in

Seekers Musim Ke 8

RANCANGAN SEEKERS MUSIM KE-8 MENGHANTUI ANDA DI ntv7

Pencarian Paranormal dan Kisah Misteri Bermula.

Kita sering dimomok-momokkan dengan kisah misteri dan hantu tidak kiralah kisah penglipur lara dari satu generasi ke generasi yang lain mahupun andaian yang penuh tanda tanya. Tidak hairanlah pengeluar drama mahupun filem sering memilih genre seram buat tontonan masyarakat kini. Lain pula dengan rancangan Seekers yang kini telah masuk musim ke-8 dan akan mula bersiaran pada 5 Januari 2012. Siri rancangan bercorak realiti ini akan menyiasat, mencari serta merungkai kewujudan entiti paranormal yang berlaku di serata pelusuk negeri di Malaysia setiap hari Khamis jam 9.00 malam di Saluran Ceria Anda, ntv7 sepanjang 19 buah episod.

Seekers

Seekers yang telah masuk musim ke-8 pastinya menawarkan sesuatu yang menarik kepada penonton agar kandungannya sentiasa menarik dan segar. Meneruskan legasi kali ini ialah tiga orang hos baru yang akan memainkan peranan mereka sebagai penyiasat paranormal iaitu Bil Azali, Syai dan seorang gadis bertubuh cilik namun tetap berani, Ixora Chern. Lengkap dengan teknologi terkini seperti kamera infra merah, alat pandangan malam, pengesan bunyi dan haba sensitif, medan pengesan elektronik mahu pun lampu suluh, mereka bertiga mula meredah tirai malam dalam usaha mereka menjejak aktiviti paranormal yang berlaku di setiap lokasi yang mereka singgahi.

Mengekalkan produser yang sama, Aeizul Reeza Ismail berkata Seekers musim kali ini penuh dengan kejutan, lebih seram, suspen dan pasti membuatkan bulu roma penonton meremang dengan pelbagai perkara aneh yang terpaksa mereka lalui demi mencari jawapan kepada misteri paranormal. Seekers yang bercorak realiti ini bakal memberikan gambaran yang lebih jelas tentang dunia entiti paranormal.

Kali ini, kru dan ahli penyiasat Seekers akan ke Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan bagi membongkar beberapa lagi aktiviti paranormal sepanjang 19 episod ia disiarkan. Bukan itu sahaja nantikan pelbagai kejutan apabila selebriti tempatan seperti Black Mentor, Danny X-Factor, Kanchana Devi, Belle Ngasri, Hamdan dan ramai lagi bakal turut bersama penyiasat Seekers untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dan mencabar perasaan takut di dalam diri mereka masing-masing.

“Saya pasti penonton berminat melihat sesuatu yang jarang boleh ditemui terutama apabila berjaya dirakam secara visual ataupun bunyi. Inilah kelainan yang kami cuba sampaikan melalui rancangan ini iaitu sejauh mana perkara paranormal boleh diterima akal atau mungkin kami boleh membuktikan sesuatu di sebalik semua peristiwa aneh yang terjadi,” tambahnya lagi.

Sebelum menyelongkar misteri di lokasi yang mereka singgahi, Bil Azali, Syai dan Ixora Chern akan melakukan kajian dengan menemubual saksi di tempat kejadian yang dikatakan aneh. Mereka juga akan mengumpul data-data yang boleh dikaitkan dengan peristiwa ganjil itu sebelum membuat persediaan dan berjaga malam untuk cuba berhubung dengan sebarang kebarangkalian aktiviti paranormal.

Rancangan selama setengah jam itu juga bakal lebih interaktif dengan memberi peluang kepada para penonton untuk berkomunikasi di dalam ruang forum dengan cara berkongsi pengalaman mereka, lokasi mistik yang mereka ketahui serta untuk memberi cadangan yang membina. Benarkah wujud aktiviti paranormal di alam fana ini? Bolehkah ianya diterima oleh logik akal? Nantikan rancangan Seekers musim ke-8 yang akan menemui para penonton bermula 5 Januari 2012, pada setiap hari Khamis, jam 9.00 malam hanya di Saluran Ceria Anda, ntv7.

Untuk maklumat lanjut, layari www.ntv7.com.my atau ikuti perkembangan terbaru kami di Facebook dan Twitter ntv7.

Seekers

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lefthanded Rakam Album Baru

Siti Nurhaliza Premieres on HISTORY™ & HISTORY HD