in

Segmen Mesej Dari Penjara Rai Hari Ibu

Kasih Sayang Ibu Di Sebalik Jeriji Besi. “Ibu, engkaulah ratu hatiku. Bila ku berduka, engkau hiburkan selalu”. Demikian bait-bait lagu ciptaan seniman agung, Tan Sri P.Ramlee bagi melahirkan rasa kecintaannya yang amat sangat terhadap insan yang bergelar ibu. Tiada yang lebih berharga dan tinggi nilainya melainkan curahan kasih sayang seorang insan yang bergelar ibu. Malah, kasih sayang mereka tidak pernah bersempadan walau siapa kita sekalipun. Insan suci ini tidak pernah membezakan anak-anaknya walaupun ada dalam kalangan cahaya matanya tersalah langkah mahupun tidak pernah menggembirakan hati mereka. Kasihnya yang setinggi gunung tidak pernah terhakis walaupun seinci biarpun seribu kesilapan yang dilakukan anak-anak terhadap mereka.

Pengacara Azizah Ariffin bersama Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

Murninya hati ibu yang masih menerima seorang anak yang bergelar banduan dan sentiasa setia memberi sokongan untuk anak itu meneruskan kehidupan walaupun di penjara. Atas dasar itu, program Wanita Hari Ini (WHI) mengambil inisiatif mengadakan episod istimewa menerusi segmen ‘Mesej Dari Penjara’ sempena Hari Ibu bagi menghargai insan yang bergelar ibu. Episod istimewa ini yang bersiaran dari Penjara Wanita Kajang dapat mengeratkan lagi pautan kasih sayang antara ibu dan banduan di situ. Bagi menjayakan episod istimewa tersebut, seramai 13 banduan dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan bagi menemukan banduan dengan si ibu secara bersemuka.

[pullquote] Program Wanita Hari Ini (WHI) merupakan program bual bicara yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang mengkhususkan topik-topik kaum hawa yang merangkumi isu kewanitaan, kekeluargaan, kesihatan, keinsafan dan fesyen.

Dikendalikan oleh barisan pengacara seperti Hasfizza Sabjahan, Azizah Ariffin, Nor Azzura Azizul Azman, Hazrena Kassim, Teh Syuhaida Sarip, Irin Putri Azmi dan Nabihah Rosdi, WHI terus menjadi pilihan dan rujukan utama golongan wanita di negara ini selepas 13 tahun program ini disiarkan.[/pullquote]

Sejak bulan Oktober 2013, WHI telah bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia untuk segmen ‘Mesej Dari Penjara’ dengan membawa banduan wanita ke studio dan berkongsi kisah mereka secara langsung dengan penonton bagaimana mereka terbabit dengan jenayah dan luahan kekesalan atas perbuatan mereka. Bersiaran dua kali dalam sebulan bermula bulan April 2014, segmen ‘Mesej Dari Penjara’ ini telah menerima sambutan yang positif dalam kalangan penonton WHI.

Menurut Penerbit Eksekutif, Puan Siti Hatija Yusof, “Sesungguhnya episod istimewa seumpama ini merupakan satu usaha yang baik untuk mengeratkan perhubungan kekeluargaan di kalangan banduan agar golongan terbabit tidak berasa dipinggirkan. Jika orang lain berpeluang meraikan hari istimewa ini dengan memberikan pelbagai hadiah atau kad ucapan, dengan adanya episod istimewa menerusi segmen ‘Mesej Dari Penjara’ sempena Hari Ibu ini, banduan wanita dari Penjara Wanita Kajang juga turut berkesempatan menyempurnakan impian mereka dengan memeluk dan mencium ibu mereka bagi melepaskan rindu setelah dipisahkan oleh pagar besi. Kami berharap program ini dapat mencetuskan elemen-elemen cinta untuk disemarakkan oleh golongan banduan bersama ibu mereka serta memberi kesedaran dan keinsafan kepada penonton tentang kepentingan dan keutuhan ibu pertiwi.”

Selain bertemu orang tersayang, penghuni-penghuni di Penjara Wanita Kajang turut membuat persembahan untuk ahli keluarga dan tetamu yang hadir serta pakar motivasi iaitu Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusoh juga akan meluangkan masa bagi memberi ceramah.

Sidang produksi yang bertanggungjawab mengendalikan penerbitan WHI dibarisi oleh Puan Siti Hatija Yusof (Pengurus Program Wanita & Projek Khas, Primeworks Studio), Puan Kalijahwati Kassim sebagai Penerbit Eksekutif dan Hasfizza Sabjahan selaku penerbit dan pengacara siaran ditemani Azizah Ariffin dan Hazrena Mohamed Kassim yang juga pengacara siaran pada hari ini.

Untuk rujukan terbaik bagi kaum wanita, ibu, suri rumah dan perancang keluarga, jangan lupa saksikan Wanita Hari Ini (WHI) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang di TV3! Bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Muzik Video TEPI SIKIT Nyanyian Sleeq

Konsert CNBLUE LIVE Can’t Stop in Kuala Lumpur 2014