in

Review The Villas Sunway Resort & Spa

Ketenangan Tersembunyi di Balik Rimba Kota: The Villas at Sunway Resort & Spa
oleh Shah Shamshiri

Percutian di dalam kota tidak pernah dikaitkan dengan ketenangan atau kesunyian kerana ia sering berbaur hingar-bingar kotaraya yang sarat dengan kesibukan serta kesesakan lalulintas. Para pencari ketenangan sering berkejar-kejar menyerbu pantai-pantai peranginan ataupun kawasan pergunungan serta hutan rimba demi menemui tempat paling sempurna untuk bersantai dan merehatkan fikiran. Namun, semua itu bisa berubah kerana kini ada tempat ‘persembunyian’ yang mudah ditujui di daerah Kuala Lumpur (Lembah Kelang) tanpa perlu berkelana terlalu jauh.

Tersorok di Bandar Sunway di antara taman tema Sunway Lagoon, pusat membeli-belah Sunway Pyramid serta hotel Sunway Resort & Spa adalah sebuah rimba kecil buatan manusia yang menempatkan 17 buah villa eksklusif yang diberi nama “The Villas at Sunway Resort Hotel & Spa”. Bagai pondok-pondok indah yang tersembunyi di balik sebuah hutan jadian, villa-villa ini benar-benar mempunyai tarikannya yang tersendiri. Bertemakan gaya Asia kontemporari, penginapan ini menawarkan perkhidmatan terbaik bertaraf lima bintang lengkap dengan kemudahan mewah serta pembantu persendirian atau ‘butler’ buat setiap villa.

villa3

Ramai yang tidak tahu tentang kewujudan teratak-teratak menakjubkan ini kerana kawasannya agak tersembunyi walaupun sebenarnya ia benar-benar bersebelahan taman tema Sunway Lagoon dan juga hotel Sunway Resort & Spa. Ini juga disengajakan kerana ia bertujuan memberikan ketenangan kepada setiap pengunjung yang datang.

Setibanya di sini, para tamu akan dibawa langsung ke ruang utama iaitu The Pavillion yang juga tempat daftar masuk dan keluar (check-in dan check-out). Sekiranya mahukan check-in yang lebih peribadi, ia boleh juga dilakukan langsung di villa yang ditempah tanpa perlu dilihat oleh orang lain di Pavillion.

villa5

Setiap penginapan di sini mempunyai tiga pilihan. Kategori pertama merupakan 15 buah villa mewah nan luas yang dihiasi dengan perabot serta seni lanskap terbaik manakala kategori kedua dan ketiga pula adalah Villa Embun dan Villa Bayu. Villa Embun terletak di kawasan puncak yang paling tinggi di hutan buatan ini dan memberikan pemandangan luar yang paling indah di antara semua villa. Villa Bayu pula adalah villa termewah, paling besar dan sudah tentu yang paling mahal. Kesemua villa di sini mempunyai kolam renang peribadi (plunge pool) di dalam setiap unit. Ini sangat ideal serta memudahkan para tamu untuk menikmati kolam renang secara peribadi tanpa perlu keluar dari villa masing-masing.

Kesemua villa mempunyai perkarangan yang luas dan lengkap dengan perabot serta dapur sendiri, beranda untuk menikmati minuman dan pemandangan, ruang tamu buat bersantai selain barangan elektronik paling canggih seperti televisyen, radio, pemain DVD dan macam-macam lagi. Ditambah lagi dengan senireka dalaman yang luar biasa, semalam di sini memang tiada bandingannya. Setelah bangun dari tidur di atas katil yang selesa, bilik mandi yang luas pula sedia menanti. Dengan menggunakan barangan bilik mandi yang eksklusif untuk setiap unit, pasti ramai akan mengambil waktu yang lebih lama di bilik air!

villa6

Para tamu juga boleh memilih untuk menikmati makan malam dan sarapan di Pavillion yang tersedia atau menikmati hidangan yang lebih romantis dan peribadi di villa masing-masing. Ini merupakan perkhidmatan khas yang disediakan untuk kesemua penghuni villa kerana kesemua sajian di sini memang bertaraf dunia dan hebat-hebat belaka. Pavillion di sini turut juga menawarkan minuman serta curut terbaik buat mereka yang ingin bersantai di waktu petang.

Penghuni villa juga boleh menggunakan kolam renang di Sunway Resort & Spa dengan hanya melangkah sahaja ke seberang perkarangan hotel untuk mengunjungi restoran serta perkhidmatan hotel yang lain. Tidak lupa juga, ada perkhidmatan spa buat mereka yang ingin memanjakan diri. The Mandara Spa yang merupakan spa pemenang anugerah ini menawarkan pelbagai pakej menarik termasuk urutan Bali serta Thai dan macam-macam lagi rawatan kecantikan.

Penginapan di sini memang sangat menyenangkan setiap yang datang kerana mudah melangkah ke pusat membeli-belah serta taman tema, selain tidak terlalu jauh dari kota. Tak perlulah anda meredahi perjalanan yang panjang untuk ke sini. The Villas at Sunway Resort & Spa benar-benar satu pengalaman yang berbeza dan luarbiasa. Semalam di sini tidak mungkin anda lupakan buat selama-lamanya.


villa4

villa2

villa1

villa7

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Idea Budiey Untuk Bantu Yuna Selesaikan Project Sparkle

Fun SOME NIGHTS Album