in ,

RTM Kembalikan Drama Bersiri Persilatan PENCAK

Radio Televisyen Malaysia (RTM) cuba mengembalikan drama-drama kegemilangan ilmu persilatan seperti Keris Hitam Bersepuh Emas, Tok Janggut dan Pendekar menerusi drama bersiri terbaharu bertajuk “Pencak” yang sedang bersiaran menemui penonton setiap Khamis, pukul 2.30 petang menerusi TV2.

Penonton pastinya teruja berkongsi menyaksikan tayangan 13 episod drama bersiri arahan Khairi Azmi ini yang menegetengahkan lakonan mantap Ariey Mustafa, Nisha Dirr, Azimat Shamsuddin, Yank Kassim dan Kamal Bakar.

Penceritaan drama bersiri ini bermula dengan Puteh pulang ke kampung halamannya setelah tamat penggal perkhidmatannya bersama Tentera Laut Di Raja Malaysia. Kepulangan Puteh membuka kelas silatnya disokong oleh Tok Ketua. Pada masa sama dapat mengisi masa belia-belia di kampung dengan melakukan aktiviti yang berfaedah. Puteh menerapkan ilmu-ilmu kerohanian dan moral di dalam kelasnya. Dinesh yang telah diselamatkan oleh Puteh daripada serangan Taufik turut menjadi anak didiknya.

RTM Kembalikan Drama Bersiri Persilatan, “Pencak” di TV2

Usaha murni Puteh itu telah sampai ke telinga beberapa persatuan silat yang lain. Sehingga menyebabkan ada beberapa persatuan silat yang tidak senang dengan usaha Puteh itu, lebih-lebih lagi dia mengajar silat kepada bangsa asing. Antara yang kuat menentang adalah Nizam yang merupakan ketua silat dari kampung bersebelahan.

Kelas Puteh semakin mendapat sambutan, Tok Ketua amat gembira akan kejayaan usaha Puteh itu. Puteh juga sudah kembali rapat dengan Salihah, anak Tok Ketua. Suatu hari Guru Badai dan Guru Taji datang menemui Guru Aduka iaitu guru kepada Nizam. Mereka bertanyakan mengenai kelas silat Puteh. Aduka terasa tertekan apabila rakan-rakanya meminta dia melakukan sesuatu kepada Puteh yang telah melanggar peraturan untuk mengajar silat di daerah itu.

Taufik dan Dinesh yang sebelum ini bersengketa telah berubah menjadi rakan baik. Suatu hari ketika Taufik dan Dinesh sedang berjalan-jalan di pekan, Rudi anak buah Nizam telah menimbulkan perbalahan dengan mereka. Melalui perbalahan itu tercetusnya pergaduhan antara mereka. Kemudian Nizam datang untuk masuk campur, Nizam memukul teruk Taufik dan Dinesh lalu membawa mereka balik ke tempatnya. Fadil anak murid Puteh datang memaklumkan kepada Puteh berkenaan perkara tersebut lalu Puteh bergegas pergi mendapatkan mereka.

Hubungan Puteh dan Salihah semakin rapat dan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Nizam kerana Nizam sebenarnya telah lama mempunyai hati kepada Salihah tetapi Salihah sering menolaknya. Kerana cintanya tidak berbalas dan ditambahkan lagi dendamnya terhadap Puteh, Nizam merancang untuk merosakkan program Puteh. Pada suatu hari Nizam telah memerangkap dan memfitnah Dinesh dengan melakukan insiden ragut yang telah dirancang bersama rakan-rakannya.

Guru Aduka telah meminta Tok Ketua menghentikan kelas silat Puteh. Walaubagaimanapun Tok Ketua mahu perkara tersebut disiasat terlebih dahulu tentang kesahihannya. Tok Ketua telah membuat keputusan di mana kelas silat Puteh akan digantung selama 3 bulan sehingga kes itu selesai. Nizam sangat gembira kerana hasratnya untuk membalas dendam telah tercapai. Dinesh amat rasa bersalah kerana disebabkan dirinya, Puteh dan rakan-rakannya menjadi mangsa. Puteh tidak menyalahkan Dinesh kerana dia tahu Dinesh teraniaya.

Pada suatu malam, gelanggang silat Guru Aduka didatangi oleh seorang jaguh seni beladiri dari Singapura yang bernama Tony. Tony yang memegang gelaran jaguh seni beladiri peringkat Asia sebelum ini dikhabarkan telah berjaya menewaskan ramai jaguh-jaguh seni beladiri yang terdiri daripada pelbagai aliran. Kedatangan Tony yang kurang sopan ke gelanggang Guru Aduka telah mendatangkan kemarahan kepada Nizam. Walaubagaimanapun Tony enggan beradu tenaga dengan Nizam sebaliknya dia mahukan Guru Aduka beradu tenaga dengannya. Untuk tidak mahu menjatuhkan air mukanya, Guru Aduka menyahut cabaran Tony. Berlakulah pertarungan sengit antara mereka berdua. Kedua-duanya sama handal dan hebat.

Suatu pertandingan seni beladiri terbuka akan diadakan di Bandar Melaka tidak lama lagi. Tony selaku juara bertahan sekali lagi mengambil bahagian. Puteh yang dapat mendengar berita tersebut juga ingin mengambil bahagian bersama anak-anak muridnya yang lain. Manakala Nizam akan menggunakan platform tersebut untuk membalas dendam ke atas Tony dan menewaskan Puteh. Lalu apakah kesudahannya? Dapatkah Puteh menyedarkan Nizam bahawa perbalahan antara mereka tidak menguntungkan sesiapa? Ikuti kesudahannya hanya di TV2.

DRAMA BERSIRI PENCAK

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV2 Siar Filem RICHIE RICH Lakonan Macaulay Culkin

Aswara Lancar PAWAGAM JALAN AMPAS Bakal Dinaik-taraf Universiti