in

RENTAK JUARA SUKU AKHIR PESERTA SMS

RENTAK JUARA SUKU AKHIR SMS : SIAPA DI ANTARA ENAM KUMPULAN YANG MARA KE PERINGKAT SEPARUH AKHIR

Setelah 30 kumpulan ini beraksi di pentas Suku Akhir Rentak Juara selama enam minggu. Kini tibalah masanya ke semua kumpulan peserta SMS bakal berentap dalam konsert SMS Suku Akhir pada 12 Jun 2010, Sabtu jam 3.30 petang dan bersiaran secara langsung dari Auditorium Perdana Angkasapuri menerusi saluran TV2.

Minggu lepas dua kumpulan telah berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir menerusi konsert suku akhir 6 iaitu kumpulan Alternature dan D’Rough Mixer. Tahniah buat kedua –dua kumpulan ini kerana mampu meraih keyakinan juri untuk mara ke peringkat seterusnya.

Enam buah band yang telah meraih undian SMS paling tinggi akan beraksi sekali lagi menerusi konsert SMS Suku Akhir. Saksikan lima kumpulan yang bertanding dalam suku akhir SMS minggu ini antaranya Jesselton, Razor, Kugiran Aweera, Brownees dan Symbolic. Selamat kembali semula buat kumpulan Jesselton yang akan mempersembahkan lagu Through My Window (versi Tomok) dan lagu bertajuk Takkan Ada gubahan sendiri. Persembahan kedua dari kumpulan Razor yang akan mempersembahkan lagu bertajuk Phoenix Bangkit (M.Nasir) dan Nada Cinta ciptaan sendiri. Seterusnya Kugiran Aweera yang mempersembahkan lagu bertajuk Pelangi Petang (Allahyarham Sudirman) dan Potret lagu ciptaan sendiri.

Kumpulan Brownees pula akan menyampaikan medley 3 buah lagu bertajuk Gemilang (Jaclyn Victor), Lagenda (Dato’ Sheila Majid) dan Aku, Dia & Kamu (Diva). Manakala Symbolic pula mempersembahkan lagu bertajuk Pelita (Azlan The Typewriter & Noh Hujan) dan Tamak Haloba lagu ciptaan sendiri. Satu lagi kumpulan akan membuat persembahan yang masih belum diketahui keputusan SMS pada minggu lepas. Nantikan kejutan kumpulan manakah yang layak mendapat undian SMS paling tinggi dan akan diumumkan oleh pengacara di akhir persembahan nanti. Siapakah diantara dua kumpulan yang layak mara ke peringkat separuh akhir ?

Konsert minggu ini menjemput kumpulan NRG yang cukup bertenaga kembali menggegarkan pentas konsert peringkat SMS Suku Akhir . NRG yang ditubuhkan pada tahun 1991 masih tetap menyengat sama seperti kemunculan mereka sebelum ini. Keupayaan mereka memberikan persembahan terbaik dan cukup bersemangat berjaya membuatkan NRG menjadi begitu popular di kalangan peminat muzik di kelab-kelab malam. Antara barisan pemuzik dalam band ini bukan calang-calang individu. Mereka diketuai oleh Jasminor Jamil a.k.a Jasmine selaku pemain drum,gitar dan vokali utama. Tujuh anggota yang lain iaitu Kelana Ulong Idris (Drum), Syed Ahmad Fauzi Syed Zain (Bass dan Vokalis), Errie Naham Abd Hamid (Gitar dan vokalis), Shah Reezal Mohd Yusof (Gitar dan vokalis), Muhamad Haszrul Ibrahim (Keyboard, Vokal), Sharon Hussein (vokalis) dan Malisa Janudin (vokalis). Kepelbagaian yang di persembahkan oleh NRG di dalam menyanyikan berbagai genre muzik dari R & B ke Pop, Dance, Rock, Retro sehinggalah ke muzik terkini menjadikan mereka dinobatkan diantara “Club Band” terbaik di Malaysia.

Menyentuh sedikit tentang latar belakang band yang bertanding petang ini, Kumpulan Jesselton berasal dari Kuala Lumpur dan dianggotai oleh Wan (Gitar – Ketua Kumpulan), Zimy (Vokal), Ika (Vokal), Famie (Gitar), Fairuz (Bass) dan TJ (Drum). Zimy yang merupakan ahli kumpulan Sofaz tentunya banyak menimba pengalaman dalam bidang muzik sebelum menubuhkan Jesselton. Berkonsepkan muzik “Modern Rock” mereka mahu kumpulan yang ditubuhkan ini memiliki konsep muzik yang berdasarkan kebersihan dari segi penyampaian muzik,lagu yang senang didengari dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Namun, penglibatan mereka bukanlah semata-mata untuk meraih populariti tetapi ingin mencari pengalaman serta menonjolkan bakat mereka dalam bidang band muzik. Bagi mereka program Rentak Juara ini amat bagus dan menarik kerana memberi peluang kepada golongan muda tidak kira dari golongan profesional dan amatur untuk mencungkil bakat dalam bidang muzik.

Razor yang diketuai oleh Moq dan ahlinya Zul, (Gitar), Archer (Kibod), Nus (Bass) dan Agy (Drum). Razor terdiri dari 5 orang ahli yang berasal dari Kuala Lumpur. Moq atau nama sebenar Ismail Mohd Ali, 37 tahun yang sebelum ini pernah menganggotai kumpulan Search suatu ketika dahulu beranggap bahawa keinginannya untuk menyertai pertandingan Rentak Juara adalah sekadar ingin mencuba sesuatu yang baru dan semestinya ingin bergelar juara. Seiring dengan permintaan industri muzik masa kini. Razor yang kekal dengan penampilan Rock Kapak tidak pernah mengalah dalam bidang muzik kerana bidang muzik adalah jiwa dan kehidupan mereka, ujar Moq yang juga merupakan ketua band Razor.

Vokalis band ini memang sudah dikenali sebagai selebriti dari sebuah rancangan realiti TV dan baru sahaja merakamkan album sulung bertajuk Ku Disini dari komposer Audi Suwito. Berasal dari Negeri Perlis Kugiran Aweera yang kini baru sahaja menubuhkan band muzik mereka dan dianggotai oleh Aweera (Vokal & Ketua), Acca (Gitar), One (Gitar), Corey (Bass) dan Anep (Drum). Band ini diasaskan oleh gitaris mereka sendiri iaitu Acca pada tahun 2010. Tahun ini, Kugiran Aweera menjanjikan sesuatu ilham muzik yang indah akan menemui para peminatnya yang kini menantikan kemunculan vokalis mereka Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Bin Norshissham yang juga vokalis terbaik Battle Of The Band 2008. Nantikan persembahan mereka petang ini menerusi konsert SMS Suku Akhir Rentak Juara 2010.

Kumpulan ini antara yang ahli yang paling muda daripada kumpulan peserta yang lain. Pertemuan sewaktu program realiti Twisties Bingit melahirkan idea untuk kumpulan yang diberi nama Brownees ini menubuhkan sebuah band muzik. Diatas minat dan hobi yang sama, Brownees dianggotai oleh Nad (Vokalis), Zai (Gitar), Kechik (Gitar), Falique (Bass) dan Mashi (Drum). Brownees memilih Pop Punk sebagai genre muzik dan telah mencipta beberapa buah lagu hasil daripada idea dan usaha Brownees. Persembahan pada konsert suku akhir 4 yang lalu memberi kekuatan pada Brownees untuk lebih bersedia melakukan persembahan yang terbaik buat konsert SMS Suku Akhir minggu ini. Mampukah Brownees menyahut cabaran tersebut ?

Kumpulan Symbolic ditubukan pada Jun 2006 dengan menjadikan Red Hot Chilli Pepper sebagai ikon dan sumber inspirasi untuk berkarya. Band yang lebih kepada irama Funky,Free Rock dan Modern Rock sebagai pilhan genre muzik mereka yang terdiri daripada 5 orang ahli iaitu shah(Gitar),Wak (Drum),Mus (Vokalis) dan Apist (Gitar). Kumpulan yang berasal dari Perak ini berharap agar konsert kali ini memberi kejayaan buat mereka untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Peringkat SMS Suku Akhir akan memilih dua (2) band untuk ke peringkat separuh akhir. Enam band yang diundi melalui SMS pada beberapa minggu lepas iaitu dari episod satu (1) hingga episod lima (5) melayakkan enam band yang bakal berentap dalam konsert SMS Suku Akhir petang ini. Semua band ini terdiri dari Jesselton, Razor, Kugiran Aweera, Brownees, Symbolic dan HB Four Six. Keenam band ini akan dinilai oleh juri professional dari segi persembahan, penyusunan muzik dan vokal untuk memilih 2 band ke peringkat separuh akhir . Pada peringkat separuh akhir nanti, tujuh (7) band akan dipertandingkan menerusi setiap konsert di peringkat Separuh Akhir 1 dan Separuh Akhir 2. Oleh itu, pada peringkat separuh akhir nanti, juri akan memilih tiga (3) band sahaja dan lagi empat (4) band akan diundi melalui SMS untuk melayakkan diri ke peringkat SMS Separuh Akhir. Konsert SMS Suku Akhir Rentak Juara 2010 dan Konsert Peringkat Separuh Akhir Rentak Juara 2010 akan diadakan selama lima minggu berturut-turut mulai :

• Konsert SMS Suku Akhir (Episod 7) pada 12 Jun 2010
• Konsert Peringkat Separuh Akhir 1 (Episod 8) pada 19 Jun 2010
• Konsert Peringkat Separuh Akhir 2 (Episod 9) pada 26 Jun 2010
• Konsert SMS Separuh Akhir (Episod 10) pada 3 Julai 2010
• Konsert Peringkat Akhir Rentak Juara 2010 pada 17 Julai 2010

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis FIFA World Cup 2010

Rozita Che Wan Bintangi Drama Teduhan Kasih