in

Program TV3 Diiktiraf Di Anugerah Media 2012

PROGRAM TV3 DIIKTIRAF DI ANUGERAH MEDIA 2012

Program TV3 sentiasa mendapat sambutan bukan sahaja dalam kategori hiburan malah juga dalam genre majalah dan dokumentari. Terbaru, program 360 telah mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori “Pencapaian Terbaik Dalam Media Penyiaran” di Anugerah Media Yayasan AIDS Malaysia yang berlangsung pada 12 Mei 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Antara yang dinominasi dalam kategori sama ialah “AIDS 2010: Ending Ignorance” oleh Astro Awani dan “Malaysian Mosque Offers Methadone Treatment to IV Drug Users” oleh Al-Jazeera.

Dengan topik “360: Jangan Pisahkan Kami” yang diterbitkan oleh penerbit eksekutif berpengalaman, Mohd Said Abdullah Thani, antaranya merungkai kisah di sebalik Rumah Solehah di Bandar Tun Razak, Cheras dan penghuninya.

Said Thani, penerbit eksekutif 360

Semangat Fadzilah Abd. Hamid, Pegawai Sumber Manusia & Latihan Rumah Solehah, Fathiiah Hamzah, Koordinator Program Rumah Solehah dan Che Salmah Mohamed, Penjaga Rumah Solehah tidak pernah luntur atau jemu untuk terus mendidik penghuni di sana yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Justeru, aspek rohani dan jasmani menjadi perkara penting yang ditekankan oleh mereka di Rumah Solehah demi kelangsungan hidup penghuninya. Bukan sekadar menyediakan tempat tinggal dan makan minum semata-mata, penghuni juga lebih berasa kondusif untuk menjalani rutin harian mereka di situ.

Di samping itu, liputan yang berjaya merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00 itu juga memaparkan kisah perkahwinan pasangan suami isteri yang hidup dengan HIV/AIDS yang menyimpan harapan untuk memperolehi zuriat yang tidak mempunyai sindrom HIV atau AIDS.

Dengan maklumat terkini bahawa pasangan yang hidup dengan dengan HIV/AIDS mampu melahirkan zuriat yang sihat serta sempurna, laporan tersebut juga cuba membuang stigma masyarakat yang memberi tanggapan negatif serta menyisihkan mereka dari masyarakat.

360 musim baru 2011, memaparkan isu-isu semasa dan terkini yang menjadi “fenomena masyarakat” serta topik bualan hangat di negara ini. Tanpa menyentuh isu jenayah, 360 bekerjasama dengan institusi-institusi kerajaan dan pihak berwajib serta umum dalam paparannya. 360 dibarisi wartawan berpengalaman seperti Zakiah Anas yang dibantu oleh barisan wartawan muda, Harris Mohd Farok Alex, Siti Hajar Rozli, Ahmad Syazwan Syuwari Nordin dan Mohd Azli Aziz.

Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, En. Ahmad Izham Omar berkata, “Menjejak usia hampir 28 tahun, program-program majalah dan dokumentari di TV3 dilihat semakin matang dengan topik-topik yang menggamit dan menyentuh perasaan serta memberi inspirasi kepada penonton. Anugerah ini pastinya menjadi pembakar semangat untuk TV3 menghasilkan lebih banyak program bercorak kemasyarakatan seterusnya menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi memupuk kesedaran di kalangan penonton.”

DSC_0488

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Latest Release Schedule Warner Bros 2012

Peraduan Be A Fan ntv7