in

SALAM BAITULLAH

RTM SIAR SALAM BAITULLAH : PROGRAM MEMBERI MAKLUMAT KEPADA BAKAL HAJI BERKAITAN AKTIVITI DAN OPERASI HAJI DI TANAH SUCI

Sempena Musim Haji 1431H, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi TV1 akan menyiarkan secara langsung Program Khas “Salam Baitullah”. Program 15 episod tersebut akan disiarkan mulai I November 2010 hingga 19 November 2010, jam 9.00 malam. Ia disiarkan setiap malam dari Isnin hingga Jumaat selama tiga minggu berturut-turut (kecuali Sabtu dan Ahad).

Program tersebut akan diulang siar pada hari berikutnya (Isnin hingga Jumaat) di TV2 setiap dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi. Bagaimananapun pada 5 November 2010 siaran ulangan ialah pada pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi.

Penyiaran Program “Salam Baitullah” bertujuan memberi maklumat kepada bakal haji dan sanak saudara yang tinggal di tanah air berkaitan aktiviti dan operasi haji di Tanah Suci. Mereka juga boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi berita-berita yang disiarkan.

Penonton boleh membuat ucap selamat kepada bakal haji menerusi telefon atau sms semasa program tersebut disiarkan. RTM akan turut menyiarkan ucapan jemaah dan menemu ramah mereka di Tanah Suci bagi tontonan sanak saudara di Malaysia.

Program yang disiarkan selama satu jam setiap episod ini, diacarakan oleh pendakwah terkenal iaitu Ustaz Farid Ravi Abdullah. Ustaz Ravi akan membawa tetamu ke studio (grand stand) di Angkasapuri, bagi membincang topik berkaitan ibadah haji. Pelbagai topik disediakan untuk dibincang bersama tetamu undangan bagi menyemarakkan lagi suasana haji tahun ini.

Selain itu, RTM telah menjemput imam Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu ustaz Abdul Halim Zakaria menyertai rombongan RTM ke Tanah Suci. Beliau akan bertugas sebagai pengacara di lokasi dan menemu ramah tokoh agama dan pihak berkuasa Arab Saudi di dalam Bahasa Arab.

Ustaz Abdul Halim akan membuat lintas langsung yang dirakam dari beberapa lokasi di Mekah, Arafah dan Mina.

Ini merupakan kali pertama RTM mengadakan siaran langsung selama tiga minggu berturut-turut sempena musim haji. Tahun lalu siaran langsung yang sama pernah diadakan tetapi hanya selama 4 hari.

Rombongan RTM bertolak ke Tanah Suci pada 25 Oktober 2010. Program ini adalah dengan kerjasama Kerajaan Arab Saudi, Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Luar Negeri.

Penaja utama program ini ialah Bank Rakyat. Turut menaja ialah syarikat tempatan Ukhuwah Sdn Bhd dan Syarikat Bin Nagi yang beribu pejabat di Mekah.

Pastikan anda tidak ketinggalan meluangkan masa menyaksikan “Salam Baitullah” mulai I November 2010 hingga 19 November 2010, jam 9.00 malam di TV1 dan ulangannya di TV2 pada jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AMARKALA DEEPAVALI 2010

America’s Next Top Model Musim Ke-12