in

Ramalan Siapakah Pemenang Anugerah MeleTOP ERA

Senarai penuh top 5 Anugerah MeleTOP ERA telah pun kita ketahui. Tak sampai 2 hari je lagi, anugerah yang dihasilkan dari kolaborasi program MeleTOP dan radio ERA akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 8 Februari ini. Ramai dah tak sabar nak datang, kan?

Pertama, Budiey harus berikan sekalung bunga kepada Astro kerana keberanian dan keghairahan untuk mengadakan acara yang julung kalinya ini. Setidak-tidaknya, anugerah yang havoc ini memeriahkan lagi senario dunia hiburan Melayu. Yelah, Budiey pun sangat rindu dengan Anugerah Era yang dulunya menjadi anugerah dinantikan. Kemudian, digabungkan pula dengan tenaga kerja dan konsep santai dari program MeleTOP yang saban minggu melonjak naik dan trending di Twitter. Mahu tidak, Budiey akan enjoy dan tak sabar untuk menjejakkan kaki di Anugerah MeleTOP ERA ni.

Apa Itu Anugerah MeleTOP ERA

[pullquote align=”right”]Persoalan penting yang harus kita kemukakan ialah; apakah tujuan utama Anugerah MeleTOP ERA ini diadakan? Adakah ia sekadar tempelan anugerah yang sedia ada atau sekadar ingin anugerah biasa-biasa. Masing-masing ada pendapat, tapi bagi Budiey, anugerah ini sangat perlu dan relevan dengan masa kini.[/pullquote]

Sekurang-kurangnya anugerah ini mengiktiraf bakat dan kreativiti selebriti-selebriti yang banyak menyumbang dalam industri seni hiburan tanahair yang merangkumi segenap sudut termasuklah bidang muzik, radio, televisyen, filem, digital malah ia meliputi negara serantau!

Budiey berpendapat, Anugerah MeleTOP ERA berperanan menjadi pemangkin untuk merancakkan lagi suasana hiburan setempat dan membolehkan dunia hiburan kita setaraf atau lebih baik di rantau ini. Sekaligus, artis-artis kita dapat menampilkan penampilan pada malam itu yang bertemakan Yang Hit, Yang MeleTOP. Budiey pun rasa teruja nak melihat fesyen selebriti yang hadir nanti.

Pencalonan Anugerah MeleTOP ERA kali pertama ini menyaksikan dominasi penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza dengan empat pencalonan termasuklah dua buah lagu terselit di celah pencalonan Lagu Meletop, Penyanyi MeleTOP, Grup/Duo MeleTOP, Bintang Siber MeleTOP.

Sudah tentu pola undian berdasarkan kegigihan peminat khususnya kelab peminat selebrti terlibat. Ramai peminat tidak menentukan kemenangan kerana Budiey kira, kekerapan mengundi itu penting. Lagi kerap peminat mengundi, lagi besar peluang untuk artis kesayangan mereka muncul menjulang trofi nanti.

Lagi pun, cara undian zaman kini dah jauh berbeza. Banyak platform boleh guna. Untuk mengundi, senang je. Ada tiga cara disediakan termasuklah undi di laman sesawang, melalui SMS dan melalui aplikasi WeChat.

Budiey kali ini bukan sekadar mencatatkan senarai pencalonan sebaliknya akan buat sikit analisa dan ramalan siapakah yang bakal membawa pulang anugerah Anugerah MeleTOP ERA. Nantikan 8 Februari ini untuk melihat samada pilihan Budiey dan anda tepat atau kesasar.

KATEGORI A
Lagu MeleTOP

1. Bahagiamu Deritaku – Hafiz
2. Galau – Dato’ Siti Nurhaliza
3. Infiniti Cinta – Zizan feat Kaka
4. Kita – Forteen
5. Muara Hati – Hafiz & Dato’ Siti Nurhaliza

Analisa: Melihat kepada kelima-lima lagu bertanding, lagu Bahagiamu Deritaku ada peluang untuk menang kerana lagu ini benar-benar mencabar kebolehan vokal dari Hafiz. Namun, kalau populariti yang dicari, maka kolaborasi Hafiz dan Dato’ Siti Nurhaliza melalui lagu Muara Hati pasti ada potensi kerana peminat kedua-dua penyanyi ini akan bersatu hati mengundi habis-habisan. Lagu Galau tidaklah sekuat lagu Muara Hati. Namun, apa sahaja boleh berlaku. Siapa yang boleh menafikan usaha gigih Sitizoners yang berhempas pulas untuk menjadikan anugerah ini untuk Muara Hati. Lagu ini sebuah lagu yang melo dan mendayu, sudah tentu menjadi kegilaan tatkala lagu tema untuk drama ini menjadi siulan. Apa-apa pun, jangan perkecilkan lagu Kita dari Forteen kerana peminat Forteen pun boleh tahan ramai juga. Nak tahu ramai ke tak, tengoklah jumlah followers mereka di Instagram dan Twitter.
Ramalan Budiey: Muara Hati – Hafiz & Dato’ Siti Nurhaliza

KATEGORI B
Penyanyi MeleTOP

1. Akim
2. Dato’ Siti Nurhaliza
3. Hafiz
4. Najwa Latif
5. Stacy

Analisa: Dalam kata lain, kategori ini mahu mencari penyanyi paling popular. Sah-sahlah, ia menjadi milik mutlak Dato’ Siti Nurhaliza! Itu semua tak boleh nafikan. Budiey andaikan, artis otai vs artis muda. Dari segi jumlah pola undian, saingan terdekat Siti Nurhaliza, pastinya Najwa Latif dan Stacy. Itulah istimewanya mereka ini kerana ada golongan peminat yang suka mengundi iaitu mereka-mereka yang masih remaja dan golongan 20 – 30 tahun yang ada masa dan mampu untuk mengundi secara SMS.
Ramalan Budiey: Dato’ Siti Nurhaliza

KATEGORI C
Grup/DUO MeleTOP

1. Dato’ AC Mizal & Mawi
2. Forteen
3. Hafiz & Dato’ Siti Nurhaliza
4. Najwa Latif feat Sleeq & Sham Kamarul
5. Zizan feat Kaka

Analisa: Kalau pemilihan berdasarkan karya lagu, sudah tentu ia milik Dato’ AC Mizal & Mawi atau gabungan Hafiz & Dato’ Siti Nurhaliza. Namun, sudah tentu ianya berdasarkan populariti. Jadi, Budiey perhatikan kesemua calon ada peluang yang sama untuk menang. Kalaulah, anugerah grup, sudah tentu ia milik Forteen kerana kumpulan budak jambu ini ada peluang untuk menang. Tidak sangkal, ramai yang akan memilih yang terbaik iaitu Hafiz & Dato’ Siti Nurhaliza.
Ramalan Budiey: Hafiz & Dato’ Siti Nurhaliza

KATEGORI D
Program Radio MeleTOP

1. Carta ERA 40
2. Carta Fulamak SINAR
3. Carta MeleTOP 40 ERA
4. JoHaRa Pagi ERA
5. SINAR Pagi

Analisa: Tiga program carta lagu lawan dua program radio di sebelah pagi. Budiey sudah tentu memlih program radio sesi pagi. Samada JoHaRa Pagi ERA atau SINAR Pagi. Kedua-duanya ada kekuatan. JoHaRa Pagi ERA antara yang berbisa kerana menyelitkan lawak jenaka spontan yang menghiburkan pendengar sewaktu perjalanan ke tempat kerja. Tambahan pula, pelawak Johan sudah mampu meletakkan program ini ke satu tahap yang super duper meletop! Persangan sangat sengit kerana kredibiliti otai yang masih berbisa seperti Salleh Yaakob, Khairil dan Kak Engku cukup gah dan terkenal dengan lawak dan celoteh yang sungguh meriah di SINAR Pagi.
Ramalan Budiey: JoHaRa Pagi ERA

KATEGORI E
Penyampai Baru Radio MeleTOP

1. Aril – ERA fm
2. Feeya Iskandar – SINAR fm
3. Nabil – ERA fm
4. Shasha Al- Khred – ERA fm
5. Zahid – ERA fm

Analisa: Ini susah sikit. Bila nama Nabil, Zahid dan Aril terselit dalam senarai calon. Sudah tentu agak rumit kerana mereka adalah senarai. Undilah calon yang berbakat besar dan ada potensi untuk kemajuan dunia penyiaran radio bukan terletak pada populariti dan juga kebolehan mereka buat lawak. Budiey lihat Zahid ada potensi untuk menang. Namun, jika diteliti pada keluasan liputan yang ada pada Nabil yang sentiasa tampil di kaca TV, dah tentu undian berpihak kepada Nabil. Lagi pun, Nabil kan pengacara untuk program MeleTOP. Apa kata kita kasi je kat dia.
Ramalan Budiey: Nabil – ERA fm

KATEGORI F
Filem MeleTOP

1. Highland Tower
2. KL Gangster 2
3. KL Zombie
4. Lawak Ke Der?
5. Sepah The Movie

Analisa: Di sini ada dua faktor pola undian. Samada filem ini mendapat kutipan tertinggi atau pun filem ini dilakonkan oleh pelakon yang mempunyai peminat yang ramai. Kalau Budiey, sudah tentu akan pilih filem bermutu dan mencapai puncak kelarisan yang paling maksima. Siapa lagi kalau bukan KL Gangster 2, tak gitu? Oh ya, masih ada lagi yang menganggap Lawak Ke Der tu satu filem walaupun ia dirakam di sebuah pentas Istana Budaya? Tapi siapa sangka, boleh jadi juga KL Zombie akan menang? Siapa tahu?
Ramalan Budiey: KL Gangster 2

KATEGORI G
Bintang Filem MeleTOP

1. Aaron Aziz – KL Gangster 2
2. Jep Sepahtu – Sepahtu The Movie
3.Siti Saleha – KL Zombie
4. Yana Samsudin – Minyak Dagu
5. Zizan Razak – KL Zombie

Analisa: Wow, dalam ramai-ramai ni, cuma Jep Sepahtu je patut disingkirkan. Oh, jangan tuduh Budiey kejam ya. Tapi tengoklah ada empat selebriti yang ada potensi besar untuk menang. Siti Saleha agak tipis untuk menang kerana kalau dilihat pernah satu ketika beliau tidak tercalon dalam sebuah anugerah berprestij walaupun ada peminat yang ramai juga. Kedudukan sekarang sangat berpihak kepada Aaron Aziz kerana faktor ada golongan peminat yang menjadikan mengundi sebagai hobi harian mereka dan tengoklah, KL Gangster 2 meletop kan?
Ramalan Budiey: Aaron Aziz – KL Gangster 2

KATEGORI H
Program TV MeleTOP

1. Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012
2. Love You Mr. Arrogant
3. Maharaja Lawak Mega 2012
4. Masterchef Selebriti Malaysia 2013
5. Super Spontan 2013

Analisa: Kalau kita teliti berdasarkan populariti dan rating program, sudah tentu berpihak kepada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012. Oh, siapa yang tak mahu menonton siaran anugerah sekali setahun ini kan? Kalau lihat pada trending ketika ini, pastinya Maharaja Lawak Mega 2012 & Super Spontan 2013 ada peluang untuk menang kerana program ini berkonsepkan lawak jenaka yang dapat menghiburkan semua peringkat khalayak. Drama bersiri Love You Mr. Arrogant tak kurang menjadi trending apabila mendapat rating penonton yang tinggi juga. Namun, tidaklah sekuat program lawak yang disiarkan setiap minggu dalam jangka masa yang lama.
Ramalan Budiey: Maharaja Lawak Mega 2012

KATEGORI I
Bintang TV MeleTOP

1. Azlee Khairi – Love You Mr. Arrogant
2. Jep Sepahtu – Sepah The Movie
3. Johan – Maharaja Lawak Mega 2012
4. Zara Zya – Love You Mr. Arrogant
5. Zizan Razak – Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012

Analisa: Underdog sudah tentu Azlee Khairi menerusi lakonan berkesan dalam Love You Mr. Arrogant yang menjadi kegilaan. Namun, populariti itu tak dapat melawan Zizan Razak dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 yang mana, Budiey lihat pada kegigihan peminat Zizan mengundi. Terbukti, pada anugerah yang sudah-sudah, nama Zizan tak pernah lekang disebut sebagai pemenang.
Ramalan Budiey: Zizan Razak – Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012

KATEGORI J
Bintang Siber MeleTOP

1. Aaron Aziz
2. Dato’ Siti Nurhaliza
3. Emma Maembong
4. Najwa Latif
5. Zizan Razak

Analisa: Aduh, ini susah sikit. Apabila Siti dicalonkan, maka yang lain sukar nak menang. Eh, tak jugak. Tengok tu, Aaron Aziz dan Zizan Razak pun bertanding. Dalam banyak-banyak kategori, Bintang Siber yang cukup sengit. Namun, pengundi yang natural yang tidak berpihak pada mana-mana selebriti akan melihat apakah pengertian Bintang Siber yang sebenarnya. Tak lain tak bukan, yang sentiasa dekat dengan jiwa dan hati pengikutnya di media sosial kan? Budiey pilih Dato’ Siti Nurhaliza bukan sebab beliau paling kerap menyiarkan gambar-gambar selfie beliau. Tapi kerana beliau seorang penyanyi yang cukup disegani dan ya, lihat pada jumlah Twitter dan Instagram, Dato’ Siti Nurhaliza sangat disayangi peminat. Cuma saingan terdekat Siti ialah Aaron Aziz yang sudah tentu ada peluang kerana Aaronators bersiap sedia untuk mengundi setiap hari.
Ramalan Budiey: Dato’ Siti Nurhaliza

KATEGORI K
Couple MeleTOP

1. Aeril Zafriel & Wawa Zainal
2. Diana Amir & Habib
3. Fizo Omar & Mawar
4. Izzue Islam & Awin Nurin
5. Nabil Ahmad & Nazirah

Analisa: Ketepikan pasangan Nabil Ahmad & Nazirah dan Diana Amir & Habib sebab tak banyak kisah pasangan ini dipaparkan di media. Mereka sangat clean sampai media pun tak tahu nak tulis apa pasal mereka. Oh, pasangan kontroversi sudah tentu milik Aeril Zafriel & Wawa Zainal. Tapi ada ke orang nak undi mereka? Kalau pasangan romantis, dah tentu Fizo Omar & Mawar yang masih merah inai di jari mereka. Namun, kalau nak kira populariti, antara Izzue Islam & Awin Nurin serta Fizo Omar & Mawar, Budiey akan pilih Fizo Omar & Mawar. Oh ya, kedua-dua mereka adalah berasal dari Kelantan. Rakan senegeri dengan Budiey. So… sape-sape menang tak kisah lah kan? LOL.
Ramalan Budiey: Izzue Islam & Awin Nurin

KATEGORI L
Artis Baru MeleTOP

1. Azhael AF 2013
2. Faizul AF 2013
3. Risteena Munim
4. Syafiq Kyle
5. Zara Zya

Analisa: Azhael AF2013 adalah favourite sebab populariti. Ini diakui sendiri oleh Faizul AF2013 yang menjadi juara AF2013. Budiey tak faham, kenapa ada nama Risteena Munim & Syafiq Kyle sebab ramai lagi artis baru yang popular tak berjaya masuk senarai. Budiey senang buat ramalan di sini sebab Zara Zya masih tidak kuat untuk diundi dan saingan tak banyak untuk Azhael.
Ramalan Budiey: Azhael AF 2013

KATEGORI M
Fesyen MeleTOP

1. Elfira Loy
2. Nora Danish
3. Nur Fazura
4. Shila Amzah
5. Zizan Razak

Analisa: Alamak, Budiey harus berbangga dengan Zizan Razak sebab dia sorang-sorang je lelaki kat sini ada stailo. Empat nama wanita gojes dan kesemuanya ada ciri-ciri meletop tersendiri. Shila Amzah lebih kepada fesyen tudung digabungkan dengan gaya elegan. Kekuatan lebih kepada nama Nora Danish dan Nur Fazura yang lebih urban dan moden. Gaya penampilan fashionista masing-masing terserlah jika anda semua melayari laman Instagram mereka. Kedua-dua mereka mementingkan gaya dan penampilan tak kira di mana berada. Cuma, populariti menjadi soalan utama dan peminat yang nak mengundi itu soal kedua. Eh, jangan lupa, Elfira Loy pun apa kurangnya. Gojes gak!
Ramalan Budiey: Nora Danish

KATEGORI N
Artis Serantau

1. Afgan
2. Randy Pangalila
3. Sleeq
4. SM*SH
5. Tegar

Analisa: Kalau Afgan bersaing dengan artis Malaysia, dah tentu banyak anugerah dia sapu. Kesemuanya yang tercalon ini Budiey kira average. Sleeq paling dekat dengan jiwa Malaysia kerana menjadi artis di bawah Aaron Aziz pasti mempunyai kelebihan yang lebih besar untuk menang. Dalam ramai-ramai, ada seorang pelakon iaitu Randy Pangalila di mana Budiey boleh ketepikan beliau sebab dia takkan menang pun. Tegar juga begitu sebab walaupun lagunya meletop tetapi tak berjaya menepiskan undian dari artis seperti Afgan dan Sleeq. Di sini, ciri-ciri yang diambil kira adalah mutu kerja, hasil karya dan nilai hiburan yang diberikan kepada audian.
Ramalan Budiey: Afgan

Selain 14 kategori di atas, 2 kategori lagi iaitu Top Top MeleTOP (Lelaki) dan Top Top MeleTOP (Wanita) akan dipilih berdasarkan selebiriti yang menerima jumlah undian tertinggi dikalangan calon top 5.

Ramalan Budiey: Top Top MeleTOP (Lelaki) – Zizan Razak
Ramalan Budiey: Top Top MeleTOP (Wanita) – Dato’ Siti Nurhaliza

Sekian dulu ramalan dari Budiey. Diharap pembaca semua tidak berkecil hati dan terasa dengan tulisan ini kerana ia hanya ramalan Budiey semata-mata. Analisa dibuat atas dasar pendapat Budiey. Harap kalian tak terlalu sensitif dalam hal ini.

Cara Untuk Mengundi Anugerah MeleTOP ERA

Apa yang penting sekarang ini, anda boleh mengundi selebriti pujaan masing-masing kerana peluang masih ada.

Cara-cara mengundi melalui empat buah laman web rasmi
1. www.meletop.com.my, www.facebook.com/mymeletop, www.era.fm atau fb.era.fm
2. Orang ramai hendaklah mendaftar masuk menggunakan butang masuk Facebook Login yang terdapat pada laman web berkenaan.
3. Pilih kategori yang disenaraikan dan anda boleh mula mengundi.
4. Pengundi hanya boleh mengundi sekali sehari bagi setiap pencalonan untuk setiap kategori

Cara-cara mengundi melalui kiriman SMS
1. Undian melalui SMS yang boleh dilakukan untuk semua pengguna Telco
2. SMS AME Hantar ke 32777. Contoh: AMEA1 dan hantar ke 32777
3. Untuk undian pukal: Taip AME<3/5/10/20> Hantar ke 32777. Contoh: AME20A1 dan hantar ke 32777
4. Setiap SMS dikenakan caj sebanyak RM0.50 setiap undian
5. Tidak ada had yang ditetapkan untuk undian secara SMS

Cara-cara mengundi melalui Aplikasi WeChat
1. Orang ramai hendaklah memuat turun aplikasi WeChat
2. Selepas muat turun, klik “Social” dan klik “Add by ID”
3. Cari “AstroGempak” dan “Follow” akaun rasmi Astro Gempak untuk mengundi
4. Setiap pengguna WeChat dibernarkan untuk mengundi sekali sehari bagi setiap pencalonan untuk setiap kategori

Selamat mengundi!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Teaterikal Suara Kita Dapat Sokongan Kementerian Kebudayaan & Pelancongan

Konsert Dato Siti Nurhaliza Live in KLCC Malam Ini & Esok