in

Rooftop Penanda Aras Baru Program Hiburan NTV7

ROOFTOP: RANCANGAN MUZIK MALAYSIA PERTAMA DI PUNCAK BUMBUNG

Rancangan Terbaru ntv7 Bawa Artis Melalak di Bumbung

Seringkali kita melihat artis-artis kita membuat persembahan mereka di acara pentas seperti konsert, majlis keramaian, pertandingan, pesta mahupun di karnival. Namun agak pelik jika mendengar mereka bakal melalak di atas bumbung. Benarlah kalau dinamakan penyanyi berbakat campak ke mana pun mereka tetap akan menghiburkan peminat mereka.

Itulah dimensi baru yang bakal penonton saksikan di dalam sebuah rancangan siri muzik menarik serta terbaru di Saluran Ceria Anda. Berbeza dengan rancangan nyanyian biasa, kehadiran rancangan Rooftop yang bakal bersiaran di ntv7 bermula 6 September 2012 ini akan membawakan penonton untuk melihat persembahan artis-artis kesayangan mereka menyanyi di atas bumbung sebuah bangunan berlatarbelakangkan keindahan panorama dan bangunan pencakar langit di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

Rooftop PC (1)

Rooftop PC (1)- Barisan belakang, dua dari kiri, Encik Kamarul Zamli Ramly, Pengurus Besar Produksi Hiburan Studio Primeworks, Khairul Anuar Azmi (Susu), Penerbit Rooftop, Diandra, Cik Emilya Ab Rahim, Pengurus Kumpulan Penjenamaan ntv7, Komunikasi Jenama, Projek Khas dan Acara ntv7 bersama semua artis yang terlibat untuk rancgan 13 episod Rooftop.

Rooftop yang akan menghiburkan penontonnya setiap hari Khamis jam 8.30 malam itu bertema lebih santai dan menggunakan muzik akustik di mana mereka bakal menyaksikan artis-artis kesayangan mereka membuat persembahan mantap tatkala mereka beraksi di puncak bangunan Lot 10. Menurut penerbitnya, Khairul Anuar yang lebih mesra dengan panggilan Susu, konsep sebegini merupakan pertama kalinya direalisasikan di Malaysia.

“Konsep nyanyian di atas bumbung sememangnya berbeza kerana ia seolah-olah menggambarkan kebebasan penyanyi tersebut dalam menyampaikan persembahan mereka selain memberi ruang yang lebih intim kepada penonton di set penggambaran mahupun di rumah” kata Susu.

Rancangan persembahan nyanyian yang memberi dimensi baru itu bakal mengetengahkan 14 bakat muda dan besar iaitu Estranged, Projek Pistol, Aizat, Bunkface, Drama Band, Liyana Fizi, Diandra Arjunaidi, Najwa Latif, Akim, Nawhki & Clan, Adira, Awi Rafael, Hafiz dan Azlan & Typewriter sepanjang 13 episod rancangan itu disiarkan.

Bersiaran selama setengah jam untuk setiap episod, Rooftop bukan sahaja menyajikan persembahan hebat artis malah membawa penonton mengenali lebih mendalam mengenai artis pujaan mereka. Menggunakan genre dokumentari-muzikal, Rooftop dilihat mampu menarik ramai penonton kerana pendekatannya yang segar, lebih intim dan menyeluruh melalui temubual artis yang lebih bersifat peribadi serta pilihan lagu hits yang dirakamkan secara live.

Menurut Puan Emilya Ab Rahim, Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama ntv7, Komunikasi Jenama, Projek Khas dan Acara ntv7, Rooftop bakal memberikan sebuah pengalaman baru buat penontonnya kerana suntingan yang minimal membenarkan mereka merasakan sentuhan peribadi artis dan keikhlasan mereka dalam berkarya serta menjanjikan persembahan mantap daripada mereka.

“Kebebasan dan keselesaan artis dalam menyampaikan persembahan mereka di set khas ini memberikan ruang buat penonton untuk mengenali dan memahami artis-artis mereka melalui persembahan yang bertenaga dan lebih bersahaja. Persembahan di atas bumbung bangunan pastinya memberi dimensi baru buat para artis-artis yang terlibat berbanding persembahan mereka yang lain sebelum ini” kata Emilya ketika ditanya di sidang media yang berlangsung hari ini di Restoran Teeq Kuala Lumpur.

“Kami juga amat berterima kasih kepada semua krew penerbitan Rooftop yang amat dedikasi terhadap tanggungjawab masing-masing, sehingga dapat membawa rancangan hiburan sebegini ke sebuah lagi fasa baru.

Bagi Encik Kamarul Zamli Ramly, Pengurus Besar Produksi Hiburan Primeworks Studios pula beliau amat teruja dalam penerbitan konsep sebegini yang buat pertama kali direalisasikan produksi tempatan.

“Rooftop juga membawa kami mengimbas kembali zaman kegemilangan The Beatles pada tahun 1970-an. Persembahan kumpulan The Beatles yang pernah dirakam di atas bumbung membuat kami teruja untuk membawa set ini ke dalam Rooftop. Kami kagum dengan konsep mereka yang begitu bersahaja tetapi amat menarik sekali,” tambah Kamarul.

Antara para artis yang hadir di sidang media tersebut yang turut diadakan berhampiran set lokasi penggambaran rancangan itu adalah Estranged, Projek Pistol, Aizat, Bunkface, Diandra Arjunaidi, Hafiz, dan Drama Band.

Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan-rancangan di ntv7 sila layari laman sesawang www.ntv7.com.my dan tonton semula rancangan kegemaran anda di www.tonton.com.my serta ikuti perkembangan terbaru ntv7 melalui akaun Facebook dan Twitter.

Projek Pistol (1)

Estranged (1)

Aizat @ Rooftop

Rooftop PC (2)

Drama Band

Bunkface (1)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro Bakal Lancar My Hometown Sempena kempen Negaraku

Baba’s Cu-bits