in

Saturday Matinee Janjikan Filem-Filem Inggeris Menarik

Slot Baharu Di TV2 : Saturday Matinee Janjikan Filem-Filem Inggeris Menarik

April ini menyaksikan RTM menerusi saluran TV2 muncul dengan slot terbaharu, Saturday Matinee yang menghidangkan filem-filem Inggeris terbaik untuk tontonan seisi keluarga di hujung minggu.

Disiarkan setiap Sabtu, jam 2.00 petang, penonton pastinya teruja menyaksikan filem-filem Inggeris dibintangi aktor dan aktres terkenal antaranya Nicolas Cage, Reese Witherspoon dan Pierce Brosnan bermula dengan tayangan National Treasure: Book of Secrets (7 April 2012), The Lion Of Punjab (14 April 2012), Sweet Home Alabama (21 April 2012) dan Abba : The Mamma Mia Story (28 April 2012).

Saksikan filem National Treasure: Book of Secrets popular tahun 2007 arahan Jon Turteltaub. Dibintangi oleh pelakon handalan seperti Nicolas Cage, Justin Bartha, Diane Kruger, Jon Voight, Helen Mirren, dan Ed Harris, filem ini membawa penonton menghayati kisah apabila watak utamanya, Ben telah kehilangan beberapa helai daripada diari milik John Wilkes.

Filem Sweet Home Alabama

Tiba-tiba moyangnya dikaitkan dalam konspirasi utama pembunuhan Abraham Lincolns. Ketika itu Ben nekad untuk membuktikan moyangnya tidak bersalah dan dia mengikut petunjuk rantaian antarabangsa yang kemudiannya membawa dia ke Paris, London dan kemudiannya pulang ke Amerika. Perjalanan Ben dan teman-temannya bukan sahaja membawa kepada episod pendedahan yang mengejutkan sebaliknya mereka menjejak dunia rahsia yang paling berharga.

Filem menarik The Lion Of Punjab pula memaparkan budaya sekumpulan orang Punjabi di Amerika Syarikat yang berusaha keras untuk mengekalkan semangat Bollywood ‘hidup’ di kalangan mereka.

Filem ini berkongsi kisah watak penduduk-penduduk dua kawasan besar di sana. Ada watak naif yang bercita-cita tinggi, watak model dan penyanyi selain watak seorang lelaki yang fanatik terhadap Bollywood. Di tengah-tengah kota Amerika Syarikat itu bagaimanakah mereka berjuang untuk meneruskan hidup? Ia menyaksikan lakonan hebat Diljit Dosanjh, Vindu Dara Singh dan Pooja Tandon arahan Guddu Dhanoa.

Peminat filem aksi romantik komedi pastinya menggemari filem menarik Sweet Home Alabama arahan Andy Tennant yang menyaksikan lakonan berkesan bintang popular Reese Witherspoon di samping Patrick Dempsey, Josh Lucas, Candice Bergen dan Mary Kay Place yang menemui penonton sekitar tahun 2002. Ia memberikan peluang kepada semua berhibur dengan jalan cerita yang mengetengahkan watak seorang wanita muda yang melarikan diri daripada suaminya di Alabama dan berhijrah memulakan kehidupan baru sebagai pekerja sosial di bandar New York.

Menghidupkan watak sebagai Melanie Carmichael, lakonan Reese Witherspoon berkembang sebagai pereka fesyen yang semakin meningkat dan menempa nama di New York. Dia telah berjaya memiliki hampir semua yang dimahukan walaupun pada tempoh yang singkat.

Dia mempunyai kerjaya yang hebat dan tunang JFK di bandar New York. Tetapi dia masih ingat asal usulnya dan tidak pernah melupakan keluarganya yang kemudiannya membawanya kembali ke negeri kelahirannya itu.
Namun nasib tidak menyebelahinya kerana secara kebetulan ketika dia merancang mahu pulang ke sana, bekas suaminya seolah dapat menghidu dirinya telah kembali. Bekas suaminya itu tetap berkeras tidak mahu menceraikannya meskipun proses penceraian telah tujuh tahun berlalu.

Situasi itu membuatkan Melanie begitu bersungguh-sungguh dan kelam-kabut dan pada masa sama dia berharap dapat menyelesaikan masalahnya itu secepat mungkin. Namun apakah seterusnya yang terjadi apabila sekembalinya ke Alabama tempat kelahirannya?

Peminat aktor terkenal Pierce Brosnan, usah ketinggalan menyaksikan filem Abba : The Mamma Mia Story yang menyusul kemudiannya. Filem muzikal romantik komedi ini mengisahkan seorang bakal pengantin perempuan cuba untuk mencari bapa kandungnya dengan menggunakan lagu-lagu hit oleh kumpulan ABBA yang popular sekitar tahun 70-an. Ia turut dibintangi oleh Meryl Streep dan Amanda Seyfried.

Filem Sweet Home Alabama 2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Yuna Nyanyi Live Your Life di Conan O’Brien Show

Titanic: Mystery Solved