in

Program Pelancongan Jelajah Integrasi di TVi

Program Pelancongan : Jelajah Integrasi Papar Keunikan dan Lokasi Menarik Malaysia Di TVi

Malaysia terkenal dengan keunikannya yang tersendiri hidup dengan pelbagai bangsa dan agama. Dari situ, lahirlah kepelbagaian masyarakat yang mempunyai cara kehidupan yang berlainan. Setiap daripada golongan masyarakat tersebut mempunyai budaya dan keunikannya yang tersendiri. Tidak lengkap rasanya jika kita sendiri sebagai rakyat Malaysia tidak didedahkan dengan budaya masyarakat yang terdapat di negara sendiri.

Justeru dalam memberi pendedahan, pengalaman dan rasa kepada penonton, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program dokumentari pelancongan bertajuk “Jelajah Integrasi” mengisi slot Jalan-jalan mulai 29 Mac depan, setiap Jumaat pada jam 5.00 petang menerusi saluran TVi.

Menampilkan remaja institusi pengajian tinggi yang dibahagikan kepada dua kumpulan di mana Kumpulan A terdiri daripada pelajar berbangsa Melayu, Cina dan India yang berasal dari Kuala Lumpur manakala kumpulan B pula merupakan pelajar daripada masyarakat etnik Sabah dan Sarawak yang pastinya menjanjikan keistimewaan yang tersendiri.

Program ini membawa penonton mengikuti pengembaraan lima pelajar terbabit ke kawasan serta negeri-negeri di serata Malaysia. Objektif utama adalah bagi mengenali masyarakat yang ada di Malaysia ini dengan lebih dekat. Pelajar-pelajar terbabit berpeluang untuk mengetahui sejarah atau tamadun sesebuah masyarakat. Mereka turut berpeluang merasai sendiri pengalaman dalam menjalani kehidupan sebagai masyarakat setempat daripada sosio ekonomi sehinggalah kehidupan sosial mereka.

13 episod dokumentari ini menjanjikan kelainan yang membawa penonton meneroka 13 kawasan yang berbeza dan di setiap kawasan yang dijelajahi mereka dibantu salah seorang penduduk di sana ‘memudahkan’ siri penjelajahan mereka.

Peristiwa yang berlaku di Lahad Datu, Sabah secara tidak langsung memperkenalkan seluruh masyarakat Malaysia dengan tempat dikenali sebagai Felda Sahabat, Sabah. Menerusi salah satu episod Jelajah Integrasi penonton berpeluang mengenali kepelbagaian masyarakat yang ada di sana. Dikenalkan dengan penduduk berbangsa Iranum dan mereka disambut dengan kepelbagaian masyarakat etnik beserta dengan pakaian tradisional. Berpeluang merasai pelbagai jenis juadah tradisional dari pelbagai kaum dan diperkenalkan dengan permainan tradisional, aktiviti belia seperti sukan motor lasak dan diajar tarian tradisional.

Episod pertama pula terdiri daripada pelajar Kumpulan A yang meneroka kehidupan orang asli di Cameron Highlands. Di sana, mereka dapat merasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat orang asli seperti menyesuaikan diri dengan suasana hutan, memasang perangkap rama-rama, menangkap serta mengawetkan serangga tersebut. Lokasi seterusnya mendedahkan mengenai masyarakat minoriti di Gajah Behrang, Melaka iaitu chetti di mana mereka meneroka mengenai asal usul kedatangan masyarakat chetti dan berkenalan dengan sanak saudara masyarakat chetti yang berwajah peranakan. Turut dijamu dengan masakan tradisional masyarakat chetti, diajar tarian tradisional serta diperkenalkan dengan barangan serta pakaian tradisioanal mereka.

Kali ini pelajar dari Kumpulan B membawa penonton menjelajahi masyarakat Bugis di Pontian Johor. Di sana, mereka dikenalkan dibawa ke Muzium Bugis dan diterangkan mengenai sejarah dan susur galur masyarakat Bugis. Seterusnya meninjau masyarakat Portugis di Melaka. Mereka mempelajari sejarah kedatangan Portugis, melawat kawasan tinggalan sejarah Portugis, pakaian, keunikan tarian tradisional serta turut sama remaja Portugis bermain permainan tradisional Portugis.

Mengembara pula ke Kampung Tellian Ulu, Mukah Sarawak bagi mengenali dengan lebih dekat masyarakat Melanau di sana. Mencuba permainan tradisional atau adat masyarakat Melanau iaitu Tibau yang menjadi turun temurun sebagai permainan rasmi pesta Kaul serta permainan Giwai. Turut dipersembahkan serta berpeluang mencuba muzik dan tarian tradisional mereka. Disajikan dengan makanan tradisional Melanau seperti Umai dan Ulat Sagu.

Kali ini, Jelajah Integrasi memperkenalkan masyarakat India di Kuala Krai, Kelantan. Diperkenalkan dengan Abe Mie yang telah memeluk Islam serta berkahwin dengan wanita Melayu. Abe Mie terkenal dengan kebolehan beliau membuat wau yang kebiasaannya dipelopori bangsa Melayu.

Seterusnya, mengenali masyarakat Bajau di Semporna, Sabah bagi mendekati dengan lebih dekat kehidupan masyarakat Bajau yang tinggal di Pulau Bum Bum Semporna. Dibawa ke Kampung Look Butun dan merasai kehidupan sebenar masyarakat Bajau Laut seperti melihat sendiri hasil rumpai laut yang dibenih oleh penduduk setempat. Turut belajar mengenali tarian, alatan muzik serta permainan tradisional masyarakat Bajau.

Episod seterusnya mengenali masyarakat Siam yang berada di Kampung Guar Syed Alwi, Kuala Perlis. Menyertai golongan belia di sana bermain sepak raga dan masak makanan tradisional Siam. Mereka juga melawat kawasan perniagaan Padang Besar dan Wang Kelian bagi melihat sendiri keunikan pasar tersebut serta melawat pusat seni mempertahankan diri ‘Saiprawat MuayThai Gym’.

Dengan setiap episod yang memaparkan perbezaan kehidupan masyarakat di Malaysia diharap dapat memberi informasi menarik dan berbeza kepada penonton. Yang paling utama ialah agar kita sebagai rakyat Malasyia kekal dengan sifat hormat menghormati kepelbagaian bangsa bagi mengekalkan keharmonian negara kita.

FLYERS LAGI BARU

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sony Xperia Z with The Most Affordable Postpaid Plan in Town

Sinopsis Sebenarnya Saya Isteri Dia Lakonan Tiz Zaqyah & Izzue Islam