in

Qunci Villas Lombok Kunci Percutian Sempurna

Lombok kini sudah mula mendapat tempat di hati pelancong sebagai salah sebuah destinasi percutian di Indonesia. Kini Lombok bukan hanya dikenali sebagai pusat perkampungan nelayan. Tidak keterlaluan jika dikatakan keindahan pantai di Lombok mungkin lebih panoramik jika dibandingkan dengan Bali. Peluncur air pula sudah mula mengubah kompas mereka ke destinasi ini yang dikatakan punya daya ombak yang lebih mencabar.

Namun, Lombok bukan hanya untuk peluncur air yang sentiasa dahagakan cabaran ombak yang lebih besar. Senggigi contohnya kini menjadi pusat pelancongan di mana terdapatnya pelbagai hotel dan resort mengikut citarasa pelancong. Antara hotel dan resort yang terdapat di sekitar kawasan Senggigi ini wujud sebuah resort yang mungkin menjadi kunci kepada percutian idaman anda.

Qunci Villas

Menjejakkan kaki ke Qunci Villas anda akan disambut dengan penuh mesra oleh kakitangan resort dan anda akan terpesona dengan hasil karya seni indah di sekeliling resort tersebut. Tidak hairanlah sekiranya anda merasa seolah olah berada di sebuah galeri seni kerana Qunci Villas pernah menerbitkan buku mengenai seni dan resort dan pentingnya gandingan kedua-dua elemen tersebut dalam industri hospitaliti.

Terletak di Pantai Mangsit, Qunci Villas direka oleh arkitek Belanda Joost Van Grieken. Senibina resort ini adalah berasaskan material yang terdapat di Lombok dan hiasan dalamannya dipenuhi dengan lukisan artis tempatan. Arkitek ini juga mengambil inspirasi dari rekabentuk rumah tradisional di Lombok dan hasilnya ialah sebuah resort yang menggabungkan senibina mesra alam bersandarkan budaya senibina dan senireka tempatan.

Qunci Villas

Jika anda ingin berada di dalam suasana resort dengan sentuhan artistik, ‘chic’ dan minimalist serta memberikan layanan yang terbaik sepanjang penginapan anda, Qunci Villas adalah jawapannya. Resort ini juga menjadi pilihan ramai pelancong yang inginkan suasana romantis. Maka ramai penginap di resort ini terdiri daripada mereka yang berbulan madu ataupun yang menyambut ulang tahun perkahwinan. Tidak ketinggalan juga bagi keluarga yang ingin bercuti dan menikmati layanan lima bintang daripada resort ini.

Bagi memastikan anda mendapat yang terbaik daripada percutian anda, Qunci Villas menawarkan pelbagai konsep penginapan mengikut citarasa pengunjung. Antara tempat penginapan yang disediakan oleh resort ini ialah 19 unit bilik berhadapan pantai, 20 unit bilik dalam taman, 11 unit villa dengan sebuah bilik tidur beserta kolam renang persedirian, sebuah unit villa 2 bilik dan kolam renang persendirian, serta 3 buah unit villa mewah yang diberi nama Qunang, Qusia dan Qumbang Villa.

Tidak cukup dengan pilihan penginapan yang pelbagai, mereka yang menginap di resort ini juga diberi pilihan untuk menjamu selera di tiga buah restoran iaitu Restoran Seafood Quali, Restoran Mediteranean Quah atau Nooq Bar and Thai Rstaurant.

Bukan sahaja anda diberi pilihan untuk memilih restoran yang memenuhi selera anda, anda juga diberi pilhan untuk memilih kolam renang untuk anda bersantai.Terdapat tiga buah kolam renang di Qunci Villa dan uniknya ialah setiap kolam renang ini diberi nama Quatic Hindia, Quantic Atlantic dan Quantic Pacific.

Penat seharian dengan aktiviti di sekitar Lombok anda boleh menikmati spa di resort ini iaitu Qamboja Spa. Yang pastinya, perkhidmatan yang disediakan di spa ini seperti urutan dan mandi bunga akan membuatkan anda segar dan rejuvenasi semula untuk meneruskan percutian anda dengan lebih bertenaga.

Selain dari itu, antara fasiliti lain yang disediakan oleh Qunci Villas adalah kemudahan wi-fi percuma kepada penginap resort dan perkhidmatan 24 jam doktor on-call.

“ Qunci Villas is your key to an idyllic Lombok.” Itulah slogan yang didendangkan oleh resort ini. Jika resort ini menjadi pilihan anda, hampir pasti anda memilih kunci kepada sebuah percutian yang sempurna!

Qunci Villas

Qunci Villas

Qunci Villas

Qunci Villas

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Media Preview Of The Barclays Premier League Trophy & The Capital One Cup

SPRM Perangi Rasuah Dalam Drama Churam