in

Remaja 2010 & NIPS Anjurkan Pertandingan Cosplay

PERTANDINGAN COSPLAY HANGATKAN LAGI DEMAM ANIME!
Misi Pencarian Karektor Menarik Berjaya Tarik Minat Remaja Tempatan

Bagi kebanyakan orang, nama-nama seperti Naruto, Macross, Onimusha, Ichigo Kurosaki (Bleach), Inuyasha, Edward dan Alphonse Elric (Full Metal Alchemist) mungkin tidak mengandungi apa-apa makna istimewa.

Tetapi tahukah anda kesemua watak dan karektor popular daripada anime, manga dan permainan video ini merupakan idola pujaan jutaan peminat di seluruh dunia, malah, ada sesetengah yang sanggup berkorban masa, tenaga dan ribuan wang ringgit demi minat dan obsesi terhadap fenomena unik ini.

Melalui pendekatan hiburan dan aktiviti yang sihat, program berkonsepkan infomatif khusus untuk golongan belia terbitan TV3, REMAJA 2010 dengan kerjasama NIPS buat julung-julung kalinya menganjurkan pertandingan cosplay, Remaja NIPS Crazy Challenge yang akan berakhir dalam acara kemuncak pada 24 Julai, 2010 ini.

Sejak 7 Mei lalu, Remaja NIPS Crazy Challenge telahpun memulakan misi pencarian ‘cosplayer’ yang terbaik Malaysia dengan mengadakan sesi saringan peringkat awal yang telah disertai lebih daripada seratus peserta menggayakan kostum beragam lengkap dengan peralatan seperti pedang dan perisai.

Selepas melalui proses saringan yang diadakan pada 20 Jun lalu, hanya 20 orang peserta yang menepati kriteria dan mencapai tahap kreativiti cosplay yang disyorkan sahaja layak untuk mencuba nasib ke peringkat akhir pada 24 Julai bertempat di ruang legar e@Curve Atrium, Mutiara Damansara.

Ketika ditemui ketika pelancaran Remaja NIPS Crazy Challenge di Sri Pentas, Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama TV9 dan Rangkaian Televisyen Kanak-Kanak, Media Prima Berhad, En. Feisal Abdul Malik berkata, “Secara jujurnya, pihak kami tidak menjangkakan untuk mendapat sambutan baik seperti yang kami terima sejak penganjuran Remaja NIPS Crazy Challenge bermula memandangkan ini merupakan kali pertama pertandingan kategori unik ini diadakan di Malaysia.

Walaupun masih agak baru dan belum lagi diberi pendedahan secara meluas, budaya otaku yang tercetus daripada obsesi ataupun minat mendalam kepada karektor ataupun watak daripada anime, manga atau permainan video yang hampir keseluruhan berasal daripada negara Jepun mempunyai potensi yang cerah untuk berkembang di kalangan penggemar dan peminat kartun mahupun animasi di kalangan masyarakat kita.

Sebagai satu inisiatif positif, program REMAJA 2010 berhasrat untuk memberi peluang di samping menyediakan platform yang sihat terutamanya kepada golongan otaku untuk mengkespresikan diri dengan menggunakan kreativiti dan bakat masing-masing apabila menggayakan watak atau karektor kegemaran mereka.”

“Kami berharap orang ramai yang berkongsi minat menggemari anime, manga dan permainan video akan berkunjung ke e@Curve Atrium hari Sabtu, 24 Julai ini untuk sama-sama memberikan sokongan dan menyaksikan detik penting bagi 20 peserta yang telah bertungkus-lumus berusaha sehingga layak berentap di peringkat akhir pertandingan cosplay ini.

Jika sebelum ini kita semua hanya berpeluang menonton acara sebegini hanya di kaca televisyen melalui program luar negara ataupun internet, kini kita boleh berbangga dengan kejayaan penganjuran Remaja NIPS Crazy Challenge yang telah berjaya menarik perhatian ramai dan menampilkan bakat-bakat anak-anak muda tempatan. Kami juga turut berterima kasih kepada penaja bersama, NIPS di atas komitmen yang diberikan sepanjang pertandingan ini berlangsung.,” tambah Feisal.

Menurut Cik Lam Hui Min, Pengurus Penjenamaan Produk NIPS, “Kami bukan sahaja gembira pertandingan Anime Cosplay ini mendapat sambutan dan menepati kriteria dan konsep penjenamaan NIPS malah ia juga memberikan ruang kepada peminat anime menggayakan watak anime kegemaran mereka melalui aktiviti rekreasi yang sihat. Pertandingan Anime Cosplay ini bukan sekadar pencarian kostum beragam yang paling kreatif tetapi dapat mencungkil bakat pelakon yang terbaik dalam melakonkan semula watak anime kegemaran mereka itu. Dengan adanya Remaja NIPS Crazy Challenge, NIPS juga dapat berkomunikasi terus dengan golongan remaja di Malaysia.”

Acara kemuncak pertandingan akhir Remaja NIPS Crazy Challenge pada 24 Julai ini akan dikendalikan oleh barisan pengacara program REMAJA 2010, Azura, E-One dan Deqwan bermula jam 11.00pagi. 20 para peserta ini akan diadili berdasarkan 3 kriteria utama iaitu ketepatan kostum beragam yang hampir sama dengan watak asal, keberkesanan penghayatan dan cara penyampaian cosplayer ketika di atas pentas dan tahap kreativiti yang ditonjolkan melalui persembahan skit.

Hanya 5 peserta yang berjaya mengumpul markah tertinggi akan berpeluang untuk berentap buat kali terakhir di pusingan penentu. Demi mempertingkatkan lagi tahap cabaran yang perlu dilalui, kelima-lima peserta akan diberikan tugasan tertentu yang bakal menentukan siapakah yang layak memegang gelaran cosplayer terbaik Malaysia untuk tahun pertama ini.

Pemenang bertuah yang mendapat markah terbanyak sekaligus dinobatkan juara bakal membawa pulang wang tunai RM1,000 dan menerima pakej percutian istimewa ke Jepun dan berpeluang menyaksikan Konsert Animelo, di Tokyo di samping sebuah hamper tajaan NIPS.

Manakala pemenang kedua pula akan menerima wang tunai RM1,000 serta sebuah unit Playstation dan hamper tajaan NIPS. Hadiah tempat ketiga pula merupakan sebuah iPod, wang tunai RM500 dan hamper tajaan NIPS. Turut tidak ketinggalan, pelbagai hadiah saguhati akan diberikan kepada 7 pemenang yang seterusnya yang tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Para pengunjung dan peserta Remaja NIPS Crazy Challenge juga turut dihiburkan dengan persembahan menarik dari Opepatroopers dan Zeolite, 2 buah kumpulan indie anime yang cukup terkenal di kalangan ‘otaku’ dan penggemar anime dan manga di Malaysia.

Mengenai Program REMAJA 2010:
Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, program berinformatif REMAJA menjurus kepada kepentingan dan keperluan golongan remaja di Malaysia. Tahun ini, melalui beberapa perbincangan terbuka dan proses perubahan konsep dan penyampaian program, REMAJA tampil dengan wajah baru dan segar dengan penerapan ciri-ciri 1Malaysia dalam persembahan segmen-segmen yang lebih relevan dan menarik. Program REMAJA 2010 kini bersiaran setiap hari Sabtu jam 1.00 petang bermula 5 Jun 2010 di TV3.

Selama 16 tahun bersiaran, REMAJA merupakan salah satu program yang cukup sinonim dengan TV3 kerana berjaya bertapak di hati para pengikut setianya di samping memainkan peranan penting sebagai pendukung agenda positif kepada komuniti muda negara kita. Melalui pendekatan hiburan terkini, REMAJA terus meneroka dan berkongsi tip dan infomasi tentang gaya hidup, aktitivi sukan dan rekreasi, fesyen, muzik dan sebagainya.

Antara segmen baru yang diperkenalkan dalam REMAJA 2010 ialah Kisah Saya (mengupas perjalanan hidup dan pengalaman sebenar remaja), Refleksi (paparan minat dan aktiviti remaja), Bagaimana (meninjau proses mencipta sesuatu benda), GHS – Gadgets, Happenings & Stylo (paparan acara, fesyen dan gadget terkini), Buletin dan Open Mic Jam (persembahan penutup oleh kumpulan muzik alternatif tempatan).

REMAJA 2010 diterbitkan oleh Ismail Mohd Rasakh dari Primeworks Studios dan dihoskan oleh Mohd Syazwan Roslan (E’One – Dr. Know It All), Azura Zulkifli ( Azura – Go Green) dan Tengku Naharuddin Izwan Tengku Nasaruddin ( Deqwan – Active Lifesytle).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip Artis Baru Tak Pandai Nak Hormat

Yuna, Aizat & Hujan di Rakaman Akustika 2010