengganu

Sua Rasa Terengganu

Sua Rasa Terengganu

Sua Rasa Terengganu

Sua Rasa Terengganu

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MPH SPOTLIGHTS P. RAMLEE WITH SPOT POSE CONTES

Kisah Dunia Perubatan dalam Miami Medical