in

Program TV3 Sempena Ulang Tahun Malaysia Ke-50

Tanggal 31 Ogos, rakyat Malaysia baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan ke-56 secara gilang-gemilang. Lebih mengujakan, ulang tahun pembentukan Malaysia ke-50 bakal diraikan di seluruh pelusuk negara pada 16 September.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, TV3 juga tidak ketinggalan menyediakan beberapa program istimewa merangkumi bual bicara, majalah & dokumentari, filem dan telefilem menerusi kempen #MYSyg yang membawa tagline ‘Saya Sayang Malaysia”.

Antaranya, Malaysia Hari Ini Istimewa Hari Malaysia, Wanita Hari Ini Istimewa Hari Malaysia, Majalah 3 Khas Hari Malaysia: Nikmat Dituai (16 September, 9.00malam), telefilem seperti Pak Deris Jambul, Abang Long VS Kak Long, Korban Kasih serta filem Hikayat Merong Mahawangsa dan Shrek.

Berikut ialah sinopsis bagi program-program istimewa daripada TV3 untuk Hari Malaysia:

Wayang: Hikayat Merong Mahawangsa
15 September 2013 (Ahad), 3.00 petang – 5.00 petang
Pada tahun 120, Empayar Rom ketika itu dibawah pemerintahan Hadrian sementara di negara China, Dinasti Han merupakan sebuah empayar yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahannya ke negara Asia Tengah. Sewaktu angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han. Bagaimanapun, puak lanun dari Geruda mempunyai perancangan yang berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung pengairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Geruda.
Pelakon: Stephen Rahman Hughes, Dato’ Haji Rahim Razali, Ummi Nazeera, Khir Rahman, Jehan Miskin, Nellie Ng, Datin Paduka Umie Aida, Acong, Maya Karin, Mano Maniam.

Istimewa Hari Malaysia: Shrek (Filem animasi)
15 September 2013 (Ahad), 6.05 petang – 8.00 malam
Shrek merupakan Ogre hijau yang ditakuti oleh manusia. Selama ini, Shrek hidup seorang diri di kawasan paya sehingga ribuan makhluk dongeng telah datang mencari pelindungan daripadanya. Lord Farquaad yang jahat dan bercita-cita mahu menjadi seorang raja mahu menghapuskan semua makhluk dongeng. Akhirnya, Shrek bersetuju untuk berunding dengan Lord Farquaad supaya semua makhluk akan kembali kepada hidup yang normal. Shrek memulakan pengembaraannya dengan seekor keldai yang pandai bercakap, Donkey. Farquaad cuma akan bersetuju dengan permintaan Shrek jika dia berjaya menyelamatkan Puteri Fiona dari menara yang terkurung. Puteri Fiona tidak menyangka penyelamat yang dia telah menanti selama ini ialah makhluk Ogre yang tidak romantis langsung. Dalam perjalanan pulang ke istana Fiona, Donkey telah mendapat tahu rahsia Fiona yang telah disumpah menjadi Ogre pada waktu malam. Fiona telah meminta Donkey menyimpan rahsia tersebut. Shrek dengan Fiona mula menyukai satu sama lain tetapi berlakunya satu salah faham antara mereka berdua, maka Shrek telah memutuskan bahawa Lord Farquaad lebih sesuai menjadi calon suami Fiona. Masa semakin suntuk bagi Fiona untuk mendapatkan ciuman daripada cinta sejati yang boleh menghapuskan sumpahan tersebut. Apakah muslihat Lord Farquaad yang mahu merampas takhta akan terbongkar? Saksikan kesudahannya dalam filem animasi, Shrek nanti.
Pelakon Suara: Mike Myers, Eddie Murphy, Cameron Diaz, John Lithgow

Istimewa Hari Malaysia: Abang Long VS Kak Yong (telefilem)
15 September 2013 (Ahad), 10.00 malam – 12.00 tengah malam
Din Parang dan Man Todak sering bersaing sejak dari zaman muda. Din mempunyai seorang anak lelaki bernama Boboy manakala Man mempunyai seorang anak perempuan bernama Suraya. Suatu hari, Boboy terdengar perbualan antara ayahnya dengan Farouq di mana orang bawahan Man Todak telah menceroboh ke kawasan perniagaan mereka. Kemudian, Boboy menyelinap masuk ke rumah Man Todak namun Suraya bertindak pantas cuba melawan Boboy. Boboy tidak bernasib baik apabila Man Todak pulang ke rumah bersama penduduk kampung dan ternampak Boboy ‘berdua-duaan’ dengan Suraya. Demi menjaga maruah keluarga, Boboy dipaksa menikahi Suraya.
Pelakon: Akim Ahmad, Yana Samsudin, Usop Wilcha, Susan Menon, Mak Engku, Hafizuddin, Shafik Kyle, Hafiz.

Malaysia Hari Ini Istimewa Hari Malaysia (siaran langsung)
16 September 2013 (Isnin), 7.00 pagi – 9.00 pagi
Jom ikuti Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di Padang Merdeka, Kuching. Malaysia Hari Ini Istimewa Hari Malaysia ini menampilkan Ally Iskandar dan Ahmad Fedtri Yahya di studio Sri Pentas manakala Izwan Azir Salleh pula akan membawakan perkembangan terkini secara lintas langsung di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak.

Wanita Hari Ini Istimewa Hari Malaysia (siaran langsung)
16 September 2013 (Isnin), 12.00 tengahari – 1.00 tengahari
Bersiaran secara langsung dari Memorial Tun Abdul Razak, Sri Taman, Jalan Perdana, Kuala Lumpur, hos Wanita Hari Ini (WHI), Nor Azzura Azizul Azman dan Hazrena Mohd Kassim akan memaparkan fesyen etnik Sabah dan Sarawak selain berkongsi komen dan pendapat orang ramai tentang Hari Malaysia

Istimewa Hari Malaysia: Korban Kasih (telefilem)
16 September 2013 (Isnin), 3.00 petang – 5.00 petang
Aisah dan Yana merupakan sahabat karib sejak kanak-kanak, namun, mereka terputus hubungan apabila ibu bapa Yana meninggal dunia. 5 tahun kemudian, Aisah berkahwin dengan Zaki dan tinggal bersama keluarga Zaki. Aisah terkejut apabila melihat kelibat Yana di rumah tersebut sebagai orang gaji. Adik Zaki iaitu Hakim telah merogol Yana ketika dia mabuk. Aisah membuat laporan polis. Disebabkan itu, ibu Zaki memaksa Zaki untuk menceraikan Aisah. Akhirnya, setelah menerima begitu banyak tekanan daripada ibunya, Zaki membuat keputusan untuk menceraikan Aisah dengan ‘Talak Tiga’.

Bagaimanapun, Zaki dan Aisah masih mencintai antara satu sama lain dan merancang untuk merujuk. Zaki memperkenalkan rakannya, Afendi kepada Aisah sebagai ‘Cina Buta’. Keadaan menjadi tidak seperti dirancang apabila secara perlahan-lahan, Afendi dan Aisah saling jatuh cinta. Apakah pengakhiran kisah Zaki, Aisah dan Afendi ini?
Pelakon: Aiman Hakim Ridza, Intan Ladyana, Puteri Chichi, Normah Damanhuri, Omar Mokhtar

Majalah 3 Khas Hari Malaysia – Nikmat Dituai, 16 September 2013 (Isnin), 9.00 malam – 10.00 malam
Pembentukan Malaysia tidak dapat dipisahkan dengan nama Temenggung Jugah anak Barieng, pemimpin suku kaum Iban berasal dari Kapit, kini bergelar Tun Jugah. Kru Majalah 3 berpeluang untuk menemubual bersama anak sulung mendiang iaitu Tan Sri Leonard Linggi yang merupakan seorang peniaga. Tan Sri Leonard telah berkongsi kisah hidup ayah dipanggil ‘apai’ atau ayah dalam bahasa Iban.

Selepas pembentukan Malaysia, perkembangan ekonomi negeri Sarawak telah meningkat terutamanya pengusahaan kek lapis. Penjual kek lapis, Abu Senie Bujang Pit di Kota Samarahan, Sarawak mengakui 70% daripada pelanggan Asma Kek House dari Semenanjung Malaysia dan Sabah. Selain dihantar terus ke Semenanjung Malaysia dan Negeri Di Bawah Bayu, pegawai serta anggota tentera bertugas dan pelajar menuntut di Sarawak juga antara pelanggan kedai Kek Abu Senie. Lebih menarik, Kek lapis Sarawak kini turut dihidangkan bersama lemang dan rendang di Semenanjung Malaysia selepas berlakunya integrasi budaya di kalangan penduduk Malaysia biarpun dipisahkan oleh lautan.

Selain itu, kru Majalah 3 juga menemui Profesor Dr. Shazali Abu Mansor, pensyarah ekonomi Universiti Malaysia Sarawak yang telah mengabadikan diri selama 24 tahun dalam pendidikan di Negeri Bumi Kenyalang, Pengarah Arkib Negara Malaysia Sarawak, Norsurianty Awang Hashim dan juga Mohamed Hasbie Sulaiman, 86 tahun, penulis yang pernah bertugas sebagai pegawai pereka cipta grafik di Jabatan Penerangan sebelum dan selepas pembentukan Malaysia.

Telefilem Khas Hari Malaysia: Pak Deris Jambul
16 September 2013 (Isnin), 10.00 malam – 12.00 tengah malam
Dr. Safiyah mengimbas kembali peristiwa lima tahun dulu sebelum dia berangkat untuk melanjutkan pengajian di Cornell, Amerika Syarikat. Dia hampir tidak jadi untuk melanjutkan pengajian ke sana kerana ayahnya, Pak Deris menganggap bahawa bangsa Eropah telah menghancurkan tamadun bangsanya. Anak-anaknya diajar supaya cintakan tanah air malah tiada satu pun perkakasan rumah keluaran Eropah mahupun Jepun dan China. Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ibarat menyambut Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri bagi Pak Deris.

Justeru, keputusan Safiyah telah menyebabkan hatinya hancur remuk dan menganggap Safiyah sebagai anak derhaka. Pak Deris sering membandingkan Safiyah dengan anak lelakinya, Sufi yang kni berpangkat Kapten dan bertugas di Sarawak. Pak Deris sangat bangga dengan Sufi dan semua harta dinamakan di atas nama Sufi. Walaupun Sufi cuba memujuk, Pak Deris tetap berkeras dan tidak mahu Safiyah menjejakkan kaki ke rumahnya. Safiyah telah pulang ke kampung di Yan, Kedah kerana amat merindui keluarganya. Dia telah berpindah ke Hospital Yan dan kerinduannya terubat hanya dengan lalu dan melihat rumahnya.

Safiyah juga meminta teman lelakinya, Steven menangguhkan perkahwinan mereka kerana dia tidak mahu kahwin tanpa restu daripada Pak Deris. Apakah Safiyah berjaya memujuk Pak Deris dan diterima semula oleh ayahnya?
Pelakon: Eira Syazira, Kazar, Aidil Aziz, Aznah Hamid, Azad Jasmin

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#MYSyg) untuk menyemarakkan lagi kempen #MYSyg. Ayuh, kongsikan detik-detik bermakna anda sebagai rakyat Malaysia di laman web www.mysyg.com.my dengan sertakan #MYSyg.

Babak Menarik Dalam Pak Deris Jambul

Pak Deris Jambul (1)

Pak Deris Jambul (2)

Pak Deris Jambul (3)

Pak Deris Jambul (5)

Pak Deris Jambul (6)

Pak Deris Jambul (7)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Menarik TVi Sempena Hari Malaysia 2013

Zon Ceria Suria FM di Zam Zam Café & Satay Club